Sakitnya mata! Bila kesan kulat dan kulapuk di dalam bilik air dah sental berjam-jam, tapi gagal untuk bersihkan dan ia tetap kekal gelap, hitam dan nampak kotor! Ini cara hilangkan kesan kulat dan kulapuk dalam bilik air yang perlu anda ambil tahu.
Ini adalah petanda kediaman anda sudah ‘diserang’ kulat dan kulapuk. Kebanyakan kita memang susah nak menang dalam ‘perang kulat’ ni. Kulat dan kulapuk ini memang musuh nombor satu kediaman yang bersih. Bunyinya memang agak melucukan, tapi ini realiti. Memang berperang nak hapuskan tumbuhan perosak ni!
Anda bersedia nak hapuskan kulat dan kulapuk daripada rumah anda selama-lamanya? IMPIANA kongsikan tip untuk membolehkan anda untuk mengenal pasti punca dan tindakan, mencari produk yang tepat dan maklumat bantuan para profesional!
Apa Itu Kulat?
Kulat ialah sejenis fungus yang membiak dalam persekitaran gelap dan lembap. Ia adalah organisma semulajadi yang wujud di dunia sekeliling kita. Kulat ini sama ada berwana hitam, biru, merah, atau hijau akan membiak di kediaman kita. Bentuk yang biasa muncul ialah tompokan hitam di kawasan yang hangat dan lembap seperti bilik mandi. Ia bukan sekadar cenderung tumbuh di permukaan lembap, tetapi juga boleh menembusi bahan.
Kulat, kulapuk, apa itu kulat? Kulat bilik mandi, kulat di dinding.
Apa Itu Kulapuk?
Kulapuk juga merupakan sejenis kulat yang suka tumbuh dalam persekitaran gelap, lembap, dan hangat. Walau bagaimanapun, warnanya lebih cerah, selalunya putih atau kelabu.
Tidak seperti kulat, kulapuk akan tumbuh merentasi permukaan, bukannya menembusi bahan tersebut.
Bagaimana Kulat dan Kulapuk Membiak?
Tak ada orang nak kulat dan kulapuk dalam rumah mereka. Tapi, sebenarnya ia juga seperti ‘amaran’ jika ada benda tak kena dalam persekitaran rumah yang kita tak sedar.
Kulat dan kelapuk ni cenderung untuk tumbuh di permukaan yang telah basah untuk jangka masa yang lama, dan boleh menjadi petunjuk bahawa kediaman anda mempunyai masalah lembapan disebabkan contohnya kebocoran air.
Tapi, kalau dah namanya bilik mandi, sudah tentulah pengudaraan tak berapa baik dan sentiasa lembap. Kecualilah bilik mandi anda jenis terbuka. Kulat dan kulapuk boleh menjadi masalah di kawasan berkelembapan tinggi. Ini bermakna ia lebih berisiko merebak di dalam cuaca yang sentiasa lembap seperti negara kita.
Kesan Kulat Kulapuk Kepada Rumah Dan Kesihatan
Kesan kulat dan kulapuk boleh berbeza ikut tahap keselesaan anda, ada orang tak kisah pun (gelilah), ada yang sangat kisah! Tapi, yang pasti, masalah ni memang perlu diselesaikan sebelum keadaan bertambah buruk.
Tapi, jangan bimbang, selalunya masalah kulat kulapuk ni disebabkan masalah aliran udara dan cahaya semulajadi yang tak berapa baik. Hanya dalam kes tertentu je, ia berpunca daripada masalah struktur binaan.
Masalah struktur binaan seperti sistem paip yang buruk, kalis cuaca buruk, atau berpunca daripada kelembapan yang meningkat ni memang boleh buat pening kepada dan memerlukan tindakan pantas!
Jika rumah anda berdepan masalah peningkatan kelembapan, ia petanda proses pembinaannya bermasalah dan anda perlukan sistem kalis lembap yang lebih baik sampai kena tebuk lantai dan dinding untuk pasanglah!
