5 Kesilapan Ini Perlu Elak Ketika Ubah Suai Dapur

Share

Sesebuah dapur perlu direka bergantung pada praktikaliti dan fungsi, bukan hanya semata-mata design yang hip dan moden. Secara faktanya, tidak ada dua dapur yang sama; dengan reka bentuk berbeza fungsi untuk orang yang berbeza dengan keperluan yang berbeza. Walau bagaimanapun, menurut pakar dapur kami, terdapat beberapa kesilapan biasa yang semua orang patut elakkan semasa pengubahsuaian dapur.

Flow Yang Tidak Sesuai

Aliran kerja di dapur merangkumi langkah-langkah yang anda akan ambil ketika proses menyediakan makanan, dari menyimpan makanan untuk persediaan, memasak dan membersihkan. Oleh yang demikian, dapur anda harus dibina dimana ia membolehkan anda untuk bergerak dari satu tugas ke tugas seterusnya dengan lancar dan tanpa gangguan. Bergantung kepada susun atur dapur anda, garis panduan asas bagi aliran kerja yang baik adalah untuk mewujudkan beberapa zon yang berbeza iaitu ruang penyimpanan, ruang penyediaan, ruang memasak dan pembersihan.

Tidak Mempunyai Ruang Counter Top Yang Mencukupi

Sama ada untuk penyediaan makanan, atau untuk menempatkan peralatan dan perkakas, kaunter di dapur merupakan aspek penting yang perlu dititikberatkan sebelum membina dapur idaman anda. Selain meningkatkan fungsi dapur, kaunter juga dapat dijadikan sebagai ruang storan tambahan. Pastikan kabinet yang dibina cukup panjang supaya anda mempunyai ruang yang banyak kerana tiada siapa mahu berhimpit-himpit di satu sudut semasa menyediakan makanan. Peralatan memasak anda juga mungkin terdedah pada dapur masak yang panas dan pendedahan pada haba dalam jangka masa yang lama boleh merosakkan alatan. Salah satu cara untuk menambah ruang atas kaunter adalah dengan membina island. Letakkan ia bertentangan dengan dapur memasak serta sinki dan pastikan saiznya bersesuaian dengan luas keseluruhan dapur anda.

Ruang Storan Yang Sedikit

Seperti segala-galanya dalam kehidupan, adalah penting untuk pastikan dapur anda sentiasa kemas dan teratur. Kabinet, laci dan rak-rak dinding adalah sebahagian daripada banyak cara untuk dijadikan ruang storan untuk dapur anda. Manakala cangkuk, rel dan pegboard adalah cara genius untuk menggantung periuk, kuali dan senduk. Perlu diingat juga, ruang untuk bukaan laci perlu disediakan agar tidak berlaga laci dengan kabinet lain, sayang kalau tercalar nanti.

Pencahayaan Yang Tidak Memadai

Pencahayaan bukan sahaja penting bagi menceriakan ruang penyediaan, tetapi ia juga dapat menetapkan mood dan suasana keseluruhan dapur. Penyediaan makanan biasanya dilakukan di bawah kaunter mengadap dinding, menghiris dan memotong akan menjadi lebih sukar dan merbahaya jika dapur anda tidak diterangi dengan baik. Kurangnya pencahayaan yang betul juga menjadikan dapur anda gelap, suram dan tidak menarik. Semasa kerja-kerja pengubahsuaian dapur, anda perlu melabur lebih sedikit untuk kualiti pencahayaan, barulah puas hati. Ini juga membantu mencipta suasana yang lebih selesa buat tuan rumah dan tetamu.

Pengudaraan Yang Tidak Lancar

Tiada siapa yang suka rumah mereka berbau minyak dan asap, terutamanya jika dapur anda terletak berhampiran kawasan berkumpul seperti ruang tamu. Jadi, adalah penting untuk sesebuah dapur mempunyai sistem pengudaraan yang baik. Ia bukan sahaja dapat membantu meningkatkan peredaran udara dalam rumah, tetapi juga dapat membuang bau tidak menyenangkan dan kotoran minyak yang melekat pada permukaan ruang dapur. Pasangkan hud yang dapat menapis bau dengan berkesan, selain itu tingkap juga perlu dibuka agar udara segar boleh masuk kedalam.

Jika anda bercadang untuk membuat pengubahsuaian dapur, bolehlah praktikkan tips di atas ya. Selamat menghias!

 

 

 

 

 

 

Published by
Amalina