Berdepan Risiko Rumah Bocor, Bumbung Konkrit Rata Tinggi ‘Maintenance’ Tak Sesuai Cuaca Di Malaysia. Bagi yang ingin memberi rumah baru, selain harga kediaman yang berpatutan sebaiknya pertimbangkan juga rekabentuk bumbung yang dipasang oleh pihak pemaju.
Meskipun bumbung konkrit rata (concrete flat roof) nampak lebih ‘trendy’ dan moden, namun ia sangat tidak sesuai digunakan untuk iklim tempatan di Malaysia yang kerap mengalami taburan hujan dan panas. Ia mengakibatkan bumbung rumah mudah bocor, berkulat dan sukar untuk dijaga dalam jangka panjang. Malah memerlukan penjagaan ekstra daripada pemilik kediaman sendiri dengan melakukan ‘waterproofing’ pada bumbung tersebut bagi mengatasi masalah ini.
Untuk panduan pemilik rumah yang mempunyai bumbung konkrit rata dan menghadapi masalah kebocoran dan kerosakan air baca perkongsian daripada Pensyarah Seni Bina Azari Mat Yasir ini sebagai rujukan.
RUMAH BOCOR: MASALAH PADA BUMBUNG RATA
Saya nak kongsikan pengalaman saya menangani satu masalah yang berlaku Februari 2023 lalu, berkenaan bumbung konkrit rata (concrete flat roof).
Sebagai seorang pensyarah arkitek, bumbung rata vs air hujan di negara iklim tropika macam Malaysia ni memang isu yang saya ketahui sejak zaman berzaman. Memang saya ajar dalam silabus studio supaya pelajar-pelajar arkitek merekabentuk bangunan masing-masing yang mesra iklim tempatan. Apakan daya, pihak developer menegaskan bahawa bumbung rata adalah ‘trend terkini’ dan buat-buat tak nampak isu hujan ni.
Rumah saya ni memang saya dah buat waterproofing awal-awal lagi masa masuk rumah 10 tahun lepas. Sekarang dah waterproofing kedua yang dibuat pada tahun 2020. Saya faham masalah ini, dan memang saya maintain setiap masa.
Tapi apabila kebocoran berlaku pada bulan Feb lepas, saya terkejut. Dan ini bukan bocor sikit-sikit, tapi bocor secara melampau sampai air mencurah-curah di siling ruang makan di tingkat bawah. Pada awalnya saya sangkakan ia adalah kebocoran paip air, tapi rupa-rupanya hanya berlaku pada waktu hujan lebat sahaja.
Di sini saya panggil tukang saya, Yan Botak, untuk datang siasat masalah ini. Dia segera datang, kerana bumbung saya memang dibikin oleh dia. Dia pun tak percaya boleh bocor sampai macam tu sekali.
Siasat punya siasat, kami sahkan bahawa memang tiada tanda-tanda bocor langsung di bumbung saya. Siap siram air banyak-banyak kat atas tu, tapi jelas tak ada bocor. Waterproofing yang dia pasang 3 tahun lepas masih tip top.
Habis, bocor tu dari mana?
Berdasarkan volume air yang besar turun ketika hujan, kami menganggarkan mesti datang dari koleksi air hujan yang besar. Dan kalau bukan dari rumah saya, mesti dari rumah jiran. Maka sambil di atas bumbung tu, dia pun semak bumbung jiran.
Ads
(Rumah jiran tu memang kosong dan hanya disewakan sekali sekala sahaja. Kali terakhir dihuni lebih kurang sebelum pandemik.)
Selepas disiasat tukang, maka sahlah ada keretakan pada gutter rumah jiran tu, yang menyebabkan air mencurah masuk ke dalam rongga shaft rumah saya. Dari situ, air bertakung dalam shaft, dan kemudian memasuki rongga-rongga dalam party wall, seterusnya ke dinding tangga hingga terbit dari plaster, hinggalah memasukan rongga wayar elektrik ke ruang makan di belakang rumah.
