Laman

5 Jenis Pokok Hiasan Dijadikan Penyeri Laman, Harga ‘Kayangan’ Boleh Cecah Ribuan Ringgit

Share

5 Jenis Pokok Hiasan Dijadikan Penyeri Laman Harga ‘Kayangan’ Boleh Cecah Ribuan Ringgit. Terdapat pelbagai sebab pokok hiasan ini cukup bernilai harganya. Mungkin kerana unik, sukar dijumpai dan faktor penjagaan yang rumit, sebilangan besar pokok di bawah ini dijual di pasaran Malaysia pada harga mencecah ribuan malah ratusan ribu ringgit.

Walaupun harganya mahal melebihi seutas rantai emas atau mungkin seolah tidak masuk akal, ‘Pokok Kayangan’ ini terus menjadi buruan dan rebutan penghobi dunia hijau.

Lebih mengejutkan, harga pokok melonjak lebih tinggi mengikut jenis, corak, saiz dan bilangan daun. Jika berada dalam kategori pokok ‘rare’, keratan batang dengan sehelai daun sahaja sudah beribu harganya.

Malah ramai peminat laman yang sanggup menghabiskan duit mencecah ribuan ringgit untuk mengumpul pelbagai spesies pokok-pokok ini untuk dijadikan koleksi penyeri laman dan ruang kediaman.

1. ORKID

Pokok orkid atau nama saintifiknya Orchidaceae mempunyai pelbagai spesies, aneka warna, bentuk, harum, tahan lama, unik dan pesona keindahannya menjadi penyeri laman serta ruang kediaman

Siapa sangka pokok orkid yang asalnya tumbuh liar di hutan mampu mencecah hampir RM1 juta sepokok untuk spesies tertentu. Ketika ini, terdapat sebanyak 25,000 hingga 35,000 spesies orkid dengan kira-kira 1,000 ‘genera’ di seluruh dunia.

Kebanyakan spesies orkid liar dan hibrid menjadi produk pertanian dan holtikultur yang berharga tinggi. Antara orkid bernilai tinggi adalah dari spesies Orkid Gold of Kinabalu atau nama saintifiknya Paphiopedilum Rothchildianum, menduduki tempat kelima dalam senarai orkid termahal dunia, iaitu berharga RM27,270 sepokok.

Ia mahal kerana mengambil masa selama 15 tahun untuk mekar berbunga dan dipercayai tergolong dalam spesies di ambang kepupusan.

Spesies orkid Shenzhen Nongke yang hanya ada di China pula dilaporkan dijual dengan harga £160,000 (RM912,484) sepokok yang mengambil masa lapan tahun penyelidikan oleh saintis di negara itu bagi mencipta bunganya yang cantik dan elegan.

Orkid dari genus Cymbidium itu dipercayai paling mahal di dunia, hanya mekar setiap empat hingga lima tahun sekali, selain ia melambangkan sosiobudaya negara China dan aroma yang wangi.

2. BONSAI

Bonsai adalah seni membantutkan pokok dalam pasu supaya membawa penampilan kerdil daripada pohon besar berusia puluhan atau ratusan tahun. Lazimnya, saiz terkecil bonsai atau ‘mame’ bonsai hanya sebesar syiling 50 sen dan yang terbesar seelok-eloknya tidak lebih daripada satu meter tinggi.

Terdapat pelbagai spesies pokok yang boleh dijadikan bonsai. Antara spesies bonsai tunggal yang menarik terdapat dalam negara ini adalah spesies bonsai tempatan ‘cucur atap’, yang hanya boleh didapati di Kelantan dan Terengganu.

Gubahan pokok ini kebiasaannya dijual pada harga RM100 hingga RM200, namun ia mampu menjangkau sehingga puluhan ribu mengikut keunikan gubahan dan usianya. Pokok harga ‘kayangan’ ini apabila mampu mencecah RM25,000 sebatang jika dikategorikan sebagai bonsai kelas pertama.

Selain itu, beberapa jenis pokok yang sesuai dijadikan bonsai seperti pokok bunga kertas, kesinai, asam jawa, kemuning, ara dan melati. Semakin unik hasil gubahan Bonsai dan semakin matang umurnya, semakin tinggi jugalah nilainya.

Antara Bonsai termahal seperti spesies Wrightia Religiosa berusia 40 tahun dengan anggaran harga sekitar RM80,000 hingga RM90,000.

Minat terhadap pokok bonsai mendorong segelintir pemilik premis kediaman sanggup membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk membelinya.

 

Jadi tidak hairanlah bonsai juga menjadi lambang ‘status’ bagi pemilik kediaman kerana harganya yang mahal, tak semua pemilik laman mampu jadikan pokok ini sebagai penyeri rumah.

3. BROMELIAD (BUNGA NENAS)

Bromeliad sejenis tanaman hiasan eksotik yang tergolong dalam famili Bromeliaceae. Secara semula jadi, pokok bromeliad mudah dijumpai tumbuh dan hidup di atas pokok sebagai pokok tumpangan (epifit), di atas tanah, di celahan batu dan di tepi tebing gunung.

