Jangan takut untuk mencantas atau memangkas pokok dan tumbuhan renek di laman rumah anda. Hanya beberapa minit sahaja perlu diperuntukkan untuk memangkas softscape yang terdapat di halaman rumah supaya ia sentiasa berdaun lebat, berbunga dan sihat. Namun, kita sering mengabaikan dan tidak melakukan proses pemangkasan dengan betul dan secara berjadual. Ini disebabkan kita kurang terdedah kepada pengetahuan dan beranggapan kerja-kerja pemangkasan memerlukan peruntukan masa yang lama. Ada pula yang khuatir, jika pemangkasan dilakukan ia akan menyebabkan pokok tidak cantik dan mati. Hakikatnya, jika ia dilakukan secara berjadual dengan teknik yang betul, ia dapat membantu anda untuk memastikan laman rumah sentiasa rapi dan indah. Oleh itu, ikuti langkah-langkah dan tip yang telah disediakan untuk memastikan anda menguasai teknik pemangkasan yang betul. Baca part 1 di sini http://www.impiana.my/5-langkah-mudah-untuk-pangkas-pokok-muda/
Jenis pemangkasan
Pemangkasan adalah amalan penjagaan softscape paling penting terutamanya untuk tumbuhan berbatang keras seperti pokok, tumbuhan renek dan sebagainya. Aktiviti ini memerlukan penggabungan kemahiran seni dan ilmu sains bagi memastikan pemangkasan yang dilakukan itu menepati keperluan tumbuhan. Terdapat tiga jenis asas pemangkasan yang kerap digunakan untuk iklim Malaysia. Setiap jenis mempunyai tujuan dan kesan yang berbeza.
- Pinching
Cara paling mudah dan cepat untuk melakukan pemangkasan adalah dengan memetik hujung pucuk dengan menggunakan jari. Dengan cara ini ia dapat menggalakkan pertumbuhan tunas baru dan menjadikan tumbuhan merimbun dan berdaun lebat. Teknik ini digunakan untuk tumbuhan annual dan perennial terutamanya untuk pokok yang baru lepas berbunga. Teknik ini juga sesuai digunakan untuk tumbuhan renek berdaun seperti Alternanthera spp. dan tumbuhan herba. Ia mampu menggalakkan percambahan tunas baru dan secara tidak langsung pokok herba menjadi rimbun.
- Heading
Teknik heading digunakan untuk mengawal tumbesaran dan membentuk pokok mengikut bentuk yang telah ditetapkan. Teknik ini kebiasaannya digunakan untuk pokok bonsai atau topiari. Pastikan dahan atau ranting yang hendak dilakukan heading telah bertunas dan mengeluarkan daun. Pemangkasan perlu dilakukan di bahagian atas tunas secara menyerong dengan sudut 45 darjah. Anda hanya memerlukan hand-held pruners untuk memudahkan tugas-tugas pemangkasan.
- Thinning
Thinning bertujuan untuk mengurangkan kepadatan dahan dan memberi ruang kepada ranting bergerak bebas. Setiap keratan atau pemangkasan thinning akan menyebabkan dahan atau ranting dibuang keseluruhannya. Dengan melakukan thinning, ia membantu pokok mengurangkan kadar persaingan terutamanya untuk pokok yang ditanam bagi tujuan penghasilan produk seperti pokok buah. Secara tidak langsung ia membantu pokok yang telah dilakukan thinning mengeluarkan hasil yang berkualiti tinggi.
Berapa banyak pemangkasan perlu dilakukan?
Kebiasaannya, tidak lebih 25% dari saiz kanopi pokok muda perlu dicantas setiap tahun. Namun, ia bergantung pada jenis dan kondisi pokok. Ada kalanya 5% hingga 10% sahaja pemangkasan yang perlu dilakukan untuk membentuk struktur dan bentuknya. Manakala pokok yang cepat membesar dan mengalami kerosakan, sekurang-kurangnya 25% bahagiannya perlu dipangkas, termasuk bahagian yang rosak. Tapi perlu dipastikan juga bahagian bawah pokok mempunyai daun yang lebat untuk melindungi kekuatan batang pokok (leader).
Bila pemangkasan boleh dilakukan
Waktu pemangkasan dilakukan bergantung kepada tumbesaran pokok. Untuk pemangkasan bahagian pokok yang telah mati, ia boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja. Namun, untuk tujuan menggalakkan pokok atau tumbuhan renek cepat berbunga, pemangkasan perlu dilakukan apabila bunga mula layu. Manakala untuk pokok berbuah, pemangkasan sesuai dilakukan apabila hasil atau buah telah dituai. Elakkan daripada melakukan pemangkasan ketika pokok mula mengeluarkan putik bunga kerana ia akan mengganggu sistem pokok dan ada kalanya boleh menyebabkan pokok merajuk untuk berbunga semula.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI