Pasti anda rasa geram kan jika makanan anda dihurung semut? Terus hilang selera nak makan. Hakikatnya bukan setakat makanan manis sahaja yang disukai semut malah dalam bekas air kosong juga selalunya semut dijumpai.
Kehadiran semut sering ditemui di ruang dapur yang mempunyai banyak makanan. Sudah pasti anda rasa kurang selesa untuk menggunakan racun serangga. Lebih-lebih lagi jika ada anak kecil dirumah anda. Jadi, anda boleh cuba cara ini untuk menghalau semut dari rumah anda secara alami.
Potong beberapa daun sirih dan taburkan pada tempat semut selalu berkerumun. Bau daun sirih akan membuatkan semut beredar dari kawasan tersebut.
Air rendaman lada kering boleh digunakan untuk menghalau semut. Simpankannya ke dalam sebuah botol penyembur dan semburkan di laluan semut.
Bakar kulit telur hingga menjadi abu. Tabur abu ini pada kawasan laluan semut atau tempat semut berkerumun.
Buah-buahan sitrus juga mengeluarkan bauan wangi untuk kita, tetapi tidak untuk semut dan serangga lain. Oleh itu, ambil peluang ini untuk menggunakan semburan sitrus untuk menyegarkan kediaman di samping menyahkan semut-semut daripada rumah anda.
Kopi juga mempunyai bau yang kuat dan boleh digunakan untuk menghalau semut daripada menghurung makanan di rumah anda.
Cuka putih adalah penghalau semut yang amat berkesan kerana semut tak sukakan baunya yang kuat dan kandungannya yang berasid.