Terdapat lebih 3,700 spesies pokok bromeliad dengan pelbagai bentuk daun dan variasi warna yang menarik. Namun, kebanyakannya bromeliad berwarna terang dan apabila kembang, ia akan bertahan sehingga beberapa bulan.

Keunikan kombinasi warna dan daunnya menjadikan bromeliad kini antara tumbuhan hiasan untuk menyerikan halaman kediaman. Malah mudah dijaga, tidak memerlukan siraman setiap hari serta penjagaan yang rapi.

Namun bukan calang-calang harganya pokok yang berasal dari Amerika Selatan ini, ia juga mampu dijual pada harga ribuan ringgit.

4. KELADI EKSOTIK

Pokok Keladi ialah sekelompok tumbuhan dalam keluarga Araceae yang ditanam sebagai tanaman hiasan. Antara jenisnya seperti Aglaonema, Anthurium, Dieffenbachia, Epipremnum, Philodendron, Spathiphyllum dan Syngonium; dan juga Alocasia, Caladium dan Colocasia.

Pernah viral seketika dahulu, tanaman keladi eksotik antara pokok hiasan berharga bagi peminat laman. Ia mampu mencecah harga RM10,000 hingga RM35,000 sepokok bergantung pada jenis spesies dan keunikannya.

Sebagai contoh pokok keladi jenis colocasia midnight berharga RM24,000 sepokok, manakala jenis ‘Topeng Firaun’ harga pasaran antara RM10,000 hingga RM20,000 sepokok bagi pokok matang dan anak pokok dijual pada harga RM5,000 hingga RM8,000 sepokok.

Keladi ‘Colocasia Midnight’
‘Topeng Firaun’

Keladi jenis ‘Black Stan Variegated’ pula boleh dijual pada harga RM24,000 dan pokok matang pada harga RM38,000 sepokok.

Semakin sukar spesies keladi eksotik ini diperolehi, semakin mahal harganya di pasaran.

5. MONSTERA

Pokok Monstera (Monstera deliciosa) adalah sejenis tumbuhan daripada keluarga Araceae yang sering dijadikan tanaman hiasan yang mempunyai rupa bentuk yang unik dan cantik.

Keunikan tumbuhan ini adalah dimana bentuk daunnya yang berwarna hijau serta berlubang dan saiz daunnya juga besar. Pokok ini menjadi pilihan ramai kerana ia sesuai ditanam sebagai tanaman dalam rumah (indoor plants) atau dijadikan tamanan hiasan dalam pasu.

Pokok ini juga lebih dikenali sebagai pokok ‘Keladi Monstera’ atau ‘Cheese plant’ disebabkan bentuk lubang-lubang pada dunnya seakan lubang pada cheese. Ini juga berkait dengan daun pokok ini pada tumbuhan yang matang boleh menjadi sangat besar, berkilat, berwarna hijau gelap, daun terbelah-belah dan berlubang-lubang bergantung kepada spesis dan cara penjagaannya.

Pokok montera yang termasuk didalam keluarga memanjat (climbing plants) ini mempunyai 50 spesis dimana mampu tumbuh sehingga ketinggian 20 meter.

Pokok Monstera yang mempunyai daun berciri unik seperti ada tompokan berwarna cerah dan bermotif marmar dijual dengan harga yang mahal kerana sukar untuk didapati. Varian harga seperti Monstera Albo dijual pada harga USD100 (RM441) hanya bagi keratan batangnya sahaja kerana keunikannya dan juga faktor ada permintaan yang tinggi di kalangan pencinta Monstera . Hasil tinjauan, sepohon pokok Monstera albo dan bagi jenis Monstera Thai Constellation dijual pada harga RM1500-RM2500.

Monstera Albo Marble, Monstera Aurea Marble dan Monstera Albo Halfmoon antara yang mempunyai nilai pasaran tinggi.Nilaian harga pokok-pokok ini bertambah tinggi bergantung kepada kematangan dan saiz daun, kesihatan akar, saiz batang dan keadaan fizikal daun yang tiada cacat cela. Malah mampu dijual sehingga puluhan ribu ringgit.

IMPIANA: Jika berkemampuan apa salahnya untuk mengumpul koleksi pokok kayangan ini. Malah jika bijak percaturan, hobi tersebut boleh dijadikan pendapatan sampingan dengan menjual anak-anak pokok yang ada.

Mesti Baca:Rupa-rupanya Pokok Bonsai Termasuk Dalam Kategori Karya Seni. Patutlah Mahal.
Baca Lagi Di Sini:Teknik Tanam Bunga Kertas Dalam Pasu Gantung, Unik Dan Cantik
Artikel Menarik: Kalau Ada Anak Kecil Di Rumah Elak Tanam Jenis Pokok Keladi

Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Suhaidah Binti Abd Wahab