Pengalaman adalah anugerah paling berharga. Setiap kesilapan yang dilakukan juga merupakan pengajaran untuk kita dimasa hadapan. Begitulah dengan kerja-kerja mengecat. Lebih banyak praktis, lebih mudah dan cepat anda siap mengecat. Tetapi buat yang baru pertama kali melakukan aktiviti ini, banyak yang perlu dipelajari dan dihadam. Tetapi jangan risau, dalam entri kali ini, IMPIANA akan membincangkan tentang perkara-perkara yang mungkin berguna buat anda yang baru ingin menjinakkan diri dalam bidang ini atau yang sedang mencuba-cuba untuk ubah suai dinding rumah yang sudah kusam. Mari ikuti senarai ‘patut tahu’ ini.
1. Jenis cat berbeza untuk tujuan yang berbeza.
Ramai yang masih kurang faham tentang kepentingan memilih jenis cat yang sesuai dengan kegunaan. Produk yang berbeza untuk kegunaan yang berbeza, sebagai contoh, cat siling umumnya mempunyai tahap kilauan yang rendah tetapi mempunyai lebih banyak kekangan dari segi penghapusan kotoran berbanding cat interior
yang standard. Cat untuk bahagian luar pula sememangnya mempunyai ciri-ciri yang sangat berbeza daripada cat-cat yang lain termasuklah fungsi perlindungan UV dan cuaca.2. Proses penyediaan lebih rumit berbanding proses mengecat.
Selain teknik yang betul, persediaan yang rapi juga memainkan peranan yang amat penting bagi mendapatkan hasil yang sempurna. Walaupun anda mempunyai kepakaran mengecat yang paling hebat sekalipun, jika permukaan dinding tidak rata, maka end-product anda pasti mengecewakan. Proses persediaan sebelum mengecat termasuklah meratakan dinding menggunakan kertas pasir atau memastikan tiada lebihan kertas dindig yang masih melekat.
3. Pengurusan masa.
Anda mungkin akan menghabiskan masa yang lama untuk selesai mengecat bergantung pada saiz ruang. Jika anda mengecat dinding di bilik tidur yang bersaiz sederhana, setiap satu lapisan akan mengambil masa sekurang-kurangnya satu jam. Kebanyakan permukaan akan memerlukan dua lapisan cat, jadi anda perlu memperuntukkan dua jam untuk menyiapkan sebuah bilik. Perlu diingat juga, sebelum menambah lapisan, biarkan cat kering terlebih dahulu. Proses ini biasanya akan mengambil masa dalam 10 ke 15 minit.
4. Berapa banyak cat yang diperlukan?
Bergantung pada keluasan ruang, sebuah dinding feature mungkin akan memerlukan kira-kira dua liter cat, ruang 3×3 meter pula akan memerlukan kira-kira empat liter cat untuk dua lapisan, dan untuk memenuhi ruang 6×6 meter, sediakan 8 liter cat dan begitulah seterusnya. Dengan mengetahui idea kasar ini, mudahlah untuk anda membeli cat tanpa pembaziran.
5. Peralatan mengecat berkualiti.
Jika anda membeli produk cat yang berkualiti sudah tentu anda akan memerlukan peralatan mengecat yang berkualiti juga. Berus dan penggelek yang baik akan meningkatkan penampilan dan mutu kerja anda selain membantu mencegah bulu berus yang tidak diingini termasuk ke dalam pekerjaan mengecat anda.
6. Memilih warna yang tepat tidaklah semudah yang anda sangkakan.
Anda mungkin akan bingung dan keliru dengan pelbagai pilihan warna yang terdapat dipasaran sekarang. Nasihat saya, ambil masa dan jangan teruru-buru membuat keputusan. Ini kerana warna yang anda lihat cantik dikedai tadi mungkin tidak sesuai dengan perabot dirumah. Jadi, bagi mengelekkan perkara ini terjadi, anda boleh cuba cat pada sehelai kertas A4 dan tampalkan pada dinding kawasan yang ingin dicat. Biarkan sekurang-kurangnya 3 hari sebelum meneruskan proses. Bayak faktor yang perlu anda pertimbangkan antaranya ialah pencahayaan dikediaman dan padanan dengan konsep serta perabot.
7. Cat sebagai pelindung daripada kulat, cela dan kotoran.
Dengan teknologi yang semakin maju zaman ini, terdapat sebahagian cat yang direka khusus untuk membantu mengurangkan pertumbuhan kulat. Cat seperti ini amat sesuai digunakan dikawasan-kawasan lembab seperti bilik mandi atau laundry area di kediaman anda.
8. Kotor & tumpahan tidak dapat dielakkan, tetapi boleh dibaiki.
Jika terjadi tumpahan atau tompokan, anda perlu segera bertindak. Gunakan kain yang telah dilembabkan untuk mengelap sebarang percikan atau kotoran secepat mungkin setelah ia berlaku.