Terdapat beberapa faktor kerja-kerja pengubahsuaian rumah mengambil masa yang terlalu lama ataupun melebihi bajet yang telah ditentukan. Salah satunya ialah, kesilapan merancang pemilik itu sendiri. Kadangkala ianya terjadi tanpa anda sedari. Dengan mengelakkan daripada melakukan kesilapan ini, anda bukan sahaja dapat menjimatkan sebahagian besar masa tetapi juga dapat memastikan segala perbelanjaan selaras dengan bajet anda. Dan paling penting, rumah impian anda bakal menjadi kenyataan dengan proses ubah suai yang berjalan lancar.
Berikut adalah LIMA kesilapan yang sering pemilik lakukan dan bagaimana untuk mengelaknya:
1. Mengupah Orang Yang Salah
Ramai pemilik rumah terburu-buru dan terus memilih pereka atau kontraktor pertama yang mereka jumpa. Ataupun terus saja menggunakan khidmat berdasarkan cadangan dari rakan-rakan. Anda mungkin akan menyesali perbuatan ini kerana perkara yang dilakukan tanpa perancangan dan penyelidikan selalunya akan membawa kepada kehancuran.
Untuk mengelakkan daripada membuat kesilapan ini, pastikan anda mencari beberapa calon dalam tempoh 6 bulan lebih awal. Dengan ini anda akan mempunyai banyak masa untuk interview atau periksa latar belakang dan kredibiliti kontraktor tersebut. Anda juga tidak perlu tergesa-gesa membuat keputusan selain dapat memberikan masa yang secukupnya buat kontraktor yang dipilih untuk membuat perancangan yang sepatutnya.
2. Setuju Dengan Harga Yang Murah
Harga yang murah memang kedengaran menarik dan megujakan para pengguna, tambahan pula dalam ekonomi yang tidak menentu ini. Tetapi anda perlu ingat, tawaran yang paling rendah tidak semestinya tawaran yang terbaik. Sesetengah pihak tidak bertanggungjawab akan berikan harga yang rendah kemudian memasang produk yang tidak berkualiti dengan kerja-kerja yang tidak kemas. Sakit hati kan? Ataupun akan ada charge tambahan mengejut untuk anda apabila kerja sudah dimulakan.
Jadi, pastikan anda meminta sebutan harga daripada beberapa calon kemudian pilih yang anda paling selesa dan yang anda rasakan paling amanah menjalankan tugas. Dua kriteria ini amat penting untuk anda pertimbangkan sebelum memilih pereka atau kontraktor untuk mengubahsuai kediaman impian anda.
3. Tidak Menetapkan Jangka Masa
Kerja-kerja renovasi boleh mengambil masa berbulan-bulan bergantung pada saiz dan berapa banyak kerja yang perlu diselesaikan bagi mendapatkan kediaman yang sempurna. Tetapi, tidak menetapkan garis masa yang realistik untuk menyiapkan segalanya merupakan salah satu kesilapan besar yang boleh anda lakukan.
Duduk dengan pereka dalaman anda dan buatkan jadual kerja sebelum proses ubahsuai dimulakan. Dengan cara ini anda akan dapat lihat sendiri progress dan juga kualiti kerja dengan lebih teratur. Memang tidak dinafikan pasti akan ada sedikit kelewatan jadi anda perlu lebih fleksibel dan berikan sedikit kelonggaran agar pekerja mempunyai masa untuk balik ke landasan kerja yang telah ditetapkan.
4. Tiada Konsep Atau Tema
Tidak membentangkan sebarang konsep atau tema tertentu sebelum memulakan sesi ubahsuai kediaman ini ibarat perbuatan yang sia-sia. Dengan mempunyai konsep pilihan, ia akan memberikan anda lebih idea tentang apa yang patut dilakukan dan material apa yang sesuai untuk digunakan. selain itu, konsep juga memberi peluang buat tuan rumah menyerlahkan personaliti kedalam seni hiasan dalaman. Rancang dengan teliti dan dapatkan pendapat dan nasihat pereka tentang konsep yang paling sesuai untuk kediaman anda.
5. Memandang Remeh Kos Ubah Suai
Ttidak menetapkan bajet yang realistik juga merupakan kesalah biasa yang dilakukan oleh sesetengah pemilik rumah. Dan perkara ini pasti akan mempengaruhi keseluruhan proses ubah suai. Ambil kira tentang perkara-perkara seperti keluasan ruang, material yang sesuai, upah pertukangan serta kerja-kerja elektrikal supaya segala bayaran adalah setimpal dengan kualiti hasil. Sebaik-baiknya, anda perlu meletakkan extra 20% daripada bajet sebenar sebagai langkah berjaga-jaga jika sesuatu yang tidak diingini berlaku.