Lazimnya, Malaysia bergantung kepada sumber bawang import untuk pasaran tempatan. Namun demikian, usaha petani dari Ranau, Sabah mengusahakan penanaman bawang merah di tanah tinggi untuk pengeluaran tempatan wajar dipuji.
Ia dapat mengurangkan kebergantungan kepada bawang import, sekaligus dapat menjimatkan dan menjana pendapatan buat petani tempatan.
Biarpun percubaan menanam bawang merah pada awalnya tidak menjadi namun itu tidak mematahkan semangat seorang petani separa moden membuat cubaan kali ketiga sebelum berjaya menuai hasilnya dalam tempoh selepas tiga bulan.
Kini, tanaman bawang merah yang dihasilkan Sharizal Denci, 42, di tanah tinggi Kundasang seluas empat hektar itu mampu mengeluarkan hasil sehingga hampir 10 tan bawang merah untuk pasaran tempatan di Sabah.
Menurut petani muda ini, idea menanam bawang merah itu datang daripada salah seorang pekerjanya yang mengatakan kenapa tidak mereka menceburi tanaman yang sangat diperlukan di negara ini.
“Pekerja saya kata, bawang mungkin sesuai di kawasan pedalaman seperti di Kundasang dan mungkin ia lebih tahan. Selepas itu, saya mula mencari maklumat mengenai tanaman bawang merah dan membuat kajian di mana industri bawang ini nilai keseluruhan dianggarkan sebanyak RM1.5 bilion, kebanyakan bawang yang diperlukan kita import.
“Lepas itu kita nampak peluang kepada usahawan tempatan untuk memasuki pasaran ini dan kalau kita boleh menguasai satu peratus pasaran di mana anggaran hasil yang boleh dicapai adalah sebanyak RM15 juta,” katanya di ladang tanaman bawang merah di Kampung Tanah Merah, Mesilau, di sini, pada Sabtu.
Bekas jurutera perisian itu berkata lagi, selepas melihat peluang dalam industri bawang dia cuba mendapatkan penerangan daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) berkaitan kaedah penanaman bawang merah tersebut.
“Kita pergi jumpa Mardi dan kebetulan saya nampak mereka ada buat tanaman bawang di Serdang jadi saya terinspirasi dengan tanaman mereka yang menjadi.
“Saya dapatkan garis panduan daripada pengusaha bawang di sana untuk dibuat di ladang saya. Saya bawa benih bawang mereka ke sini dan kita tanam. Pada awalnya memang tidak berapa menjadi lepas itu saya cuba lagi kali ketiga barulah menjadi.
“Selepas melihat apa masalah dan kesilapan barulah kita tahu tanaman ini memerlukan struktur tanah yang tidak boleh air bertakung, jadi itu antara cabarannya,” katanya.
Sharizal berkata, melihat kepada keberhasilannya dia mulai berani membuat penanaman bawang merah secara berskala besar dengan melibatkan empat hektar tanah di kawasan tanah tinggi tersebut.
“Sebab bila kita nampak peluang yang ada, kita tambah perluaskan tanaman dan kita pun ada pasaran pergi ke pasar raya di sekitar Sabah untuk dibekalkan bawang merah tempatan ini.
“Sekitar Jun lalu saya sudah nampak hasilnya, cuma memerlukan masa sehingga 90 hari untuk dituai kerana di Kundasang ini mengambil masa yang lama sikit untuk penuaian disebabkan kawasannya yang sejuk.
“Kawasan sejuk menyebabkan percambahan bawang agak lambat sedikit tetapi kualitinya lebih bagus di mana kulitnya lebih tebal, dan berjus malah bawang yang ditanam di Kundasang ini lebih wangi.
“Untuk di kawasan panas, kitarannya dalam 60 ke 70 hari sudah boleh habis tetapi ia cepat bercambah, namun ia tidak sebesar seperti yang ada di sini,” katanya.
Ditanya jika ada cadangan untuk menjenamakan bawang yang ditanam di Kundasang, beliau berkata, setakat ini belum ada perancangan ke arah itu kerana mereka lebih fokus kepada pengeluaran bawang tempatan tersebut.
“Kita sekarang fokus kepada pengeluaran, sebab bila kita bagi jenama akan ada permintaan dan dibimbangi kita tidak dapat menyediakan akhirnya pengeluaran pun berhadapan masalah.
“Jadi kita akan fokus kepada perkukuhkan pengeluaran dan sudahpun berbincang dengan pasar raya tempatan untuk membekalkan bawang ini, kebetulan untuk sayur-sayuran lain pun kita memang sudah masuk pasaran,”
katanya.Sehubungan itu, Syarizal yang sudah lebih 10 tahun berada dalam industri pertanian menganggap industri bawang merah sebagai peluang baharu untuk usahawan pertanian di tanah tinggi dan kawasan lain di negeri ini.
“Kami juga berniat untuk memperluaskan lagi tanaman ini ke kawasan lain dan fokus ke arah tanaman yang bersesuaian di tanah tinggi untuk tanaman lain seperti kobis dan sebagainya.
“Macam bawang ini dia boleh juga di kawasan panas jadi mungkin boleh diperluas ke kawasan lain,” katanya.
Mesti Baca: Tanam BAWANG PUTIH Pilih Jenis ‘Softneck’, Letak Menegak Sebelum Kambus!
Baca Lagi Di Sini: Cara BETUL Tanam Sendiri Bawang Merah, 2 Bulan Dah Boleh Tuai!
Artikel Menarik: Pokok Diserang Bena Musim Hujan, Rawat Dengan Air Rebusan Cengkih
IMPIANA: Terbaik usaha tanam bawang merah ini untuk pengeluaran bawang tempatan. Dapat mengurangkan kebergantungan kepada bawang import, sekaligus dapat menjimatkan dan menjana pendapatan buat petani tempatan.
Sumber: Sinar Harian