Cuaca yang tidak menentu kini mudah untuk membuat kita berasa lelah dan rimas. Dari hujan yang tidak berhenti hingga terik panas matahari telah menjadi salah satu permasalahan yang dapat mempengaruhi mood dan juga produktiviti harian kita. Pendingin hawa menjadi salah satu jalan penyelesaian bagi mereka yang hanya ingin bersantai di dalam rumah. Tapi jika digunakan secara berlebihan, aircond dapat memberi kesan yang buruk bukan sahaja pada bumi malahan juga pada bil elektrik kediaman anda. Jadi, dalam usaha untuk mendapatkan keselesaan buat diri dan keluarga, kita juga perlu ingat bahawa menjaga alam sekitar adalah tanggung jawab bersama. Kurangkan memasang aircond jika anda mampu. Tetapi jangan khuatir, tidak bermakna anda perlu berpanas seharian tanpa aircond, ikuti tip ini agar rumah sentiasa terasa sejuk dan nyaman.
Cabut Semua Plug Pada Soket Selepas Digunakan
Ramai antara kita yang tidak mencabut plug selepas digunakan. Walaupun suis telah ditutup tetapi aliran elektrik masih berjalan sesudah digunakan, segala jenis plug harus dimatikan dan dicabut terus daripada soket. Hal begini selalu dipandang remeh tetapi jika kita gagal melakukan langkah mudah ini, soket akan cepat panas seterusnya menjadikan udara dalam rumah lebih bahang.
Turunkan Tirai Atau Langsir Di Tingkap
Pengaliran udara serta cahaya dalam rumah selalunya tertumpu dan bermula dari tingkap. Namun dari bukaan tingkap jugalah udara panas dari matahari ketika waktu siang boleh masuk dan membuat penghuni berasa bahang. Dengan menutup tirai atau langsir pada tingkap, ia akan mempengaruhi suhu ruang lantas menjadikan rumah lebih sejuk dan kurang rimas. Hal ini sangatlah membantu terutamanya untuk rumah yang tingkapnya mengadap matahari.
Matikan Lampu Dan Manfaatkan Natural Lighting
Lampu juga merupakan salah satu barang yang akan menghasilkan haba. Walaupun ia dapat menerangi ruangan, namun ketika tidak diperlukan ada baiknya jika dimatikan sahaja. Gunakan peluang ini untik memanfaatkan cahaya matahari diluar untuk menerangi rumah anda.
Tanam Tumbuh-Tumbuhan Hijau Di rumah
Pohon ataupun tanaman merupakan cara yang bukan hanya membantu menyejukkan ruang dalam rumah malah juga membuat kediaman terasa lebih segar. Pokok-pokok dapat menghalang radiasi dari matahari untuk masuk terus ke dalam rumah. Di samping dapat menyejukkan rumah, dengan menanam tumbuhan juga anda dapat menambah seri di laman kediaman. Satu tip, dua manfaat.
Tambahkan Awning Pada Luar Tingkap
Selain langsir dan tirai untuk tingkap, pelindung seperti awning
di bahagian luar juga perlu untuk memaksimakan perlindungan dari sinaran matahari. Perlindungan seperti ini dapat membantu menurunkan suhu panas hingga 70%!Tukar Sarung Katil Dengan Kerap
Ketika musim panas begini, waktu malam pun adakalanya udara masih terasa bahang. Nak tidur pun boleh berpeluh-peluh justeru memberikan perasaan kurang selesa. Perkara pertama yang anda boleh lakukan ialah mengganti alas katil. Ia bukan sahaja akan menjadikan katil lebih sejuk malah ruang akan terasa lebih fresh dan nyaman untuk menyambung aktiviti kegemaran ramai iaitu, tidur.