10 Tip Pilih Langsir Betul Kalau Tak Nak Rugi Masa Buat Tempahan

Share

Langsir adalah pelengkap hiasan rumah. Memanglah bukan perkara no.1 dalam carta membeli barangan hiasan dalaman rumah. Tapi, langsir tetap penting kasi ruang nampak elok. Salah beli, ruang jadi buruk. Siapa yang rugi? Mereka dan keluarga mereka….

Jom kita elak jangan kasi rugi bila beli langsir.

1. UKUR LABUH KE SENTENG.
Bila beli langsir, ukur betul-betul. Rekaan terbaik adalah labuhnya cukup-cukup di atas permukaan lantai. Jangan sampai menyapu lantai atau senteng . Elakkan juga memilih langsir cukup-cukup sampai frame tingkap macam mini skirt. Silap gaya orang cakap kita pakai langsir pinjam pulak.

2. PEMILIHAN WARNA TERANG – GELAP
Kalau rumah kecil, pilih warna yang senada dengan dinding. Tak pernah nak dramatik sangat sebab nanti ruang nampak sempit, pandangan mata pun nampak ‘semak’. Jika pakai warna warm newtral macam coklat,krim, light brown, jangan pilih warna cool newtral macam biru muda, kelabu samar atau turquoise muda. Itu sudah bercanggah. Hadirnya langsir untuk memberi ruang nampak harmoni dengan perabot.

3. RASA KETEBALAN TEKSTIL
Kita kena pastikan ruang kediaman kita cukup cahaya matahari atau tidak. Jika dah kena block dengan unit lain atau rumah lain,confirm rumah kita akan suram walaupun tengahari. Jadi langsir yang lebih nipis lebih sesuai. Paling tidak langsir renda. Ia, mampu benarkan cahaya matahari masuk. Cantik pun cantik. Ada yang murah lak tu…. Kalau pilih fabrik tebal, memang glamor. Tapi gelaplah rumah anda di siang hari. Nanti jiran ingat anti sosial pula. Langsir Black Out boleh digunakan tetapi untuk malam  atau ketika kita tiada di rumah.

4. KENALI PENGGANTUNG LANGSIR
Jangan main hentam je beli. Bukan semua langsir sesuai untuk semua konsep. Jangan beli penggantung ala country tapi pakai untuk moden atau klasik. Jadi pastikan anda memilih penggantung yang betul malah detailing lipatan yang sesuai. Jika ragu-ragu, tanya pada pakar langsir. Bukan semua jahitan atas langsir sesuai untuk semua penggantung. Besi, kayu, hitam, emas, perak, polos, berkerawang, semua itu akan memberi impak kepada ruang anda. Jangan nampak aneh pula nanti bila langsir digantung ya! Duit habis, langsir buruk….aduh sakit hatikan…

5. SUAI PADAN CORAK
Wow! kita paling keliru bab yang ini. Ingat adakah kita ingin langsir menyerlah dari yang lain atau sebagai satu elemen menyokong konsep asal atau perabot yang ada? Pilih 1! Ini selalunya langsir, sofa, permaidani, kertas dinding semuanya mempunyai corak yang bold dan bertelagah di  dalam satu ruang. Hasilnya…..yang mana satu nak kita lihat? Boleh juling dan stress dibuatnya! Jadi jika sofa atau kertas dindingnya sudah ada corak ‘over’, langsirnya biar polos aja atau corak yang lebih samar-samar. Begitu juga sebaliknya. Jadi ada keseimbangan.

6. PASTIKAN REKAAN BERPADANAN
Ukur tubuh pada badan sendiri, ukur langsir pada jendela sendiri! Sesuai atau tidak rekaan sarat umpama istana itu untuk hanya menghiasi jendela kediaman apartmen atau pangsapuri? Rekaan dramatik selalunya cantik untuk jendela besar dan tinggi sekitar 8 – 10 kaki. Andai rumahnya besar, perabot klasik nya dempak, ruangnya luas , silakan!  Tetapi jika rumahnya kecil, ia nampak bantut dan berat. Pilih yang simple dan amali malah lebih murah. Masih ada jalan lain untuk nampak rumah kita cantik!

7. ILUSI LEBAR DAN PENDEK
Ini bukan ukuran badan. Tetapi ada rumah jendelanya sepasang di tengah dinding sekitar  lebar 8′. Selalunya terdapat di kamar kedua unit apartmen atau kondo. Jangan biarkan ruang nampak biasa, kasi grand. Penuhkan dinding kecil itu dengan langsir polos dan bahagian jendela dihias lapisan sheer curtain atau bidai jika mahukan kelainan. Jadi teknik simple macam nilah yang boleh kasi ruang biasa nampak grand tanpa bercorak sarat. Murah tapi molek…..

8. SEDIAKAN PILIHAN KEDUA
Jangan rambang mata tengok kat kedai itu cantik beli. Ini cantik beli. Langsir tussel dulu pernah jadi trend  beli sudahnya habis kucing main terlilit sana -sini. Mana yang suka nampak klasik mampan tu, boleh memilih pilihan kedua bagi menyelamatkan keadaan. Bidai roman boleh menjadi pengganti langsir klasik berswag, jurai bagai. Pilih corak klasik warna samar, atau yang bersulam mewah atau fabrik berkualiti dan automatik jendela nampak mahal sebab rekaannya bidai roman memang molek….

9. JANGAN GIGIH MENIRU
Lokasi dan gaya hidup keluarga kita berbeza. Jangan lekas terbeli jiwa hanya melihat rumah orang lain rekaan langsirnya begitu ‘wow’. Apatah lagi di dalam drama , iklan segala bagai. Tanya sama diri kita, rajinkah kita menggantung yang begitu berat dan berlapis-lapis? Adakah kita punya pembantu atau masa untuk membersihkan langsir berkain tebal itu? Adakah kita pun bajet untuk membeli atau menempah langsir mewah setiap 3 – 6 bulan? Jika semuanya…. ya, teruskan usaha anda. Namun jika tidak, ayuh kita cari alternatif yang lebih best untuk diri kita.

10. TERSEKAT PADA SATU ILHAM
Adakala kita ni degil atau kurang yakin. Apakah fabrik seumpama ini sesuai untuk kita? Cantik atau buruk rumah kita nanti? Pada kita corak itu jelah yang sesuai, atau fabrik itu jelah yang layak untuk kita. Jika anda mempunyai cita rasa moden klasik namun rumahnya tidaklah semegah kediaman agam, kita boleh mencuba memasang pelmet kecil dan disudahkan dengan fabrik polos rona pastel. Jangan kerana ia berkonsep mewah atau dramatik, kita perlu memilih warna seterang-terang lahar gunung berapi. Itu tidak benar . Less is more!

Bila dah beli langsir, kerja-kerja mencuci pun dah jadi satu hal. Silap cuci, langsir anda kelihatan lama dan buruk. Nak elak maslah ni, anda perlu lakukan 10 perkara ni.

Amal 10 Tip Ini Agar Langsir Sentiasa Nampak Baru Dan Tahan Lama [klik sini]

Atau anda boleh tengok Teknik Betul Membasuh Kain Langsir Di Dalam Mesin Basuh [klik sini] 

 

Published by
Impiana