Kali ini IMPIANA kongsikan 7 tip dan cara pilih kamera CCTV terbaik untuk rumah anda.Kamera pengawasan CCTV kini menjadi satu kepentingan dalam setiap kediaman.

Kini, bukan di premis mahupun kawasan komersial sahaja yang mempunyai CCTV. Rumah juga penting untuk keselamatan seisi keluarga. Seiring dengan kemajuan sistem pengawasan, kamera pngawasan litar tertutup (CCTV) bukan lagi sekadar kamera dan perakam. Di masa kini, ia menawarkan tahap keselamatan yang lebih tinggi dengan ciri-ciri seperti audio, suara, pengecaman wajah dan inframerah, serta rakaman waktu malam yang berkualiti tinggi. Dengan pelbagai pilihan serta spesifikasi, anda memang rambang mata kerana banyak rekabentuk dan kemampuan kamera yang anda boleh pilih. Oleh itu, pemilihan kamera pengawasan yang sesuai untuk keperluan anda adalah penting kerana boleh mengoptimumkan kelebihannya.

Di sini, IMPIANA kongsikan tujuh perkara asas yang anda perlu pertimbangkan sebelum pasang kamera CCTV di rumah.

7 Tip Cara Dan Pilih Kamera CCTV Terbaik Untuk Rumah Anda

1. Kenapa saya perlukan CCTV

Penting untuk anda menilai keperluan anda sebelum mendapatkan kamera pengawasan. Tanya diri anda – kenapa saya perlukan CCTV dan apa yang saya ingin lihat di kamera? Nak pasang luar atau dalam rumah? Berapa harganya? Selain itu, anda juga perlu ambil kira jenis CCTV yang bersesuaian dengan rumah anda. Setiap CCTV mempunyai ciri-ciri yang unik – ada yang sesuai untuk kediaman manakala ada yang sesuai digunakan untuk premis perniagaan.

2. Apakah jenis CCTV yang sesuai untuk rumah

Sebelum memilih CCTV yang terbaik untuk rumah anda, anda perlukan pertimbangkan jenis kamera, lensa, resolusi, zoom bahkan penglihatan malam inframerah.

Jenis kamera
Ada tiga jenis kamera CCTV yang anda boleh pilih. Kamera analog adalah lebih mampu milik berbanding kamera berdefinisi tinggi (HD) atau kamera protokol internet (IP camera). Walaupun resolusi imejnya rendah, ia tidak kurang hebatnya dalam membuat mengecam kehadiran orang dan mengawasi kawasan rumah anda.

Kamera HD dan IP merupakan yang terbaik di pasaran kerana kamera jenis ini menghasilkan imej beresolusi tinggi. Kamera-kamera ini sangat sesuai untuk membuat pengecaman nombor, orang dan rakaman bukti untuk kegunaan mahkamah. Premis perniaagaan selalunya memilih untuk memasang kamera IP atau kamera Turbo berkualiti tinggi.

Anda juga boleh pertimbangkan jika anda mahukan kamera yang boleh berputar, mengiring dan menyorot, pandangan 360 darjah, serta kemampuan zoom.

7 Tip Cara Dan Pilih Kamera CCTV Terbaik Untuk Rumah Anda

Ads

Resolusi
Resolusi yang tinggi dan tajam memastikan imej serta rakaman yang sempurna. Ia menentukan sejauh mana kamera itu boleh melihat dan membuat pemantauan. Bukan itu sahaja, ia membolehkan kamera CCTV untuk mengekalkan imej beresolusi tinggi walaupun telah dizoomkan secara digital. Kamera IP mempunya resolusi tertinggi kira-kira 8MP, kamera jarak pertengahan mempunyai resolusi antara 5MP hingga 8MP manakala kamera jarak dekat mempunyai resolusi sekitar 2MP.

