7 Tip Mengemas Pantas Waktu Pagi Agar Tidak Stress Rumah Bersepah Macam Tongkang Pecah

Share

Sebagai kakitangan yang bertugas di tengah-tengah kota metrpolitan yang sibuk tanpa henti, kita mesti selalu berhadapan dengan isu tiada masa untuk mengemas rumah sehinggakan apabila stress di pejabat balik ke rumah pula keadaan rumah tunggang langgang. Lagi stress dibuatnya!

Jika hari bekerja 9-5 anda tidak mempunyai masa untuk mengemas, solusi biasa adalah untuk mengemasnya pada hari minggu, tetapi untuk menunggu hari minggu pula ada kalanya banyak urusan yang menanti.

Oleh itu, IMPIANA ingin membantu anda dalam berkongsi sedikit maklumat mengemas rumah di awal pagi sebelum pergi bekerja dan anda tidak akan lagi stress setelah pulang dari pejabat kerana anda sudah uruskannya di sebelah pagi cuma di waktu petang, anda hanya perlu kemaskan ruangan yang tertinggal dan di bahagian lain.

1) Mengemas dahulu tempat tidur

Anda boleh menjimatkan masa mengemas dengan memastikan cadar serta selimut katil anda dalam keadaan teratur di sebelah pagi sebelum melakukan rutin harian yang lain. Kaedah ini dapat menjimatkan masa mengemas sewaktu pulang dari pejabat di sebelah petang serta boleh memfokuskan bahagian lain di dalam rumah seperti dapur dan ruang tamu.

2) Kemas bilik air

Selepas bangun dari tidur, anda pasti akan terus mandi untuk memyegarkan diri selepas tidur yang panjang. Apa yang penting adalah untuk memastikan bilik air anda dalam keadaan yang teratur tanpa ada gumpalan rambut yang gugur tertinggal di lubang saliran, bekas buih serta syampu dan tumpahan ubat gigi. Jika pasangan anda selalu mencukur misai dan janggut, pastikan pisau cukur serta buih foam tidak tertinggal dalam sinki, selain itu guguran bulu misai juga harus diberi perhatian. Istilah TERTINGGAL tidak sepatutnya timbul jika anda tidak mahu kadar stress bertambah setelah balik bekerja.

 

3) Kumpulkan baju kotor dalam satu bekas khas

Buangkan habit parking tuala basah serta baju kotor secara merata. Tahukah anda, baju kotor serta pakaian basah terutamanya tuala adalah penyumbang utama kepada bau hapak dan mengundang ketidak selesaan di dalam rumah. Basuh baju di sebelah pagi mungkin tidak sempat, jadi kumpulkan dalam satu bekas baju kotor dan tutup agar baunya tidak merebak keluar (untuk rumah high rise yang tiada balkoni), tetapi jika anda tinggal di rumah jenis landed dan punyai halaman sendiri, mungkin anda boleh terus basuh dan sidai mengikut ramalan kaji cuaca harian.

4) Jangan tinggal pinggan kotor dalam singki

Jika disebelah pagi anda dan pasangan gemar makan bijirin serta bersama susu, pastikan selepas makan untuk terus membasuhnya. Ini kerana walaupun anda sudah habis makan sisa tinggalan susu kalau tidak dibasuh akan mengeluarkan bau masam basi yang bakal membuatkan mood anda bertukar dengan cepat. Jadi jangan tangguhkan pembasuhan di sebelah pagi kerana anda pasti tidak mahu membasuh pinggan bersama susu basi dan juga makanan busuk yang lain.

5) Sapu ruang tamu

Pastikan tiada sebarang sisa kotoran yang tertinggal di ruang tamu dan susun semula segala bantal dan sofa di ruang tamu sepertimana asal sebelum anda memasuki ruang kamar beradu. Ini akan menjimatkan masa mengemas di sebelah petang dan anda tidak akan stress sebaik sahaja pulang daripada bekerja. Ini kerana ruang tamu merupakan bahagian pertama dalam rumah. Bayangkan, buka sahaja pintu masuk, ruang tamu anda bersepah?

6) Jangan tinggal sampah dalam rumah

Buang jauh-jauh amalan, dah penuh bakul sampah baru buang. Ini kerana sisa sampah seperti perut ikan dan ayam tidak mengambil masa yang lama untuk berbau. Jadi sebaik sahaja anda selesai memasak atau siang ikan, terus buang sampah tersebut di dalam bilik sampah yang disediakan oleh pihak JMB atau tong sampah besar di luar rumah.

7) Periksa kembali segala kekotoran 

Setelah pulang dari pejabat, pasti anda akan berasa penat setelah seharian bertugas melihat keadaan rumah yang tenang dan teratur pasti membuatkan anda berasa lega. Di waktu ini anda boleh mengambil masa untuk berehat sebentar dan teruskan dengan ruti harian lain seperti membasuh baju, mengemas sedikit baki kekotoran yang anda tertinggal di pagi hari dan sebagainya.

 

 

Published by
Team Impiana