Dekorasi

Berdepan Risiko Rumah Bocor, Bumbung Konkrit Rata Tinggi ‘Maintenance’ Tak Sesuai Cuaca Di Malaysia

Share

Berdepan Risiko Rumah Bocor, Bumbung Konkrit Rata Tinggi ‘Maintenance’ Tak Sesuai Cuaca Di Malaysia. Bagi yang ingin memberi rumah baru, selain harga kediaman yang berpatutan sebaiknya pertimbangkan juga rekabentuk bumbung yang dipasang oleh pihak pemaju.

Meskipun bumbung konkrit rata (concrete flat roof) nampak lebih ‘trendy’ dan moden, namun ia sangat tidak sesuai digunakan untuk iklim tempatan di Malaysia yang kerap mengalami taburan hujan dan panas. Ia mengakibatkan bumbung rumah mudah bocor, berkulat dan sukar untuk dijaga dalam jangka panjang. Malah memerlukan penjagaan ekstra daripada pemilik kediaman sendiri dengan melakukan ‘waterproofing’ pada bumbung tersebut bagi mengatasi masalah ini.

Untuk panduan pemilik rumah yang mempunyai bumbung konkrit rata dan menghadapi masalah kebocoran dan kerosakan air baca perkongsian daripada Pensyarah Seni Bina Azari Mat Yasir ini sebagai rujukan.

RUMAH BOCOR: MASALAH PADA BUMBUNG RATA

Saya nak kongsikan pengalaman saya menangani satu masalah yang berlaku Februari 2023 lalu, berkenaan bumbung konkrit rata (concrete flat roof).

Sebagai seorang pensyarah arkitek, bumbung rata vs air hujan di negara iklim tropika macam Malaysia ni memang isu yang saya ketahui sejak zaman berzaman. Memang saya ajar dalam silabus studio supaya pelajar-pelajar arkitek merekabentuk bangunan masing-masing yang mesra iklim tempatan. Apakan daya, pihak developer menegaskan bahawa bumbung rata adalah ‘trend terkini’ dan buat-buat tak nampak isu hujan ni.

Rumah saya ni memang saya dah buat waterproofing awal-awal lagi masa masuk rumah 10 tahun lepas. Sekarang dah waterproofing kedua yang dibuat pada tahun 2020. Saya faham masalah ini, dan memang saya maintain setiap masa.

Tapi apabila kebocoran berlaku pada bulan Feb lepas, saya terkejut. Dan ini bukan bocor sikit-sikit, tapi bocor secara melampau sampai air mencurah-curah di siling ruang makan di tingkat bawah. Pada awalnya saya sangkakan ia adalah kebocoran paip air, tapi rupa-rupanya hanya berlaku pada waktu hujan lebat sahaja.

Di sini saya panggil tukang saya, Yan Botak, untuk datang siasat masalah ini. Dia segera datang, kerana bumbung saya memang dibikin oleh dia. Dia pun tak percaya boleh bocor sampai macam tu sekali.

Siasat punya siasat, kami sahkan bahawa memang tiada tanda-tanda bocor langsung di bumbung saya. Siap siram air banyak-banyak kat atas tu, tapi jelas tak ada bocor. Waterproofing yang dia pasang 3 tahun lepas masih tip top.
Habis, bocor tu dari mana?

Berdasarkan volume air yang besar turun ketika hujan, kami menganggarkan mesti datang dari koleksi air hujan yang besar. Dan kalau bukan dari rumah saya, mesti dari rumah jiran. Maka sambil di atas bumbung tu, dia pun semak bumbung jiran.

(Rumah jiran tu memang kosong dan hanya disewakan sekali sekala sahaja. Kali terakhir dihuni lebih kurang sebelum pandemik.)

Selepas disiasat tukang, maka sahlah ada keretakan pada gutter rumah jiran tu, yang menyebabkan air mencurah masuk ke dalam rongga shaft rumah saya. Dari situ, air bertakung dalam shaft, dan kemudian memasuki rongga-rongga dalam party wall, seterusnya ke dinding tangga hingga terbit dari plaster, hinggalah memasukan rongga wayar elektrik ke ruang makan di belakang rumah.

Kami membuat keputusan untuk memasang waterproofing pada gutter tersebut yang saya biaya sepenuhnya (Tuan rumah tinggal di luar Johor). Selesai waterproofing, masa untuk tunggu dan lihat.

Selepas puasa, disusuli raya, selepas denggi, disusuli COVID-19, dan hujan demi hujan demi hujan, akhirnya saya berpuas hati dan yakin tiada lagi kebocoran berlaku. Sekarang kami perlu baiki kerosakan akibat air tadi. Mujur tak berapa teruk kerana kebanyakan perabot dan barang-barang rumah telah dialihkan siap-siap.

Saya berkongsi ini sebagai pengajaran dan pedoman kepada pemilik-pemilik rumah. Bumbung konkrit rata ni tinggi maintenance dia. Kalau saya yang memang dalam bidang ini pun boleh kena, apatah lagi anda yang tak biasa nak maintain dan jaga rumah. Mulai sekarang, bagitau siap-siap pada developer bahawa bumbung konkrit rata ni tak sesuai kat Malaysia, dan tolonglah ikut cakap arkitek!

Semoga bermanfaat!

Azari Mat Yasir

Mesti Baca:3 Kelemahan Rekabentuk Bumbung Rata Dan Langkah Penyelesaiannya Menurut Pakar
Baca Lagi Di Sini:“Jangan Pakai Concrete Slab…”, Tukang Ini Kongsi Panduan Pilih Bumbung Terbaik Untuk Rumah
Artikel Menarik: Waterproof Bilik Air Bocor, Lapisan Epoxy Flake Penyelesaian Mudah

IMPIANA: Semoga menjadi panduan dan rujukan buat pembeli yang merancang untuk membeli kediaman, sebaiknya elakkan membeli rumah jenis bumbung konkrit rata (concrete flat roof) ini bagi mengelakkan pelbagai masalah di kemudian hari.

Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Suhaidah Wahab