Selain itu, luas kawasan yang anda pantau akan menentukan resolusi kamera yang anda perlukan. Kawasan yang lebih luas memerlukan resolusi kamera yang lebih tinggi untuk memastikan imej dan rakaman tidak pecah, kabur atau cacat. Kamera statik adalah sesuai untuk kawasan yang kecil seperti ruang tamu kerana anda tak perlukan imej yang beresolusi tinggi.

Penglihatan malam inframerah (Infrared night vision)
Ciri penglihatan malam inframerah membolehkan CTV untuk ‘melihat’ pada waktu malam. Sama seperti resolusi kamera, ia juga menentukan panjang fokus. Lagi banyak cahaya merah, makin jelas rakamannya. Beberapa jenis CCTV profesional juga dilengkapi dengan kemampuan untuk merakam imej dan video yang jelas walaupun dalam gelap. Kalau anda nak pasang kamera jenis ni, pastikan anda tak letakkan ia di belakang tingkap atau sebarang cermin kerana cahaya inframerah boleh menyebabkan silau atau pantulan IR.

Zoom
Satu lagi komponen CCTV yang paling penting ialah kemampuannya untuk zoom (membesarkan dan mengecilkan rakaman). Terdapat dua jenis zoom – zoom optikal dan zoom digital. Ini ditentukan oleh jenis lensa kamera CCTV anda.

Zoom digital boleh dilakukan pada rakaman lansung atau tak lansung dan ia dibatasi oleh resolusi kamera. Zoom optikal pula bertindak seperti binokular. Ia boleh melihat imej yang lebih jelas berbanding dengan zoom digital kerana ia menggunakan lensa zoom yang sebenar.

7 Tip Cara Dan Pilih Kamera CCTV Terbaik Untuk Rumah Anda

3. Nak pasang CCTV di dalam atau luar rumah

Macam yang kami dah terangkan tadi, anda perlu pastikan di mana nak letakkan CCTV tersebut. Kalau nak pasang di luar rumah, anda mesti pasang CCTV yang tahan lasak dan sesuai untuk pelbagai jenis cuaca. Contohnya, CCTV yang beroperasi di persekitaran yang sangat sejuk mempunyai pemanas built-in yang membolehkannya beroperasi walaupun dalam keadaan yang mencabar. Untuk iklim tropika seperti Malaysia, anda perlu memilih kamera CCTV yang melindungi komponen elektronik daripada hujan dan kelembapan.

Ads

Kebiasaannya, kamera CCTV di pasang berhampiran pintu masuk seperti pintu depan atau pintu pagar. Ia juga boleh dipasang di ruang rumah anda yang paling gelap. Ini untuk memastikan kawasan ini tidak dicerobohi oleh sesiapa. Sekiranya anda memantau ruanganan yang lebih besar, kamera boleh sorot (pan-tilt) membolehkan lensa mengikuti objek yang bergerak ketika memantau kawasan tersebut.

4. Adakah memerlukan simpanan data yang besar untuk CCTV

Terdapat pelbagai jenis penyimpanan data untuk CCTV anda. Anda boleh dapatkan simpanan memori dari 16 GB hingga 1 TB. Bukan itu sahaja, kapasiti penyimpanan dapat ditingkatkan dengan menambahkan cakera keras tambahan (harddrive) atau dengan memasang CCTV anda ke peranti penyimpanan rangkaian tanpa had. Di samping itu, ingat bahawa kamera beresolusi tinggi memerlukan penyimpanan data yang besar. Oleh itu, kad memori sahaja tidak akan mencukupi.

5. Adakah CCTV berwayar atau tanpa wayar

Harga CCTV berwayar adalah jauh lebih murah berbanding dengan CCTV tanpa wayar (CCTV wireless). Selain itu, penyambungannya juga adalah lebih baik kerana wayarnya disambungkan ke DVR melalui kabel sepaksi. Ini menjadikannya lebih baik dari kamera CCTV tanpa wayar.

Sebaliknya, kamera tanpa wayar adalah mudah alih dan mudah untuk dipasang dan dibawa ke mana-mana sahaja. Oleh kerana ia mudah alih, anda juga boleh mengubah kedudukannya. Walau bagaimanapun, ia perlu diselenggara dari semasa ke semasa kerana ia dikendalikan dengan bateri. Anda juga perlu memastikan bahawa jalur lebar internet anda boleh menampung kamera tersebut. Jika kita lihat pada kelebihannya, ia masih boleh berfungsi sekiranya bekalan elektrik terputus. Dengan sistem bateri sandaran, ia dapat memaksimumkan keselamatan rumah anda jika ada penceroboh.

Ciri lain yang perlu dipertimbangkan adalah kemampuannya untuk melakukan siaran lansung. Ia membolehkan pemantauan jarak jauh di mana ia menghantar isyarat ke telefon bimbit, peranti mudah alih atau komputer anda untuk tontonan langsung.

Kelajuan internet yang saya perlukan untuk CCTV
Anda perlukan kelajuan internet yang tinggi kerana jika anda gunakan storan awan (cloud storage) untuk menyimpan rakaman, speed internet untuk CCTV mungkin akan memperlahankan kelajuan internet rumah anda.

Ads

7 Tip Cara Dan Pilih Kamera CCTV Terbaik Untuk Rumah Anda

6. Cara mengetahui CCTV berfungsi atau tidak

Bila dah ada CCTV, anda mestilah nak tahu jika ia berfungsi dengan baik atau tidak kan. Macam ni caranya:

Pantau CCTV melalui telefon pintar
Anda boleh gunakan telefon pintar untuk melihat sekiranya pengawasan CCTV anda masih hidup atau telah dimatikan sekiranya CCTV anda disambungkan ke telefon pintar atau peranti.

Periksa rakaman CCTV
Periksa DVR yang menyimpan rakaman CCTV. Anda boleh putar semula rakaman untuk melihat semula masa serta waktu yang anda inginkan. Dari rakaman tersebut anda boleh tahu sekiranya CCTV berfungsi dengan baik dari masa ke masa, dan anda juga boleh tahu jika ia telah dimatikan. Jika rakamannya nampak seperti rosak, sudah tiba masanya untuk anda selenggara CCTV atau dapatkan yang baharu.

Periksa skrin pada monitor CCTV
Jika anda tak nampak sebarang rakaman, ini bermakna CCTV tidak berfungsi dengan baik atau telah dimatikan.

Periksa inframerah CCTV
Fungsi infrared juga boleh memberitahu anda sekiranya CCTV hidup atau mati. Ini kerana infrared berfungsi untuk merakam sudut tertentu pada CCTV anda.

7. Dapatkan bantuan dan nasihat pakar

Adalah lebih baik sekiranya anda dapatkan nasihat pakar bila memilih pengawasan CCTV yang terbaik untuk rumah anda. Minta bantuan mereka untuk memeriksa rumah anda dan dapatkan saranan mereka untuk jenis-jenis kamera, ciri-ciri dan harga. Penting juga untuk anda bertanya mengenai kos pemasangan, penyelenggaraan, dan perbelanjaan lain sebelum anda memutuskan untuk memasang kamera CCTV. Sekarang ni pun dah ada banyak pakej CCTV rumah di pasaran.

IMPIANA dah kongsikan 7 cara pilih pengawasan CCTV yang bagus untuk rumah anda, kini anda boleh dapatkan kamera pengawasan yang paling sesuai untuk keperluan anda. Memang rambang mata sebab ada banyak sangat pilihan dan fungsi, tapi berbaloi kerana ia menjaga keselamatan rumah dan seisi keluarga anda. Semoga berjaya dan kongsikan pengalaman pasang CCTV di rumah dengan kami!.

Artikel Berkaitan: Perompak Guna Tektik Pukau! 10 Tip Keselamatan Tinggal di Rumah Perlu Anda Ketahui

Sentuhan Midas penuh kemewahan dan elegant untuk kediaman anda.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI