Bisnes

Berjaya Capai Jualan Baru Meningkat 19 Peratus, AGM Glomac Lulus Dividen 1.25 Sen

Share

Glomac Berhad antara pemaju hartanah bumiputra terkenal yang telah memenangi pelbagai anugerah bagi pelbagai pembangunan hartanah di Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.

Terbaru, pemegang saham Glomac Berhad (Glomac) meluluskan dividen akhir satu peringkat sebanyak 1.25 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan 2024.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Glomac, Datuk Seri FD Iskandar berkata, perkara itu dipersetujui pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Glomac ke-40 yang diadakan baru-baru ini.

Datuk Seri FD Iskandar

Menurutnya, ini diterjemahkan kepada hasil dividen kira-kira 3.1% (berdasarkan harga penutupan 40 sen pada 30 April 2023.

“Pada tahun kewangan 2024, kumpulan mencatatkan hasil kumpulan sebanyak RM267.6 juta.

“Ini disumbangkan oleh kemajuan pembinaan di pembangunan perbandaran Saujana KLIA, Bandar Saujana Utama dan Saujana Perdana selain Plaza@Kelana Jaya dan 121 Residences merupakan dua pembangunan kediaman bertingkat tinggi di Petaling Jaya.

“Keuntungan sebelum cukai mencapai RM32.9 juta, dan keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat ialah RM23.6 juta,” katanya pada sidang akhbar di Menara Glomac.

Catat Keuntungan, Jualan Baru Memberangsangkan

Pertumbuhan yang lebih kukuh ini disumbang terutamanya oleh aktiviti pembinaan berterusan, termasuk projek-projek pembangunan di perbandaran Saujana KLIA, Bandar Saujana Utama and Saujana Perdana, serta Plaza@Kelana Jaya dan 121 Residences, dua pembangunan kediaman bertingkat tinggi di daerah Petaling Jaya.

Ujarnya lagi, Glomac berjaya mencapai jualan baru yang lebih memberangsangkan pada 2024 meningkat 19 peratus kepada RM360 juta berbanding RM302 juta tahun lalu didorong kejayaan perbandaran kediaman di Lakeside Residences, Saujana Perdana, serta 121 Residences dan Plaza@Kelana Jaya.

Perancangan Masa Hadapan

Katanya, melangkah ke hadapan Glomac bersedia memacu jualan hartanah dengan rangkaian produk baharu hartanah kediaman dan komersial bernilai RM460 juta bagi tahun kewangan 2025.

“Ia menampilkan fasa baharu rumah dua tingkat dalam pembangunan perbandaran Glomac di Serai@SBR, Saujana KLIA dan Saujana Jaya di Kulai, Johor.

“Projek ini telah dilancarkan pada akhir Ogos 2024 dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM66 juta selain menyaksikan permintaan dan pendaftaran yang tinggi,” katanya.

Follow kami di WEBSITETELEGRAMINSTAGRAMTIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.

 

Published by
Suhaidah Wahab