Samada anda baru ingin memasang tikar getah sebagai lapisan perlindungan pada lantai atau anda mahu menggantikan tikar yang lama, memotong tikar getah mengikut saiz yang dikehendaki tidaklah serumit yang anda sangka. Jika sebelum ini impiana kongsikan tip untuk elak tikar getah yang dihampar berkedut [klik sini untuk artikel lengkap] Ia tidak memerlukan alatan canggih atau berkuasa tinggi, malah proses pemotongan ini hanya memerlukan beberapa alatan yang boleh anda dapati dirumah sekarang seperti pisau, gunting, pembaris besi serta pita pengukur.
Secara ringkasnya, anda perlu ukur dan pastikan saiz sebenar ruang yang terbabit. Setelah anda yakin dengan ukuran yang diperoleh, bentangkan tikar getah sehingga memenuhi runag. Dan untuk mengasingkan bahagian lebihan tikar, gunakan pisau tajam dengan bantuan pembaris besi sebagai panduan agar tidak senget benget. Dibawah ini adalah penerangan terperinci tentang langkah-langkah memotong tikar getah dengan mudah. Selamat Mencuba!
LANGKAH 1
Pertama sekali, lengkapkan diri anda dengan peralatan keselamatan yang sewajarnya. Oleh kerana anda akan menggunakan pisau yang tajam, sepasang sarung tangan kerja untuk perlindungan adalah satu kemestian. Bagi mengelakkan kecederaan, elakkan mengendali pisau jika tidak memakai sarung tangan.
LANGKAH 2
Kemudian, pilih permukaan sesuai untuk proses memotong. Kemungkinan risiko untuk pisau yang tajam memotong menembusi tikar getah dan mencalarkan lantai adalah besar jadi pastikan anda meletakkan lapisan kadbod atau papan lapis sebagai alas.
LANGKAH 3
Ukur keluasan ruang dan pastikan anda tidak lupa ; lebih mudah jika anda catitkan pada kertas. Anda boleh dapatkan saiz setiap gulung tikar getah pada penjual sebelum membeli jumlah yang sesuai dengan saiz ruang anda.
LANGKAH 4
Tandakan dimensi pada tikar bagi memudahkan anda untuk memotong ukuran tepat dengan bantuan garisan yang telah dilukis. Panduan visual seperti ini juga membolehkan anda mempercepatkan kerja dan memastikan proses pemotongan tidak tersasar.
LANGKAH 5
Hamparkan tikar pada kawasan lapang dan rata. Pastikan tikar lurus dan rata serta tiada kedut sebelum memulakan proses pemotongan.
LANGKAH 6
Letakkan pembaris besi pada sebelah garisan yang telah dibuat tadi. Pastikan anda masih boleh nampak garisan tersebut. Keluarkan pisau dan potong mengikut garisan. Pembaris besi akan bertindak sebagai panduan agar pisau tidak terkeluar dari ‘landasan’.
LANGKAH 7
Bergantung pada ketebalan tikar getah, mungkin anda perlu memotong pada garisan yang sama berulang kali. Berhati-hati ketika membuat potongan kedua atau keiga agar tidak tersalah dan terkeluar dari garisan.
Tip: celupkan hujung mata pisau dalam air sabun untuk memudahkannya meluncur diatas tikar getah.
LANGKAH 8
Seterusnya, setelah berjaya memotong tikar tersebut anda hanya perlu kemaskan penjurunya. Tikar getah juga mudah dibentuk, jadi tiada masalah jika ada bahagian yang melengkung atau sebagainya. Pastikan juga tangan anda mudah dikawal dan stabil ketika memotong. Dan apabila ukuran yang diambil tepat, dan dipotong dengan sempurna, tikar getah akan kelihatan kemas dan rapi tanpa gelembung udara yang menjengkelkan.
LANGKAH 9
Akhir sekali, jangan lupa untuk membersihkan semula kawasan kerja. Sapu dan buang semua lebihan tikar getah yang dipotong kerana apabila dibiarkan merata-rata, ia boleh mendatangkan bahaya pada anak kecil atau haiwan peliharaan anda. Periksa kawasan terlibat dengan teliti apabila sudah selesai melakukan kerja.