Adakala kita terlupa jendela kediaman kita bukan sebagaimana kediaman lain yang jauh lebih rendah. Selalunya jendela yang tinggi menyebabkan kain langsir menjadi senteng. Jangan malu segan untuk menambah fabrik di bawah mahu pun ¾ dari kaki fabrik langsir . Tambahkan 6 inci hingga 9 inci lebar kain tambahan dan jahit lah dengan kemas sambungannya agar membentuk garisan mewah di atas teks kain tersebut.
Manakala bagi dinding, jika anda bermain dengan kertas dinding, tidak salah jika memilih corak flora fauna yang samar atau ilusi pokok menjalar tinggi bagi kanak-kanak agar dinding yang agak tinggi ini nampak lebih menarik dan disempurnakan dengan hiasan yang ideal. Gantungan ala vertikal juga digalakkan.
3. Dinding adalah jendela
Bagaikan akuarium, kediaman urban kini dilitupi dengan cermin jarang baru pada hampir keseluruhan dinding. Ini adalah kerana kebanyakan kediaman kini mempunyai gaya urban dan banyak menggunakan cermin jarang. Anda boleh menutup dengan bidai roman yang juga kemas dan didatangkan dalam pelbagai corak dan boleh juga dipadankan dengan kemasan lembut. Kelebihan bidai Perancis ini adalah corak dan warnanya boleh ditukar-tukar oleh tuannya. Anda juga boleh menggunakan bidai horizontal bagi menyukat cahaya yang tidak diperlukan dengan lebih berkesan.
4. Padanan ideal
Pastikan anda melihat dinding kediaman sebelum bertindak memilih langsir yang serasi. Apakah jenis kemasannya dan apakah pula warnanya yang dipilih. Anda perlu peka dengan kesesuaian ruang juga. Misalnya ruang dipalitkan dengan rona tanah dengan konsep harmoni.
Pastikan anda tidak memilih rona yang bertentangan dengan skema warna yang mendominasi ruang agar pandangan fokus mata anda tidak bertelagah di dalam satu ruang. Sebaliknya pilihlah rangkaian warna tanah yang ideal buat ruang tersebut agar teradun sempurna.
Begitu juga jika ruang sudah sarat dengan hiasan dan corak dari kertas dinding. Tergamakkah kita mengenakan langsing bercorak sarat berwarna terang? Pilihan rona pastel yang lebih tenang dan melegakan pandangan di ruang tersebut. Awas, pastikan jendela anda mampu memberi limpahan cahaya matahari dengan sempurna. Jika ruang tamu anda terkepung dengan bangunan atau tidak menghala ke arah matahari, pilihlah langsir renda yang bukan sahaja menarik malah tidak menghalang cahaya semula jadi secara total .
5. Kesilapan lazim
Ramai di kalangan kita yang silap memilih rekaan langsir tanpa mengambil kira keserasian rekaan langsir dan konsep kediaman. Kita merasakan rekaan langsir tidak sama dengan konsep kediaman atau saiz kediaman kita. Namun antara yang lazim dilakukan adalah melangsiri pintu.
Misalnya –
i. Memilih langsir swag di kediaman bersiling rendah dan sempit
ii. Memilih langsir berwarna kontra dengan dinding
iii. Memilih aras langsir yang agak senteng
iv. Memilih langsir ropol ala kedesaan dan dipadankan dengan gaya moden.
v. Memilih kain bercorak sarat untuk langsir rekaan klasik berswag.