Kulat ni juga tak baik untuk kesihatan boleh menyebabkan atau memburukkan masalah pernafasan, asma dan alahan. Sebabnya kulat ni menghasilkan partikel yang dibebaskan ke udara yang boleh menyebabkan alahan, merengsakan udara dan kadang-kala mewujudkan partikel bertoksik. Nampak tak bahaya dan mengapa ia perlu ditangani segera?
Bukan setakat tu je, kulat ni juga boleh menyebabkan bersin, batuk, selesema berterusan, mata atau tekak gatal, dan kulit yang bermasalah. Bagi orang yang memang ada masalah kesihatan kronik, kulat ni sampai boleh menyebabkan gangguan pernafasan tau!
Artikel Berkaitan: Kulat Pada Siling Dan Dinding, Antara Punca Masalah Kesihatan
Mencegah Pembiakan Kulat Dan Kulapuk
Keutamaan sekarang adalah mencegah! Lebih baik daripada mengubati kan? Mudah je, pastikan anda buka tingkap selama 15 minit setiap hari untuk pengudaraan yang lebih berkesan.
Memanglah, kadang-kala cuaca di luar lembap, tapi yang pasti ia kurang lembap berbanding udara dalam bilik mandi yang memang tertutup rapat tu.
Penyahlembapan adalah satu senjata dalam perang kulat dan kulapuk ni. Walaupun, permukaan ruangan tak akan jadi bersih dan kering sepenuhnya, ia boleh mengeluarkan udara lembap yang menggalakkan kulat dan kulapuk ni bertumbuh. Anda juga perlu kenal pasti kawasan yang sering lembap dan menakung air. Contohnya di kawasan pancuran mandian. Jika anda perasan ada sudut tertentu di pancuran mandian yang sering menjadi tempat takungan air, segera lap jangan biarkan basah.
Jika anda memang kena selalu sangat buat kulat dan kulapuk dalam bilik mandi, mungkin dah tiba masanya untuk memperbaiki pengudaraan kawasan tu. Dapatkan nasihat pakar untuk memasang kipas bersesuaian bagi menghindari udara yang panas dan lembap di kediaman anda.
Walaupun pendingin hawa boleh membantu mengekalkan udara segar dalam rumah anda, tapi kebanyakannya tak direka untuk menyelesaikan masalah kelembapan, jadi mungkin bukan cara terbaik sebab kosnya pun tinggi!
10 Langkah Hapuskan Kulat dan Kulapuk
Berikut adalah 10 langkah untuk membantu anda menghapuskan pembiakan kulat dan kulapuk:
1) Kenal pasti punca
Nak selesaikan masalah, kenalah faham dulu mengapa ia berlaku. Dalam sesetengah kes kulat dan kulapuk, puncanya jelas iaitu bilik mandi yang lembap. Tapi, untuk yang lain mungkin ada masalah lebih serius.
Anda perlu mengenal pasti punca ni terlebih dahulu, kerana selain selesaikannya dengan bahan kalis lembapan, anda juga mungkin perlu dapatkan bantuan profesional.
2) Ambil langkah selepas kenal pasti
Mula-mula bila nampak kulat, anda mungkin ingat ia hanyalah kotoran di sekitar pancur mandi sampailah ia membiak jadi tompokan besar di dinding!
Dalam situasi biasa, anda boleh cuci je kotoran ni, tapi dalam situasi lebih serius, anda kena dapatkan bantuan pakar. Kena sentiasa beringat, jangan sampai beri risiko kesihatan atau harta benda dengan nak selesaikan semua masalah kulat dan kulapuk ni sendiri.
3) Tanya jiran/pengurus bangunan
Kaedah ni relevan terutamanya bagi mereka yang tinggal di hartanah berstrata. Jika anda ada masalah kulat dan kulapuk di dinding atau siling, lebih baik tanya dan beritahu jiran.
Mana tahu, mereka pun ada masalah sama. Bila dah ada masalah sama, bolehlah minta bantuan dan nasihat pengurusan bangunan untuk selesaikannya.
Tak berguna bertindak berseorangan kalau masalah tu berulang disebabkan masalah struktur bangunan yang di luar kawalan anda.
