Laman

6 Jenis Syuran Yang Biasa Kita Beli Ini Sebenarnya Boleh Tanam Sendiri Je Di Rumah

Share

Kini semakin ramai pemilik kediaman yang menjadikan kediaman mereka sebagai tempat untuk sumber sayuran seharian. Malah ada yang menetap di bandar turut sama menanam pokok buah-buahan sebagaimana di kampung-kampung. LAMAN senaraikan enam sayuran yang anda boleh tanam sendiri walaupun anda rasa susah dan mustahil untuk hidup subur.

Asparagus
Kaya dengan vitamin B, C dan kalsium asparagus boleh menjadikan edible garden anda lebih bervariasi. Diklasifikasikan sebagai tanaman perennial, pucuknya segar boleh dituai hanya selepas 8 bulan. Disebabkan ia merupakan tanaman perennial, rumpun asparagus boleh membiak dengan banyak apabila mencecah usia 2 tahun dan mampu kekal sehingga 20 tahun. Cara tanaman adalah menggunakan biji benih atau kaedah crown iaitu akar bertunas. Digalakkan menanam pada batas.

Waktu Menanam: Iklim tropika membenarkan asparagus ditanam pada bila-bila masa.

Waktu menuai: Tuai pada tahun kedua kerana ia semakin matang dan merimbun.

 

Kubis
Kubis lazimnya ditanam di kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highland atau Kundasang. Ini kerana tumbesarannya memerlukan suhu yang rendah dan bagi membentuk bola kubis. Namun, kubis masih boleh ditanam di tanah rendah dan masih boleh dinikmati dengan enak meskipun memiliki daun terbuka. Kubis termasuk dalam kategori Brassica oleracea yang sekeluarga dengan sayuran seperti brokoli, bunga kubis, kale dan sebagainya. Cara tanaman adalah menggunakan biji benih. Ia boleh ditanam dalam pasu mahupun pada batas.

Waktu menanam: Tiada waktu tertentu untuk iklim tropika atau tanah rendah.

Waktu menuai: Tuai pada dua hingga tiga bulan usia tanaman

Salad (Lettuce)
Lettuce atau salad terdiri daripada beberapa jenis seperti butterhead atau Boston yang memiliki bentuk bulat dan daun berkedut, cos dan semicos yang memiliki daun panjang dan rangup, serta loose leaf yang tidak memiliki jantung dan berbentuk bulat. Digalakkan menuai biji benih terus ke tanah kerana ia tidak sesuai dialihkan. Penyiraman dilakukan setiap hari bagi mengelakkan tanah kering.

 

Waktu menanam:. Sesuai ditanam sepanjang tahun kerana lettuce tahan kepada cuaca panas.

Waktu menuai: Boleh dituai selepas usia tanaman 8 hingga 10 minggu. Tuai bahagian luar lettuce

dari masa ke masa kerana ia akan tumbuh yang baharu selepas dipetik. Anda juga boleh menuai keseluruhan salad sekali gus.

Bok Choy (Sawi Cina)
Satu tanaman yang tidak sukar dijaga dan boleh dituai dalam masa singkat. Memiliki rasa yang segar dan rangup. Ia boleh ditanam dalam pasu jika kekurangan kawasan tanah. Penanaman menggunakan biji benih di kawasan indoor atau terus pada batas. Menariknya tanaman dalam pasu boleh dijadikan hiasan meja, namun harus mendapat cahaya mencukupi.

Waktu menanam: Sepanjang tahun

Waktu menuai: Boleh dituai dalam masa 4 minggu dengan ketinggian 12 hingga 18 inci.

Bunga kubis
Anda boleh menjimatkan kos dapur dengan menanam sendiri bunga kubis kerana harganya yang lebih mahal berbanding sayuran lain di pasaran. Cara menanam ialah dengan semaian anak benih dalam bekas semaian atau pasu. Ia mengambil masa sehingga sebulan lebih sebelum mengeluarkan bunga kubis. Lakukan siraman setiap hari bagi mengelakkan tanah kering. Selepas hasil bunga kubis dituai (selepas 3-4 bulan), biarkan tanaman induk kerana ia akan mengeluarkan anak pokok pada bahagian batang. Anak pokok ini boleh dicantas dan dibiakkan.

Waktu menanam:

Sepanjang tahun

Waktu menuai: Tuai apabila bunga kubis sudah matang lebih kurang 3 hingga 4 bulan usia tanaman.

 

Brokoli
Sayuran jenis hardy vegetable ini memerlukan suhu rendah, pancaran matahari penuh dan air mencukupi untuk hidup subur. Namun, ia masih boleh ditanam di Malaysia kerana terdapat penyelidikan yang mendapati tanaman ini boleh hidup subur melalui cuaca tropika. Cara tanaman menggunakan semaian biji benih selama 5 hingga 7 minggu (atau sehingga 5 helai daun) sebelum dipindahkan ke batas yang kalis hujan. Anda perlu bersabar bagi menantikan brokoli menghasilkan ‘bunga’. Tanda kematangan brokoli boleh dilihat pada jambak bunga yang padat dan berwarna hijau iaitu sekitar 70 hingga 80 hari.

Waktu menanam: Sepanjang tahun

Waktu menuai: Mengambil masa sehingga 3 bulan untuk dituai.

 

Published by
amalina