Kami membuat keputusan untuk memasang waterproofing pada gutter tersebut yang saya biaya sepenuhnya (Tuan rumah tinggal di luar Johor). Selesai waterproofing, masa untuk tunggu dan lihat.
Selepas puasa, disusuli raya, selepas denggi, disusuli COVID-19, dan hujan demi hujan demi hujan, akhirnya saya berpuas hati dan yakin tiada lagi kebocoran berlaku. Sekarang kami perlu baiki kerosakan akibat air tadi. Mujur tak berapa teruk kerana kebanyakan perabot dan barang-barang rumah telah dialihkan siap-siap.
Saya berkongsi ini sebagai pengajaran dan pedoman kepada pemilik-pemilik rumah. Bumbung konkrit rata ni tinggi maintenance dia. Kalau saya yang memang dalam bidang ini pun boleh kena, apatah lagi anda yang tak biasa nak maintain dan jaga rumah. Mulai sekarang, bagitau siap-siap pada developer bahawa bumbung konkrit rata ni tak sesuai kat Malaysia, dan tolonglah ikut cakap arkitek!
IMPIANA: Semoga menjadi panduan dan rujukan buat pembeli yang merancang untuk membeli kediaman, sebaiknya elakkan membeli rumah jenis bumbung konkrit rata (concrete flat roof) ini bagi mengelakkan pelbagai masalah di kemudian hari.
Dapur merupakan salah satu ruang yang wajib ada dalam setiap kediaman tidak kiralah apa jenis dan saiz rumah anda. Tidak seperti ruangan lain yang dibina untuk tujuan bersantai dan berehat, dapur merupakan salah satu bahagian rumah yang paling sibuk dengan kerja-kerja penyediaan dan memasak, menjadikannya antara kawasan yang paling terdedah dengan risiko kemalangan buruk.
Ketika sibuk dan tergesa-gesa menyiapkan juadah, ramai di antara kita yang lupa untuk mematuhi amalan keselamatan dapur yang telah ditetapkan. Hal ini tidak seharusnya berlaku kerana satu kesilapan kecil boleh membawa kepada bencana yang tidak diduga.
Tragedi tidak diingini boleh dielak dengan mengikut beberapa tip keselamatan dapur yang anda dan keluarga boleh amalkan.
Perkakas elektrik
Alatan yang menggunakan tenaga elektrik boleh membahayakan jika tidak digunakan dengan betul. Ikut tips yang telah IMPIANA senaraikan untuk mengelakkan kemalangan apabila menggunakan peralatan ini:
1. Pastikan setiap wayar alatan elektrik dilindungi dengan bahan penebat. Jika anda dapati ada wayar yang rosak, gantikannya dengan segera.
2. Jangan letakkan alat elektrik berhampiran dengan sinki atau kawasan lembab. Walaupun sesetangah alatan ini kalis air, tidak perlu ambil risiko kerana percikan air pada alat yang dihidupkan boleh mendatangkan padah.
3. Jangan sentuh suis dan alat elektrik dengan tangan yang basah. Letakkan tuala atau napkin berhampiran dengan suis agar mudah untuk anda keringkan tangan sebelum menggunakan atau menghidupkan suis alatan elektrik
4. Dapatkan pakar untuk menyelenggara peralatan yang lebih kompleks, seperti ketuhar gelombang mikro anda. Dengan berbuat demikian, alatan akan tahan lebih lama selain memastikan ia selamat untuk diguna.
Pisau serta alatan tajam lain
Adalah amat penting bagi pemilik untuk memberikan penjagaan yang rapi dan baik selain mengetahui cara betul pengunaan semua alatan didapur. Semua objek tajam seperti pisau, gunting dapur, pembuka tin dan lain-lain harus disimpan di tempat jauh dari capaian kanak-kanak.
