5 Pilihan Material Kabinet Dapur Yang Berbaloi Dan Produktif

Share

Setiap ruang dikediaman mempunyai fungsi yang tersendiri. Sementara ruangan seperti bilik tidur dan ruang tamu dilihat sebagai kawasan untuk berehat serta bersantai, ruang dapur pula lebih mementingkan produktiviti. Jadi tentu saja ia memerlukan kawasan yang luas untuk melakukan kerja-kerja penyediaan memasak serta ruang penstoran yang optimum bagi memastikan dapur sentiasa kelihatan kemas dan rapi.

Oleh kerana itu, ramai pemilik rumah mahukan dapur yang sempurna dan tidak kisah berbelanja lebih untuk dapatkan yang terbaik. Tidak dinafikan, setiap orang mempunyai keinginan dan pilihan masing-masing yang berbeza dari segi style dan kegunaan tetapi segalanya akan berbalik kepada beberapa perkara penting yang perlu dipertimbangkan seperti kos, ketahanan, jangka hayat dan kekemasan.

Sebarang pengubahsuaian rumah perlulah dirancang secara terperinci dahulu. Dapur juga tidak terkecuali malah, kos renovasi dapur adalah antara yang paling tinggi jika ingin dibandingkan dengan ruang kediaman yang lain. Tetapi apabila ia melibatkan dapur, sebahagian besar daripada perhatian anda sentiasa akan pergi ke kabinet dapur. Ini kerana kabinet dapur adalah tunjang utama ruang dan kabinet boleh mengambil sehingga 30% daripada jumlah keseluruhan bajet pengubahsuaian.

Sebagai pengguna yang bijak, sudah tentu anda inginkan sesusatu yang cantik di mata, berkualiti baik dan pada masa yang sama, mesra-poket. Disini kami senaraikan beberapa material yang biasa digunakan dalam pembinaan kabinet dapur berserta kebaikan dan keburukan setiap satunya.

1. Papan Cip (Chipboard)

Merupakan bahan paling berpatutan dan murah kerana diperbuat daripada serpihan kayu yang terikat oleh resin sintetik yang kemudiannya dimampatkan untuk membentuk papan. Permukaan pepejal yang kuat menjadikan chipboard bahan yang susah untuk tercalar, tahan hentakan, dan juga anti-kulat tetapi tahap kelembapan yang tinggi boleh menyebabkan kayu cip membengkak.

2. Papan Blok (Block Board)

Bahan ini terdiri daripada jalur kayu halus yang disusun sebelah menyebelah, lapisan demi lapisan. Kemudian lapisan nipis melamine digamkan pada bahagian atas dan bawahnya. Berbeza dengan kayu cip yang mempunyai rintangan yang rendah kepada air, papan blok lebih tahan dan boleh digunakan pada kawasan simpanan yang terdedah kepada kelembapan.

3. Kayu Lapis (Plywood)

Papan lapis diperbuat daripada beberapa lapisan kayu nipis yang dipaku bersama-sama untuk membentuk papan. Material ini biasanya dilapisi lagi dengan laminate untuk memberikan kemasan yang lebih rapi dan bersih. Sifatnya yang lebih kukuh dan tahan kelembapan menjadikannya salah satu bahan yang paling mudah untuk diselenggara. Bahan ini juga datang dalam pelbagai warna dan tekstur.

Bahan Alternatif Untuk Kabinet Dapur
Selain menggunakan pelbagai jenis kayu, terdapat bahan lain yang juga boleh dipertimbangkan menjadi kabinet dapur ;

4. Konkrit

Kabinet dapur konkrit kebiasaannya dijumpai di rumah-rumah lama. Ia akan dilapisi jubin bagi mewujudkan satu platform yang amat teguh, kuat dan tahan lama sesuai untuk aktiviti memasak yang berat. Bagi pemilik yang inginkan konsep industrial atau brutalis untuk dapur, konkrit mungkin akan menjadi pilihan yang utama.

5. Besi Tahan Karat

Alternatif lain yang jarang kita dengar di negara ini adalah material besi tahan karat sebagai kabinet dapur melainkan ianya didapur komersial seperti di restoran ataupun hotel. Material ini sangat tahan lama dan mudah untuk dibersihkan tetapi lebih mahal daripada kayu, menjadikannya sesuatu yang jarang dipasang untuk kediaman domestik.

Kabinet merupakan salah satu bahagian yang paling mahal berbanding dengan bahagian yang lain tetapi ia juga merupakan penentu gaya keseluruhan dapur. Oleh itu, adalah penting untuk memilih material kabinet dengan teliti supaya ia sentiasa kelihatan baik, teratur dan tahan lama. Dengan pemilihan yang tepat dan bersesuaian dengan bajet, anda boleh melabur lebih untuk bahan yang mempunyai sifat rintangan air dan haba yang baik selain menyediakan pilihan reka bentuk yang sepadan dengan gaya anda.

Published by
Amalina