Laman

Selama Ini Hanya Kenal Nurserinya Di Sungai Buloh Ini Rupanya Laman Pengusaha Tersebut. Cantik!

Share

Yap Cheng Hock atau lebih dikenali sebagai Sunny Yap memang sudah dikenali bagi peminat taman gaya Bali Kontemporari kerana dia merupakan seorang pereka landskap dan pemilik tapak semaian Soon Lee Landscape di Sungai Buloh yang sering menjadikan konsep popular ini asas dalam reka bentuk tamannya.

Tidak mempunyai pendidikan khas dalam menghasilkan reka bentuk taman tidak membatas Sunny untuk mendapatkan ilmu ini secara berperingkat melalui pemerhatian dan pengalaman. Lebih meminati konsep taman yang kemas dan kurang penyelenggaraan, gabungan konsep Bali dan moden kontemporari ini berjaya diserlahkan dalam rekaan tamannya.

Berkongsi prinsipnya dalam mereka bentuk taman, Sunny berkata “Saya gemar pada taman yang direka tidak terlalu padat tetapi pada masa yang sama menonjolkan elemen-elemen penting taman tropika seperti kehijauan, batuan, air dan kayu. Penekanan kepada taman yang kurang penyelenggaraan dipilih supaya tujuan utama untuk mewujudkan taman tidak tersasar. Oleh itu bagi mewujudkan ‘roh’ Balinese, saya cuba bawakan kayu berukir dan arca. Manakala gaya kontemporari dikhususkan kepada pemilihan kemasan dan elemen hardscape.”

Mengenali Sunny Yap sejak  tiga tahun lalu serta telah banyak kerja tangan yang dihasilkan dilihat menonjolkan cita rasa Sunny yang gemar kepada kesederhanaan. Jika dilihat pada penataan ruang hadapan kediaman ini, Sunny hanya menempatkan beberapa batang palma, bambu dan tumbuhan epifit sebagai elemen softscape. Kesederhanaan ini tidak kelihatan membosankan kerana ia diadun serasi bersama panel dinding berukir bagi mengalihkan pandangan supaya lebih tertumpu kepada kemasan dinding ini.

Kemasan dari Thailand ini tidak menyebabkan keseluruhan taman kelihatan padat dan sesak kerana ia hanya lah sebahagian kecil daripada keseluruhan reka bentuk taman.

Elemen yang ingin ditekankan di dalam taman ini adalah ruang lantai yang menampakkan hampir keseluruhannya ditutupi kepingan konkrit bersaiz 2 kaki x 2 kaki dan batu kerikil saiz sederhana yang di susun di antaranya. Menurut Sunny, tujuan pemilihan turapan kepingan konkrit ini adalah untuk mengurangkan penyenggaraan serta menampilkan taman dalam bentuk yang lebih kemas dan teratur.

Beralih kepada prinsip-prinsip reka bentuk yang digunakan oleh Sunny, pergerakan atau sequence di dalam taman ini ditonjolkan melalui pengulangan warna dinding serta pengulangan material simen dan batu kerikil pada lantai. Secara kasarnya, ruang hadapan yang majoritinya dipelopori oleh warna kelabu pada hardscape kelihatan sedikit monotoni, tetapi jika diteliti ia sebenarnya bertujuan menyatakan kesatuan komposisi ruang sisi dan menguatkan sense of order yang diwujudkan pemilik merangkap pereka ini.

Ruang belakang pula dilengkapi elemen air bersama kolam ikan hiasan, pelantar kayu serta meja makan yang disusun kemas, keselesaan berada di ruang ini dirasakan di tahap optimum dengan reka letak simetri yang dipamerkan. Selain daripada itu, seleksi tanaman yang kekal sederhana juga menyebabkan komposisi tiga dimensi dari sisi, hadapan dan bawah ruangan ini terasa seimbang dan menenangkan.

Sekali lagi Sunny menekankan objektif dia dalam menghasilkan taman ini adalah untuk mengelakkan kerja-kerja penyenggaraan yang sukar dan terlalu rapi. Menurutnya, “ Dari segi pemilihan tanaman sehingga lah kepada jenis kolam yang ingin dibina, saya akan memastikan ia tidak memerlukan penyenggaraan kerap. Ini kerana, taman yang terlalu banyak elemen boleh menyebabkan kos penyelenggaraan menjadi lebih tinggi berbanding kos pembinaan taman. Jadi, bagi mengelakkan taman terabai lebih baik saya menumpukan kepada penggunaan ruang dan kekemasan semasa mereka bentuk taman ini.”

Keutamaan dalam reka bentuk taman ini secara keseluruhannya tidak tertumpu kepada menghasilkan elemen ganjil atau kontras untuk menarik perhatian. Penekanan atau fokus ditonjolkan melalui penyatuan keseluruhan kawasan taman ini menggunakan kaedah pengulangan warna dan garis lurus pada dinding serta lantai, elemen-elemen kecil serta ruang-ruang yang dibentuk. Sense of order dapat dirasai dari awal berada di bahagian hadapan sehingga ke hujung taman.

Sunny sempat berkongsi rasa mengenai tamannya. Katanya, “Taman saya bukanlah sebuah hasil seni yang menakjubkan, tetapi cukup lah ia menjadi sebuah ruang yang mudah difahami dan dirasai keselesaannya”. Ringkas dan padat, ucapannya itu menjadi inspirasi untuk penulis dan mungkin juga pembaca semua untuk diaplikasikan kepada taman yang akan dibina kelak.

Published by
Asmar Zakri