Apabila memotong daging atau sayur-sayuran, pastikan anda menggunakan papan pemotong yang kukuh. Bagi mengelakkannya dari bergerak-gerak, lapikkan kain dibawah papan pemotong tersebut. Semua peralatan perlu diletakkan dalam jangkauan anda. Elakkan menyimpan perkakas dapur di dalam almari yang tinggi kerana ia membahayakan dan boleh jatuh pada bila-bila masa.
Span dan kain lap
Semua orang mempunyai span dapur untuk mencuci pinggan mangkuk. Tetapi adakah anda tahu bahawa span dapur yang lembab atau basah merupakan ‘magnet’ pertumbuhan bakteria? Anda juga mungkin mempunyai kain untuk mengelap tangan selepas membilas sayur-sayuran. Kain ini biasanya hanya akan dibilas dan dibiarkan kering.
Malangnya, kaedah ini tidak digalakkan kerana bakteria berbahaya boleh membiak dengan cepat. Salah satu kaedah untuk membasmi kuman di span anda adalah dengan merendamnya dalam semangkuk air panas mendidih. Satu lagi cara yang boleh anda lakukan ialah dengan merendam span atau kain dalam larutan peluntur. Kemudian, keringkan span secepat yang mungkin bagi mengelakkan pertumbuhan bakteria baru.
Papan pemotong
Sesetengah orang lebih suka menggunakan gunting dapur apabila memotong sayur-sayuran atau menyiang ayam. Walau bagaimanapun, ada juga yang lebih selesa menggunakan papan pemotong dan pisau dapur. Pastikan anda mempunyai papan pemotong yang berasingan untuk daging mentah dan sayur-sayuran. Ini adalah penting dari segi kebersihan. Untuk membasmi kuman dari papan pemotong, gunakan cuka atau cecair peluntur.
Tong Gas
Sebahagian besar dari kita lebih suka untuk memasak dengan periuk gas kerana api lebih kuat dan lebih mudah dikawal. Tetapi jika tidak mengikuti prosedur keselamatan yang betul, risiko kebakaran gas adalah tinggi. Antara tips keselamatan untuk gas memasak adalah ;
1. Pastikan tiada bau gas yang kuat sebelum menghidupkan dapur gas.
2. Cara betul untuk menghidupkan dapur gas manual adalah dengan menyalakan dahulu api sebelum menghidupkan gas.
3. Matikan semua peralatan dapur gas dan injap sebelum meninggalkan rumah untuk tempoh masa yang panjang.
4. Jangan cuba lakukan ubahsuai DIY pada peralatan gas anda. Sebagai contoh, meletakkan batu bata pada regulator yang longgar atau menyelitkan lipatan kadbod pada pemutar gas bagi mengelakkannya tertutup sendiri. Perbuatan seperti itu adalah sangat bahaya!
5. Periksa kebocoran pada paip gas dengan air sabun. Jika anda dapati ada buih-buih yang muncul, bermakna terdapat kebocoran di tempat itu.
Jangan lupa praktikkan langkah yang praktikal dan mudah ini bagi menjamin keselamatan dapur disamping sama-sama mendidik ahli keluarga anda tentang kepentingan menjaga keselamatan di dapur.
Sentuhan Midas penuh kemewahan dan elegant untuk kediaman anda. Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
Tip Deko Bilik Warga Emas, Utamakan Keselamatan & Keselesaan. Dekorasi bilik untuk warga emas memerlukan pertimbangan khusus untuk memastikan ruang tersebut tidak hanya estetik tetapi juga selamat dan selesa. Warga emas mungkin menghadapi kesukaran untuk bergerak dan kesihatan yang memerlukan perhatian tambahan dalam reka bentuk ruang mereka.
Berikut adalah beberapa tip berguna untuk menghias bilik yang sesuai untuk warga emas.
1. Utamakan Keselamatan
Permukaan yang Tidak Licin: Lantai adalah salah satu kawasan yang perlu diberi perhatian utama. Gunakan karpet anti-licin atau jubin yang tidak licin untuk mengurangkan risiko jatuh. Pastikan karpet tidak berkedut dan tepi-tepi karpet dijahit dengan rapi untuk mengelakkan terperosok.
Sokongan Tambahan: Pasang pemegang tangan di tempat-tempat strategik seperti bilik mandi dan dekat dengan tempat tidur. Ini akan membantu warga emas berdiri atau berpindah dengan lebih selamat. Pastikan pemegang tangan kukuh dan dipasang pada kedudukan yang sesuai.
Pencahayaan Yang Cukup: Lampu yang mencukupi adalah penting untuk mengelakkan kecederaan. Pilih lampu yang terang tetapi tidak menyilaukan, dan elakkan kawasan yang gelap atau bayang-bayang yang boleh menyebabkan kekeliruan. Lampu malam atau pencahayaan automatik di lorong juga boleh membantu.
2. Reka Bentuk Fungsional
Akses Mudah: Pilih perabot yang mudah diakses dan elakkan penggunaan barang-barang yang sukar dicapai. Pastikan ada ruang yang cukup untuk bergerak tanpa halangan, dan pastikan lorong-lorong tidak tersumbat dengan perabot.
Ketinggian Perabot: Perabot seperti kerusi, meja, dan katil haruslah berada pada ketinggian yang sesuai. Kerusi tidak seharusnya terlalu rendah atau tinggi, dan meja harus mudah dicapai. Pilihlah perabot yang memudahkan warga emas berdiri dan duduk tanpa kesulitan.
3. Kenyamanan dan Kesejahteraan
Katil Yang Selesa: Pilih katil dengan tilam yang selesa dan bantal yang sesuai. Pertimbangkan katil dengan ketinggian yang mudah untuk masuk dan keluar, serta tambahan seperti sokongan belakang yang boleh disesuaikan.
Ruang Persendirian: Sediakan ruang peribadi yang menenangkan dengan akses kepada barang-barang kegemaran seperti buku, gambar keluarga, atau bahan hobi. Ruang yang peribadi boleh meningkatkan kesejahteraan mental dan emosi.
4. Reka Bentuk dan Dekorasi
Warna yang Menenangkan: Pilih warna-warna lembut dan menenangkan untuk dinding dan perabot. Warna-warna neutral seperti beige, biru lembut, atau hijau pastel boleh membantu mewujudkan suasana yang tenang dan santai.
Tekstur dan Corak: Pilih tekstur yang lembut dan corak yang tidak terlalu rumit. Ini membantu mengelakkan gangguan visual yang boleh menjejaskan ketenangan dan memberi kesan yang lebih harmoni.
5. Kemudahan dan Aksesori
Telefon dan Komunikasi: Pastikan telefon mudah diakses dan berfungsi dengan baik. Pertimbangkan telefon bimbit dengan butang besar dan paparan yang jelas jika diperlukan.
Alat Bantu: Jika diperlukan, sediakan alat bantu seperti kaca pembesar, alat pengukur tekanan darah, atau jam dengan nombor besar. Ini akan memudahkan warga emas dalam aktiviti harian mereka.
6. Ruang Hijau dan Udara Segar
Tanaman Hiasan: Tanaman hiasan yang mudah dijaga boleh menambah kesegaran bilik dan memberi suasana yang menyenangkan. Pilih tanaman yang tidak memerlukan penjagaan yang rumit dan pastikan ia tidak beracun jika terdapat haiwan peliharaan.
Pengudaraan: Pastikan bilik mempunyai pengudaraan yang baik untuk memastikan udara segar. Jika perlu, pertimbangkan penggunaan penapis udara untuk menambah kualiti udara.
7. Peralatan Teknologi
Alat Kawalan Jauh: Gunakan peralatan yang dilengkapi dengan kawalan jauh untuk memudahkan pengendalian. Ini termasuk televisyen, kipas, atau lampu, supaya warga emas tidak perlu bergerak terlalu banyak untuk mengendalikannya.
