Awas! Keracunan ‘Hand Sanitizer’ Boleh Akibatkan Gangguan Sistem Pernafasan

Share

Ditengah-tengah wabak pandemik yang melanda diseluruh dunia ini, hand sanitizer telah menjadi satu item keperluan yang setiap orang wajib ada. Kepentingannya dalam sama-sama menangani virus ini tidak boleh disangkal lagi.

Dan lantaran itu, pelbagai jenis hand sanitizer yang biasa kita lihat dipasaran kini telah habis dijual dan memerlukan produksi berlipat kali ganda untuk menampung permintaan pengguna yang semakin  ghairah membeli. Sesetengah premis juga terpaksa meletakkan had pembelian untuk produk ini.

Tetapi dalam kita peka dan fokus terhadap kebersihan, jangan pula keselamatan diabaikan. Untuk yang belum tahu, hand sanitizer juga mengandungi bahan kimia yang mungkin menyebabkan keracunan JIKA tidak disimpan dengan selamat.

Mari ikuti perkongsian bermanfaat dari Pusat Racun Negara tentang perkara ini.

COVID-19 & KERACUNAN ‘HAND SANITIZER’

Untuk memastikan sesuatu ‘hand sanitizer’ itu berkesan, ia perlu mempunyai kandungan alkohol yang tinggi (lebih 60%). Alkohol yang biasa digunakan adalah daripada jenis etanol atau pun isopropil alkohol. Jika tertelan dalam jumlah yang signifikan, keracunan alkohol boleh berlaku

.

Keracunan alkohol yang sederhana boleh menyebabkan kesan khayal, perubahan tingkah laku, pergerakan otot dan anak mata tidak terkawal dan jantung berdegup kencang.

Manakala, keracunan yang teruk boleh mengakibatkan gangguan pada saraf pusat dan sistem pernafasan, suhu badan dan paras gula dalam darah menurun, sawan dan juga kekeliruan pemikiran.

Semenjak kes Covid-19 ini berlaku, Pusat Racun Negara telah menerima 4 kes terminum hand sanitizer melibatkan kanak-kanak berusia lingkungan 5 bulan hingga 2 tahun. Pihak kami berharap agar kes keracunan akibat kelalaian untuk menyimpan hand sanitizer secara selamat ini tidak akan berulang lagi. Tambahan pula ia melibatkan anak-anak kecil.

Oleh itu, Pusat Racun Negara menasihatkan agar orang ramai untuk terus mengamalkan penjagaan kebersihan TANPA mengabaikan amalan keselamatan bahan kimia di sekeliling anda. Kami juga sama-sama mendoakan agar seluruh rakyat Malaysia dan seluruh dunia diberi perlindungan dan kesembuhan daripada ancaman Covid-19 ini segera.

Sumber : Pusat Racun Negara

Published by
Amalina