Berita

2021 Warna Lebih Berani Jadi Pilihan Akzonobel

Share

Setiap tahun, seluruh syarikat cat di dalam dunia akan menghasilkan warna mengikut trend. AkzoNobel turut tidak ketinggalan dalam menghasilkan warna untuk trend 2021. Pengeluar cat Dulux yang mendapat tempat dihati pelanggan sejak bertahun lagi, membuatkan ramai yang menantikan apa warna trend untuk tahun hadapan. Agak anda apa warna tahun kali ini? Kelompok tona warna apa yang menjadi pilihan Dulux tahun 2021 ini. Jom kita lihat warna apa yang menjadi pilihan dunia. Mana nak tahu kalau nak tukar cat rumah ikut trend 2021.

Brave Ground (juga dikenali sebagai Wright Stone 10YY 30/106) telah dilancarkan sebagai Warna Tahunan untuk AkzoNobel, peneraju cat dekoratif dan salutan serta pengeluar cat Dulux. Ia adalah nada warna bumi yang neutral dan lembut untuk memberi kita keberanian untuk menerima perubahan.

Di kala pelbagai peristiwa dan pengalaman yang tidak pernah berlaku sebelum ini menjadi perkara biasa, tidak hairanlah jika ramai yang berasa semakin hilang keharmonian dengan dunia moden. Menurut kajian trend global kami yang meluas, manusia sekarang perlu merasakan bumi yang mereka pijak. Apabila kita boleh berasa selesa dengan perkara-perkara yang ringkas/mudah/sederhana, kita berkeyakinan untuk mengekspresikan diri sendiri, berpegang kepada apa yang kita percaya dan membuat hubungan baru dari masa lalu dengan masa hadapan.

“Tahun ini, kami memilih Warna Pilihan yang boleh memberi kita asas kukuh sewaktu berada dalam tempoh yang menggoyahkan. Brave Ground adalah nada warna yang meneguh dan menyeimbangkan, sambil menghubungkan kita kembali dengan bumi. Warnanya lembut dan semula jadi neutral. Ini membangkitkan kestabilan, perkembangan serta potensi di samping mewujudkan rasa ketenangan,” kata David Teng, Pengurus Besar Kluster, AkzoNobel Decorative Paints Southeast Asia Pacific.

“Penyelidikan trend tahunan yang kami jalankan bersama pakar reka bentuk terkemuka diterapkan dalam perniagaan cat dan penyalut kami,” kata David Menko, Ketua Pegawai Pemasaran AkzoNobel. “Pasukan reka bentuk kami menggunakan cerapan itu bagi menghasilkan warna dan kemasan yang menjadi ikutan dan sesuai dengan kehendak pasaran, untuk pelanggan kami bagi cat hiasan, seni bina, aeroangkasa, automotif, pengguna elektronik dan penyalut kayu.”

Warna-warna neutral seperti Brave Ground boleh tampil menyerlah secara bersendirian atau membantu warna lain untuk tampak berseri. Palet warna pelengkap pula direka sepusar warna berkenaan untuk menjadikan ia mudah digunakan dan mencapai penampilan yang tepat. Empat palet akan membantu pengguna cat hiasan memilih warna yang menjadi ikutan dengan penuh yakin: palet Expressive, Trust, Timeless dan Earth.

Empat palet warna yang terbina dari Brave Ground mengambil nada warna neutral ini dalam arah yang sangat berbeza. Memenuhi keperluan yang mengkhusus, setiap palet membolehkan pengguna berasa cukup yakin untuk mengekspresikan diri mereka dengan warna:

  • Warna palet Expressive menyerlah dengan nada merah dan merah jambu yang diseimbangkan oleh kelembutan semula jadinya – memberikan keberanian untuk anda menjadi diri sendiri.
  • Palet warna Trust membawakan rona bumi dari seluruh dunia untuk mendorong kolaborasi dan rasa kekitaan – menawarkan ketenteraman dalam hubungan.
  • Palet warna Timeless meraikan yang lama dan yang baru dengan nada kuning, kuning kecoklatan dan neutral lembut – memberi inspirasi untuk membina masa lalu.
  • Palet warna Earth menghubungkan kita ke dunia semula jadi dengan gema nada biru, hijau dan coklat dari laut, langit dan tanah – memberikan kita keberanian untuk menyesuaikan diri

“Apabila pengguna berusaha untuk mengubah wajah kediaman mereka, mereka temui keyakinan dalam kepakaran dan bimbingan warna dari kami,” kata Heleen van Gent, Pengarah Kreatif Pusat Estetika Global AkzoNobel. “Inilah sebabnya penyelidikan warna global menjadi agenda utama kami setiap tahun.”

Sebagai tambahan kepada Cat Hiasan, lain-lain perniagaan yang bersandarkan kepada warna, seperti Automotif dan Salutan Istimewa, Salutan Serbuk dan Salutan Kayu, menggunakan palet yang serupa. Setiap perniagaan menyesuaikan palet salutan mereka mengikut kemahuan pelanggan dari segi warna, tekstur dan permukaan. Banyak pasaran yang memanfaatkan Warna Tahunan, termasuklah pengguna dan spesifier, aeroangkasa, automotif, pengguna elektronik, perabot, peralatan domestik, kabinet, pengeluar produk lantai dan binaan serta industri seni bina.

Menko menambah, “Warna memainkan peranan yang penting dalam dunia ini – ia membantu kita mengekspresikan diri sendiri. Warna Tahunan pula membantu kami berkongsi minat terhadap cat untuk menolong pelanggan dan pengguna kami membezakan diri dan produk mereka.”

Untuk keterangan lanjut mengenai Warna Tahunan 2021, kunjungi https://www.akzonobel.com/en atau ikuti #CF21 di media sosial.

Published by
Impiana