Sistem Bantuan: Jika anda berkemampuan, pertimbangkan sistem bantuan seperti butang kecemasan yang boleh dipakai di sekitar leher atau di tangan. Ini memberikan lapisan tambahan keselamatan dan ketenangan fikiran.
Semoga bermanfaat!
IMPIANA: Ruang yang selesa dan selamat akan meningkatkan kualiti hidup warga emas dan memberikan mereka lebih banyak kebebasan untuk menikmati kehidupan sehari-hari.
6 Tip WAJIB Tahu Untuk Pilih Langsir Yang Sesuai Untuk Dapur. Kain langsir, bukan boleh sebarang beli. Corak, rekabentuk dan material yang digunakan bakal mempengaruhi gaya hias atau dekor untuk kediaman anda. Nak tahu, tip memilih langsir yang sesuai untuk kediaman [KLIK SINI].
Berbeza pula dengan pemilihan langsir untuk ruang dapur. Separuh orang lebih gemar gunakan langsir lama yang dah rosak kemudian dipotong pendek untuk dijadikan sebagai langsir dapur. Betul tak? sebenarnya, cara tersebut salah sama sekali terutamanya jika anda menggunakan langsir lama yang diperbuat daripada kain tebal.
Ruang dapur terdedah kepada kadar kelembapan dan pelbagai aroma terutama bagi anda yang rajin memasak. Sebab itu, kalau anda perasan, langsir didapur lebih mudah kelihatan kotor berbanding di ruang lain walaupun ia baru sahaja dicuci atau ditukar. Yang paling teruk, akan kelihatan bertahi lalat. Itu menunjukkan humidity di dapur anda tinggi.
Jadi, untuk memilih langsir yang bersesuaian untuk dapur anda, jadikan tip-tip ini sebagai panduan
1. Jangan guna langsir yang tebal
Ramai beranggapan guna langsir tebal untuk tujuan tahan lebih lama. Salah sama sekali. Langsir tebal lebih cepat dan banyak memerangkap kelembapan dan mudah berbau hapak atau busuk.
2. Pencahayaan semula jadi yang banyak
Ruang dapur memerlukan pencahayaan yang lebih. Selain penggunaan lampu yang banyak di malam hari, sebaiknya pastikan dapur anda menerima cahaya matahari terus disiang hari. Oleh itu, gunakan jenis kain langsir seperti day curtain atau langsir yang nipis
3. Pengudaraan yang baik
Selain itu juga, penggunaan kain langsir yang ringan atau nipis mampu memberi pengudaraan baik untuk dapur anda. Jadi, bau-bau masakan akan mudah keluar melalui tingkap.
4. Jenis material yang sesuai
Untuk dapur, anda digalakkan untuk memilih material kain langsir jenis lace, nylon atau kapas. Selain mudah dibuang habuk, Kotoran yang terperangkap pada langsir mudah dicuci.
5. Blind curtain Blind curtain adalah antara jenis langsir dapur yang tahan lama dan mudah untuk dijaga. Namun, pastikan anda memilih jenis material yang digunakan harus betul. Impiana menyarankan anda untuk menggunakan blind curtain jenis matel atau kayu kerana ia lebih mudah untuk dicucui dan mempunyai sistem pengudaraan yang baik.
Selain itu juga, anda boleh guna roman blind yang diperbuat daripada wallpaper. Nak tahu cara DIY roman blind super mudah dan jimat dari wallpaper [KLIK SINI]
6. Cara pasang
Pastikan kondisi atau labuh langsir yang akan dipasang jauh daripada api. Jika tidak, ia boleh mendatangkan sebarang perkara yang tidak diingini seperti disambar api.
Sentuhan Midas penuh kemewahan dan elegant untuk kediaman anda. Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
Setiap pemilik kediaman ada cara tersendiri dalam memastikan rumah sentiasa kemas, bersih dan teratur, sedap mata memandang. Begitu juga pilihan konsep dan citarasa dekorasi yang menjadi pilihan.