4) Buang
Ini pilihan kalau kulat dan kulapuk ni pada langsir dan permaidani misalnya, benda yang boleh anda alih. Apa lagi, buang jerlah. Tak berbaloi nak bersihkan sebab ia akan berulang kembali.
5) Bertindak
Jika kulat dan kulapuk wujud pada permukaan kecil anda boleh cuba selesaikannya sendiri.
Tapi, kena pakai pelitup muka N95 untuk mengelakkan masalah pernafasan dan pakai sarung tangan getah untuk elak kulat dan kulapuk menyebabkan masalah kulit.
6) Cari produk yang betul
Malangnya, tak semua jenis kulat bertindak balas dengan cara sama dengan produk yang sama. Itu menjadikan kulat dan penyingkiran kulapuk adalah satu proses cuba dan uji.
Anda boleh cuba produk popular seperti SC Johnson Mr Muscle Mould & Mildew Cleaner, Miracle Mildew Gel dan Clorox Mould & Mildew Remover With Bleach.
7) DIY
Kadang-kadang tak perlu beli barang berjenama pun, anda boleh juga DIY.
Peluntur adalah senjata terbaik nak menang perang kulat kulapuk ni, dan anda hanya perlukan peluntur biasa untuk menghasilkan cecair pencuci yang ‘kuat sikit’.
kulat, kulapuk, apa itu kulat, kulat bilik mandi, kulat di dinding.
Caranya, hanya campurkan peluntur dengan air ikut nisbah 4 bahagian air dan 1 bahagian peluntur, anda dah dapat cecair pencuci yang berkesan. Tapi kena ingat, peluntur boleh memudaratkan kalau bersentuhan dengan kulit. Jadi, kenalah hati-hati dan jangan sembur sebarangan macam sedang berparti!
Anda juga boleh sembur cuka putih (tanpa air) ke kawasan yang terjejas, dan biarkan sekurang-kurangnya selama satu jam. Basuh dengan air, dan ulang jika perlu.
8) Sembur, sental, lap
Sebelum anda guna produk pencuci yang dibeli atau DIY, anda kena pastikan permukaan tu kering. Sebabnya, permukaan lembap hanya menjejaskan keberkesanannya.
Sembur pencuci tu di permukaan kering dan beri masa untuk ia tembus kulat dan kulapuk.
Kena ingat yang produk pencuci ni boleh menyebabkan kerosakan pada bahan tertentu, jadi hanya sembur pada kawasan yang anda tahu selamat untuk digunakan, seperti jubin bilik mandi.
Jika ragu-ragu, periksa label produk. Anda juga boleh mencuba produk pada kawasan dinding yang kecil / bahan terlebih dahulu, di tempat di mana tiada siapa yang akan melihat apa-apa perubahan warna cat.
9) Cat dan baiki
Kadang-kadang proses pembaikan yang anda lakukan mungkin menyebabkan sedikit kerosakan pada cat, atau kalau tak berapa baik, dinding/ kawasan tu terjejas teruk.
Anda boleh cat semula kawasan tu, tapi kenal pasti dulu punca kulat dan kulapuk wujud. Kalau tak sia-sia je, sebab masalah mungkin akan berulang kembali.
Bila dah pasti anda dah hapuskan punca masalah kulat dan kulapuk ni, bolehlah guna cat anti kulat seperti Easy Care Anti-Mould, Nippon Paint VirusGuard, Dr Wall Anti-Fungal , atau produk lain yang serupa.
Jangan segan bertanya kepada tukang jual cat, minta nasihat mereka untuk pilih cat yang sesuai dengan kediaman anda.
10) Dapatkan bantuan profesional
Jika masalah kulat dan kulapuk dalam bilik air semakin hebat membiak, anda kenalah dapatkan nasihat pakar.
Semakin lama anda tangguh, semakin besar masalah itu. Lebih baik bayar mahal sekarang daripada bertangguh dan tahu-tahu kena bayar lebih mahal pada masa akan datang.
Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI