
Bapa bina semula rumah kayu berusia 97 tahun buat pelakon Nabil Aqil khas untuk majlis persandingan pelakon itu pada masa akan datang.
Rumah kayu yang dianggarkan bernilai lebih RM500,000 ini terletak di Kuang, Sungai Buloh. Ia dilihat begitu unik dengan seni bina tradisional yang masih relevan dalam era moden.
Sebagai individu yang membesar di bandar, Nabil sememangnya mengimpikan suasana kampung untuk hari bahagianya. Namun, dia tidak menyangka impian itu akan direalisasikan oleh bapanya dengan cara yang begitu istimewa.
Bapa bina semula rumah kayu lama walau belum ada calon
“Saya tak sangka dia sanggup bina sebuah rumah kampung khas untuk majlis persandingan saya nanti. Memang saya ada cakap yang saya mahu adakan majlis perkahwinan dalam suasana kampung, tetapi ini benar-benar satu kejutan besar buat saya,” katanya memetik laporan daripada Harian Metro.
Bagaimanapun, Nabil mengakui bahawa dia masih belum menemui calon isteri yang sesuai untuk merealisasikan impian tersebut.
“Saya berharap dapat mendirikan rumah tangga secepat mungkin, tetapi buat masa ini saya reda kerana belum bertemu jodoh yang sesuai. Saya percaya Allah sudah aturkan yang terbaik untuk saya,” tambahnya.

Guna teknik tanggam untuk pasang semula
Menurut Ahmad Zaidi, rumah kayu ini asalnya dibina pada tahun 1928 di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Ia dipindahkan dengan penuh teliti menggunakan teknik tanggam tanpa sebarang penggunaan paku sebelum dipasang semula di lokasi baharu.
“Rumah ini bukan sekadar sebuah kediaman, tetapi ia melambangkan warisan seni bina Melayu yang masih boleh dimanfaatkan pada zaman moden. Memandangkan Nabil masih belum ada calon, rumah ini yang diberi nama Rumah Kayu 1928 turut dibuka untuk kegunaan majlis eksklusif seperti perkahwinan, sambutan hari lahir, dan acara korporat,” katanya.
Keunikan rumah kayu ini turut menarik perhatian industri hiburan. Malah, ia baru sahaja digunakan oleh Datuk M. Nasir untuk penggambaran promosi konsert terbarunya bertajuk Cipta Raya.

Dengan reka bentuk yang autentik serta nilai sejarah yang tinggi, Rumah Kayu 1928 bukan sahaja menjadi lokasi istimewa untuk hari bahagia Nabil, malah berpotensi menjadi tarikan utama bagi mereka yang ingin merasai kehangatan suasana kampung dalam acara istimewa mereka.
Sumber: Harian
Mesti Baca: Beli Rumah Kayu ‘Tinggal’ RM7,000, Dibaik Pulih Semula Kini Berwajah Baru
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI