Berita

Banglo Risiko Runtuh Hakisan Pantai, Pemilik Terima Sumbangan Bongkah Batu & Tanah Bukit

Share

Banglo Risiko Runtuh, Pemilik Terima Sumbangan Bongkah Batu & Tanah Bukit Daripada Hamba Allah. Mulianya hati apabila membantu orang yang di dalam kesusahan apatah lagi ia melibatkan kos yang tinggi, pada orang yang tidak dikenali.

“Terima kasih hamba Allah yang sudi membantu dengan menghantar bongkah batu dan tanah bukit bagi kerja menambat hakisan pantai yang berlaku di belakang kediaman saya,” kata Mohd Yazit Idris.

Yazit, 66, adalah pemilik banglo biru yang terjejas teruk akibat hakisan pantai di Kampung Tanjung, dekat sini.

Terima 4 Lori Muatan Bongkah Batu

Katanya, semalam, empat lori membawa muatan bongkah batu dihantar ke kawasan rumahnya untuk kerja menambat pantai.

“Sumbangan yang dihulurkan hamba-hamba Allah SWT ini amat saya hargai kerana saya tidak mampu berbuat demikian berikutan kosnya yang tinggi,” katanya ditemui di perkarangan kediamannya.

Menurut Mohd Yazit, hartanya yang ada hanyalah banglo biru itu yang dibina menggunakan wang hasil caruman Kumpulan Wang Simpan Pekerja (KWSP) berjumlah RM600,000 selepas bersara daripada sebuah syarikat swasta.

“Kini saya tidak mempunyai apa-apa melainkan banglo ini sahaja untuk dipertahankan sebagai kediaman hingga penghujung usia.

“Namun, hakisan teruk sejak lebih dua minggu lalu mengakibatkan kerosakan struktur pada bahagian belakang rumah,” katanya.

Kerja Menyelamat Struktur Rumah

Menurut Mohd Yazit, dia tidak menyangka mendapat bantuan daripada individu-individu budiman berkenaan yang menghulurkan sumbangan bongkah batu dan tanah bukit bagi kerja-kerja menyelamat struktur rumahnya.

Katanya, hari ini, kerja memasang plastik pada lapisan tanah pula dilakukan bagi menguatkan struktur tanah yang ditambat sebelum bongkah batu diletakkan pada tanah berkenaan.

“Saya bersyukur dan berterima kasih di atas keprihatinan ramai di negeri ini yang sudi membantu kerana semua kerja ini memerlukan kos yang tinggi.

“Saya tiada saudara mara di sini, namun bantuan yang diberikan ini cukup bermakna. Saya berdoa supaya cuaca juga kembali pulih bagi memudahkan kerja-kerja pembaikan pantai dilakukan.

“Saya tidak kenal semua hamba Allah SWT yang datang membantu saya namun saya berdoa semoga Allah SWT membalas segala kebaikan mereka. Insya-Allah,” katanya.

Menurutnya, kerja-kerja menambat laut di belakang rumahnya sedikit tergendala berikut keadaan cuaca yang tidak menentu.

Katanya, dia yang kini menghuni sebuah chalet berhampiran berharap akan dapat pulang ke rumahnya dalam masa terdekat selepas kerja menambat pantai di belakang rumahnya selesai.

Terdahulu, media memaparkan kisah seorang lelaki yang berhijrah dari Puchong, Selangor, selepas bersara dengan membina sebuah banglo di negeri ini namun berdepan risiko kediamannya runtuh akibat hakisan pantai.

Kisahnya itu mendapat perhatian ramai seterusnya membawa kerja-kerja pembaikan hakisan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

 

IMPIANA: Semoga dipermudahkan segala urusan buat pemilik banglo ini, supaya dapat terus tinggal di rumahnya. Semoga lebih ramai yang berkemampuan dan berhati mulia dapat membantu orang lain di saat menghadapi kesukaran begini.

Mesti Baca: Rumah Dimasuki Perompak, Saif Ali Khan Kini Kritikal
Baca Lagi Di Sini: BECKHAM Beli Mahligai Mewah Tepi Pantai Miami RM341 Juta, Berkeluasan 14,270 Kps
Artikel Menarik: Memiliki Kediaman Tepi Pantai, Selamat Atau Pun Tidak?

Sumber: Hmetro

Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Suhaidah Wahab