7 ‘Trick’ Bersihkan Tilam Berbau Hancing & Kesan Kotoran Degil

Share

7 CARA BERSIHKAN TILAM YANG BERBAU HANCING & KESAN KOTORAN DEGIL 

Berikut merupakan cara untuk bersihkan tilam yang terkena kencing dan menghilangkan baunya sekali agar kembali segar.

  • BERTINDAK SEGERA

Sebaik sahaja anda perasan bahawa anak anda terkencing pada tilam, sebaiknya anda perlu bertindak dengan segera! Ini bertujuan untuk menghalang air kencing tersebut daripada terus meresap ke dalam lapisan tilam. Makin banyak ia menyerap, makin sukar untuk baunya hilang. Jadi apa yang harus anda lakukan ialah:-

  1. Buka cadar dan alihkan segala bantal dan selimut yang terkena kencing.
  2. Ambil kain kering atau tisu dan serapkan sebanyak mungkin air kencing yang masih tinggal.
  • SABUN PENCUCI

Ambil sabun pencuci dan ratakan ke bahagian yang terkena air kencing. Kemudian serapkan kembali menggunakan tuala kering. Anda harus menekan dengan kuat untuk menyerap lebih banyak lembapan. Untuk kesan terbaik, gunakan sabun pencuci berasaskan enzim. Ia akan menguraikan asid urik yang menjadi punca kesan kotoran dan juga bau hancing.

  • CUKA

Ada masanya sabun pencuci tak cukup kuat untuk menghilangkan bau hancing yang terlalu kuat. Maka, anda boleh cuba menggunakan cuka sebagai alternatif kepada sabun untuk mengembalikan kesegarannya.

Caranya amat mudah, anda hanya perlu mengambil cuka putih yang biasa digunakan dalam masakan. Tekapkan cuka pada kain dan kesatkan pada tompokan air kencing selama 10-15 minit.

Fakta: Cuka mempunyai tahap asid yang sesuai utnuk membunuh kulat, bakteria, dan kuman. Ini semestinya akan membantu menghilangkan bau hancing dengan lebih berkesan.

  • SODA PENAIK

Tadi cuka, sekarang soda penaik. Kita bukan dalam rancangan masakan yer tuan puan. Bersambung pada cuka tadi selepas anda mencuci dengan cuka atau sabun, taburkan soda penaik atau soda bikarbonat pada tompokan air kencing tersebut. Lebih banyak lebih bagus kerana ia akan menarik bau dan kotoran air kencing serta cuka yang masih tertinggal.

Biarkan ia kering semalaman kemudian berus atau vakum selepas ia kering.

  • CAMPURAN HIDROGEN PEROKSIDA

Hidrogen peroksida adalah sebuah larutan antibakteria dan ia boleh didapati di farmasi biasa seperti Guardian. Iai adalah salah satu formula utama bagi penghilang kotoran, kesan kekuningan dan bau hancing yang amat berkesan dan telah dicuba ramai. Bahan-bahannya adalah seperti berikut berikut:

8oz hidrogen peroksida

3 sudu besar ‘baking soda’

setitik sabun pencuci pinggan

Campurkan hingga ‘baking soda’ melarut dan masukkan ke dalam botol ‘spray’ yang kosong. Semburkan ke tompokan air kecing dan biarkan ia mengering. Selepas kering sepenuhnya, gunakan vakum untuk menyedut habuk atau kesan ‘baking soda’ yang tertinggal. Hasilnya mengagumkan!

  • JEMUR DI BAWAH MATAHARI

Setelah mencuci dan membersihkan kesan air kencing pada tilam, cuba keringkan tilam tersebut di bawah sinaran matahari. Jika tak mampu berbuat demikian, pastikan anda memasang kipas dan buka tingkap supaya udara dapat mengalir dengan lebih efisyen. Sedikit sebanyak proses ini akan mambantu tilam anda agar betul-betul kering.

Jangan lupa untuk memeriksa bahagian bawah tilam untuk mengesan sama ada tompokan tersebut tembus pada bahagian tersebut. Ramai yang tidak perasan dan terlupa membersihkan bahagian bawah tilam – ia akan menyebabkan tilam kembali berbau hancing selepas beberapa hari.

  • SEMBURKAN PENYEGAR

Untuk menambah bauan segar pada tilam anda, bolehlah menambahkan 4-5 titisan pati minyak aromaterapi seperti lavender. Kalau tiada, gunakan penyegar bauan biasa seperti Febreze.

Sebenarnya, anda boleh juga menitiskan minyak ini ke dalam soda penaik yang akan ditaburkan pada tilam tersebut. Caranya, titiskan minyak aromaterapi tersebut ke dalam bekas berisi soda penaik. Goncangkan hingga sebati dan taburkan pada kesan tompokan air kencing. Biarkan selama 10 minit dan vakumkan hingga bersih.

Langkah ini juga boleh dilakukan untuk membuang bau hapak atau menyegarkan tilam anda, walaupun tidak terkena kencing.

 

Published by
Impiana