Menyambut tahun baru dengan azam yang baru, jadi tidak salah jika kita ubah dekorasi kediaman kita untuk kelihatan lebih baru supaya dapat merasa sedikit kelainan di tahun 2018. Namun, hendak menghiasi kediaman tetapi terikat dengan bajet yang sedikit untuk menghiasinya, sememangnya sesuatu tugas yang berat. Seraya itu, IMPIANA sediakan sembilan tip dekorasi berikut dengan sentuhan moden yang mudah dan murah tanpa kamu perlu berbelanja banyak.
1 – Kamar Tidur
Sebagai seorang dewasa, tidur yang cukup dan nyaman sangat berharga. Ini bermakna, anda perlu membeli atau memilih tilam yang benar-benar selesa. Beli juga beberapa bantal yang empuk dan tambahkan sentuhan moden dengan satu bantal berambu-ramba. Ruang tidur bakal cantik dan selesa juga apabila katil didekatkan dengan tingkap untuk pengudaraan dan cahaya.
2 – Kamar Mandi
Sebaiknya kamar mandi dicat sepenuhnya dengan warna putih. Padankan dengan warna-warna pastel seperti merah jambu atau biru muda. Hiaskan bilik mandi anda dengan sebuah lukisan pantai. Letak juga bunga sebagai penyeri yang turut bertindak sebagai penyegar semula jadi. Pastikan penyegar komersial turut diletakkan supaya bilik mandi anda wangi sentiasa.
3 – Ruang Pejabat Mini
Harus ada pada tiap kediaman moden. Sama ada anda setuju atau tidak, kadang kita terpaksa membawa pulang urusan pejabat balik ke rumah. Paling tidak, anda boleh gunakan ruang ini untuk menyelengara bil-bil bulanan, membantu latihan kerja-rumah anak atau sekadar tempat menulis diari. Ruang ini lah kamu boleh guna untuk menyimpan kertas, alatulis dan nota-nota kecil. Ruang pejabat mampu mematangkan seseorang.
4 – Ruang Buku
Kini kita hidup di zaman digital, tetapi tak menyangkal fakta yang kita sebenarnya lebih suka membaca buku fizikal daripada e-book. Benar bukan? Susun buku-buku atau novel anda itu secara kemas di atas rak atau para. Susun mengikut warna dan muka depan yang bergambar. Percayalah, ia bakal kelihatan seperti muzium buku di Eropah.
5 – Ruang Gambar
Kemasan gambar sangat penting. Jika anda penggemar hasil seni dan lukisan, cukup satu bingkai pada satu dinding. Jika anda bersifat kekeluargaan, beli set bingkai mini. Susun atas meja, atau tampal selari pada dinding. Pilih bingkai yang ringkas. Tak perlu bingkai yang keterlaluan dan berat coraknya kerana tujuan asal mahu menonjolkan gambar bukan menonjolkan bingkai.
6 – Ruang Makan
Penuh fungsi dan elegan, beli meja makan berwarna putih. Selepas itu susun pula set sudu dan garfu perak di tiap-tiap sisi pinggan. Letak sejambak bunga, tak kira apa jenis pun, pasti menaikkan lagi mood moden di ruang makan anda.
7 – Ruang Solek
Selain tampak classy dan timeless, ruang solek juga memperlihatkan dedikasi anda terhadap kecantikan. Susun dan kemas alat solek dan wangian anda. Cermin heksagon atau bulat amat sesuai buat ruang solek anda.
8 – Ruang Hijau
Selain menghadirkan unsur tenang dan damai, pokok hiasan dalaman memberi satu imej yang sangat moden. Ia juga membawa satu kenyataan bahawa anda seorang yang berjiwa bebas. Namun harus ingat, menyelenggara tanaman hiasan dalaman sangat memerlukan tahap kepakaran dan kesabaran yang tinggi.
9 – Ruang Tangga
Struktur yang besar namun sangat berguna. Bakal kelihatan semak dan serabut jika tidak dihias dengan betul. Bagi ‘menyejukkan’ pandangan pada sudut ini, hias dengan aneka cermin. Selain menjadikan ruang tampak luas, ia mudah, ringkas dan sofistikated.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI