Ramai di antara pemilik kediaman mengabdikan kayu bagi struktur utama membina gazebo, tiang, pintu pagar, bingkai tingkap, anjung, dek kayu dan sebagainya. Permintaan tinggi daripada pemilik kediaman memungkinkan NBS Corporation Sdn Bhd, tampil memudahkan cara apabila menjadi kontraktor landskap utama membekalkan struktur cengal sejak 10 tahun lalu. Inovasi mereka dalam reka bentuk hardscape yang lebih moden berjaya memenuhi cita rasa para pemilik kediaman pada masa kini.
Justeru pemilik kediaman yang dikunjungi oleh team LAMAN ini, juga antara salah seorang peminat kayu cengal yang begitu menghargai kualiti ketahanan kayu ini serta kecantikan permukaannya. Kapten Shahrizan dan Ruhela iaitu pasangan suami isteri yang menetap di Kajang, telah dua kali mendapatkan khidmat NBS Corporation untuk kediaman mereka.
Menurut Ruhela “Sebenarnya kediaman ini telah kami beli sejak lima tahun lepas, dan baru dua bulan berpindah masuk ke sini. Ia mengambil tempoh yang agak lama untuk berpindah masuk kerana saya dan suami mempunyai perancangan tersendiri. Kami mahu menyiapkan taman dengan sempurna sebelum rumah ini kami duduki. Oleh itu dalam tempoh lima tahun ini kami pastikan kos pembinaan taman cukup dahulu,” terang pemilik pada pertemuan kami pagi itu.
Rasional pasangan ini membuat perancangan yang rapi untuk kediaman kedua ini adalah kerana, kediaman mereka yang lama juga menggunakan khidmat NBS Corporation bagi membina taman menggunakan kayu cengal. Mereka begitu berpuas hati kerana struktur kejur tersebut utuh dan tidak pernah berubah sejak dahulu sehingga kini. Ia umpama pelaburan sekali seumur hidup, buktinya sehingga kini tidak ada sebarang kerosakan kepada struktur cengal tersebut kecuali hanya sapuan kemasan varnis setahun sekali.
“Disebabkan berpuas hati dengan kondisi taman di kediaman lama, suami saya yang sememangnya peminat setia kayu ingin mengekalkan rekaan yang sama untuk rumah ini. Kami mahukan kediaman ini mempunyai suasana rumah kampung dengan sentuhan moden. Tidak dinafikan kami juga membuat penambah baikkan di rumah ini iaitu menggunakan kayu cengal sepenuhnya untuk pagar, anjung, bingkai tingkap, kawasan parkir, gazebo dan lain-lain lagi,” tambah pemilik sambil melihat anaknya bermain di pondok kecil.
Tidak ketinggalan sebuah pondok kecil khas buat anak bongsu pemilik turut dibina oleh NBS Corporation. Playhouse yang direka bentuk secara ergonomik ini umpama sebuah rumah sebenar buat anak kecil pemilik bermain. Dengan pintu dan tingkap yang boleh dibuka, anak kecilnya boleh duduk dan berdiri dengan selesa di dalam rumah kecil ini. Sengaja binaannya dibina tinggi agar menyerupai rumah sebenar Melayu tradisional. Bagai berada di sebuah perkampungan kecil apabila bermain-main di pondok ini.
“Jika di rumah lama kami hanya menyediakan sebuah water feature bertingkat yang kecil untuk efek bunyi air, tetapi di kediaman ini sebuah kolam lengkap dengan air terjun mini. Saya membayangkan suasananya seperti di Sungai Congkak. Mendengar deruan air sangat melekakan dan menenteramkan jiwa. Malah berada di gazebo ini dengan suami pada setiap malam sambil berbual santai adalah kegemaran kami berdua, sambil mendengar bunyi air dari kolam.” Tambah pemilik lagi.
Kolam yang sederhana besar ini menggunakan natural stone yang disusun tidak terlalu curam agar ia menghasilkan efek jatuhan bunyi air sebagaimana di sungai sebenar. Ikan koi yang diletakkan di dalam kolam ini juga sering menarik perhatian pemilik untuk melihatnya bermain dan memberi makanan.
Pemilik juga membina sebuah anjung yang bersambung dengan kawasan dapur dan ruang tamu. Anjung ini menjadi lokasi mereka sekeluarga untuk menikmati sarapan pagi. Sengaja pemilik menyediakan outdoor living room bersebelahan dapur dan ruang tamu kerana ruang ini umpama extension kepada ruang dalam rumah. Konsep easy access diterapkan agar ia memudahkan pergerakan mereka seisi keluarga dalam menggunakan ruang-ruang ini. Secara tidak langsung konsep sebegini memaksimumkan fungsi ruang serta menjadikan ia lebih mesra pengguna.
“ Dari segi pemilihan tumbuh-tumbuhan, saya masih mengekalkan gaya yang sama sebagaimana kediaman lama. Pemilihan rumput cow grass yang tahan lasak, renek berdaun dan pokok teduhan daripada spesies palma, kesemuanya adalah easy maintenance. Hanya siraman, pangkasan dan pembajaan diperlukan kerana kesemua pokok-pokok ini tidak cerewet,” tambah pemilik lagi.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI