Sekarang ramai yang dah berjinak-jinak menanam sayur atau buah-buahan di rumah. Trend yang semakin mendapat sambutan ini patut menjadi amalan wajib setiap rumah. Baru lah ekonomi keluarga dapat dijimatkan dan juga bekalan makanan terjamin kesihatannya. Jom cuba 6 pokok menjalar mudah tumbuh ini.
- Anggur
Jenis tanah: Tanah yang tidak menakung air dan mempunyai kandungan pasir.
Pencahayaan: Memerlukan 80-100% cahaya matahari untuk membesar dengan sihat dan dapat menghasilkan anggur yang banyak.
Penyiraman: Siram air di pangkal pokok dan pastikan air tidak bertakung. Penyiraman perlu dikurangkan apabila anggur mula berputik untuk mendapatkan buah yang manis.
Pembajaan dan kawalan perosak: Seelok-eloknya gunakan baja organik untuk mendapatkan hasil buah anggur yang lebih manis. Baja organik yang sesuai untuk pokok anggur seperti air basuhan ikan, air beras dan hampas kelapa. Pembajaan perlu dilakukan sekurang-kurangnya 1 bulan sekali. Waktu ideal pembajaan adalah 20 hari sebelum pemangkasan.
Penjagaan lain: Ketinggian ideal untuk pokok anggur adalah 5 kaki, selebihnya perlu dipangkas.
- Markisa
Jenis tanah: Sesuai untuk semua jenis tanah yang mempunyai aliran air yang baik dengan nilai pH 6.0. Medium perlu sentiasa gembur.
Pencahayaan: Memerlukan pencahayaan yang terus.
Penyiraman: Lakukan penyiraman awal pagi dan lewat petang. Lakukan penyiraman di pangkal dan keseluruhan pokok. Penyiraman perlu dilakukan segera sejurus baja diletakkan. Penyiraman perlu dilakukan secara kerap apabila ia mula berbunga untuk menghasilkan buah yang berkualiti.
Pembajaan dan kawalan perosak: Baja CCM 65 untuk medium tanaman dari tanah liat manakala CCM 45 digunakan untuk tanah beris. Taburkan baja di sekitar pangkal pokok untuk memastikan baja dapat diserap sepenuhnya. Pembajaan dilakukan sekurang-kurangnya sebulan sekali.
Penjagaan lain: Ketinggian ideal untuk memastikan pokok produktif tidak lebih dari 2.5 meter tinggi. Lakukan pemangkasan selepas buah dituai untuk membolehkan tunas baru bercambah.
- Rock melon
Jenis tanah: Medium tanaman dengan pH 6.5 hingga 7.5 yang mengandungi bahan organik tinggi dengan saliran yang baik adalah sesuai untuk tumbesaran rockmelon.
Pencahayaan: Memerlukan cahaya terus namun teduhan perlu disediakan apabila menjelang musim kemarau atau panas.
Penyiraman: Medium tanaman untuk rockmelon perlu sentiasa lembap sebelum bunga mula berputik. Untuk mengekalkan kelembapan, gunakan sungkupan yang diletakkan pada pangkal pokok. Apabila buah sudah mencecah saiz sebesar bola tenis, penyiraman hanya perlu dilakukan apabila apabila medium kelihatan kering.
Pembajaan dan kawalan perosak: Sediakan kayu pancang atau sokongan yang mencukupi untuk membolehkan pokok memanjat. Ia bertujuan untuk memberi pengudaraan sepenuhnya di sekelilingi pokok dan secara tidak langsung dapat mengurangkan masalah foliar. Campuran fish emulsion bersama 1 gelen air adalah kandungan baja yang disarankan. Ia perlu diletakkan pada pangkal pokok sekurang-kurangnya 2 minggu sekali.
- Kundur
Jenis tanah: Sesuai di kebanyakan jenis tanah yang mempunyai pH kurang daripada lima. Namun tanahnya perlu mempunyai penyaliran yang baik dan seelok-eloknya gunakan tanah yang mempunyai kandungan pasir.
Pencahayaan: Memerlukan pencahayaan sepenuhnya.
Penyiraman: Lakukan penyiraman dua kali sehari iaitu di awal pagi dan lewat petang. Namun penyiraman tidak perlu dilakukan terlalu banyak sehingga menyebabkan tanah terlalu lembap kerana ia akan memusnahkan pokok.
Pembajaan dan kawalan perosak: Gunakan baja organik yang diletakkan di sekitar pangkal pokok. Di samping itu juga, penggunaan baja foliar (daun) juga perlu untuk mendapatkan hasil yang banyak.
Penjagaan lain: Letakkan sungkupan pada pangkal pokok untuk mengekalkan kelembapan pada tanah di samping mengelakkan pertumbuhan rumpai yang boleh menjadi pesaing.
- Timun
Jenis tanah: Memerlukan medium tanaman gembur dan mengandungi pasir untuk mendapatkan hasil yang optimum. Tanah perlu sentiasa digembur untuk memudahkan pertumbuhan akar.
Pencahayaan: Memerlukan pencahayaan terus untuk menghasilkan buah yang banyak.
Penyiraman: Pokok timun memerlukan air yang banyak untuk kelembapan yang cukup dan pertumbuhan yang lebih subur. Penyiraman dibuat dua kali sehari di peringkat awal penanaman dan dikurangkan sekali sehari bila pokok besar dan semasa memungut hasil.
Pembajaan dan kawalan perosak: Penggunaan baja NPK Hijau 15:15:15 untuk pembajaan pertama boleh digunakan dengan kadar 30gm/pokok dan ditabur keliling dengan jarak 15-20cm dari rumpun pokok serta dikambus. Pembajaan ulangan kedua dan ketiga boleh menggunakan NPK biru 12:12:7 dengan kadar 40-50 gm/pokok diselangkan setiap dua minggu.
Penjagaan lain: Letakkan sungkupan pada pangkal pokok seperti rumput kering, jerami padi atau sabut kelapa siap proses untuk mengurangkan pertumbuhan rumpai. Sediakan binaan junjung apabila anak pokok mula mengeluarkan jejari untuk memanjat.
- Peria
Jenis tanah: Sesuai ditanam di pelbagai jenis tanah yang kaya dengan bahan organik seperti tanah gambut dengan pH 5.5-6.5.
Pencahayaan: Memerlukan pencahayaan terus dan cukup sekurang-kurangnya 8 jam sehari.
Penyiraman: Penyiraman perlu dilakukan setiap hari sekurang-kurang sekali. Namun kadar siraman perlu dikurangkan menjelang musim hujan untuk mengelakkan dari buah cepat rosak.
Pembajaan dan kawalan perosak: Balut buah untuk mengelakkan daripada ia mendapat serangan perosak seperti lalat buah. Segera buangkan buah-buah yang telah diserang perosak sebelum ia menjangkiti buah lain. Gaulkan baja organik bersama tanah yang terdapat di sekitar pangkal pokok untuk membolehkan ia cepat diserap.
Pemangkasan: Sediakan junjung untuk tempat buah memanjat selewat-lewatnya 2 minggu selepas anak pokok dialihkan ke tapak kekal. Cantas cabang-cabang pokok yang terdapat di bahagian pangkal pokok untuk memastikan pengudaraan yang mencukupi.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI