Percaya atau tidak, walau setinggi manapun kediaman anda sama ada di kondominium atau service apartment, kalau tidak ada penjagaan serta pencegahan yang mantap, nyamuk pasti akan boleh memasuki kediaman anda dan menjangkiti seluruh ahli keluarga. Tambahan lagi, ketika ini terdapat banyak laporan di dada akhbar tentang demam denggi yang melanda negara kita.
Selain daripada menggunakan semburan aerosol atau memasang ubat nyamuk yang pasti akan membuatkan kediaman anda berbau, adalah molek jika anda mencuba alternatif menggunakan tumbuh-tumbuhan sebagai penghalang kemasukan nyamuk denggi. Ikuti senarai 6 jenis bunga yang mampu menghindari kediaman anda dari menjadi sasaran nyamuk.
Daun Basil
Ianya bukan sahaja dikenali sebagai herba yang sedap dikalangan penggemar makanan Itali, tetapi ianya juga merupakan penolak semulajadi nyamuk. Disebabkan aromanya yang kuat, menyebabkan nyamuk akan terbang jauh dari tumbuhan ini. Kepada manusia, ianya membuatkan makanan kita lebih sedap, bagi nyamuk, its a no no.
Daun Pudina
Tumbuhan ini amat dekat dan tidak asing lagi dengan kita tidak kira dalam masakan, malahan untuk penjagaan gigi pun ianya memberi manfaat yang besar. Kajian menyatakan bahawa, cecair minyak yang diekstrak daripada daun pudina boleh menghindarkan nyamuk yang membawa virus malaria dan denggi selama 60-180 minit.
Daun Rosemary
Jika anda peminat makanan barat, anda pasti mengenali daun ini yang terkenal dengan rasa serta aroma pedas dan berkayu ini. Selain daripada menjadi herba yang hebat dalam masakan, jika anda pergi hiking atau berkhemah, pastikan anda bakar daun ini di dalam unggun api. Asap yang membakar menguatkan lagi rasa tidak sedap bagi nyamuk dan mereka akan menghindari tapak perkhemahan anda. Kalau di luar ianya mujarab, bayangkan jika herba ini ditanam segar dalam rumah anda.
Pokok Lavender
Siapa yang tidak tahu tentang keharuman yang mendamaikan daripada pokok lavender. Aromanya boleh membuatkan kita lupa sejenak terhadap masalah yang menimpa, tetapi ianya adalah sebaliknya bagi nyamuk. Nyamuk tidak menyukai bau yang disebarkan oleh pohon ini dan ianya turut mengandungi anti-fungal dan mempunyai cecair antispetic semulajadi. Pokok ini amat sesuai jika ianya ditanam dalam pasu dan diletakkan bersebalahan dengan pintu dan tingkap kediaman anda.
Pokok Bunga Marigold
Pokok ini berasal daripada negara Amerika Latin, Mexico. Apabila sudah bercambah menjadi bunga, ianya akan melepaskan bau yang amat kuat dan tidak disukai oleh banyak spesis serangga tetapi nyaman untuk manusia. Dalam kediaman, ianya amat mudah untuk dijaga dan anda hanya perlu memastikan ianya mendapat cahaya matahari yang mencukupi untuk mendapatkan bunga yang cantik dan aroma yang berupaya melindungi anda seisi keluarga dari serangan nyamuk.
Bunga Geranium
Bunga ini amat dikenali dikalangan pembuat minyak wangi malahan berupaya menghalau nyamuk dengan efisien. Cara menjaganya amat mudah, anda hanya perlu letakkan pasu bunga geranium di luar kediaman dan biarkan daunnya terkena tiupan angin sehingga mengeluarkan aroma yang tidak disukai nyamuk.