Cara Mudah Jadikan Bilik Air Lama Anda Cantik Dan Selesa

Share

Jarang kali pemilik rumah menitik beratkan tetang bilik air rumah. Betul tak? Kalau beli rumah apa yang pemaju sediakan sudah cukup. Tapi bila ke hotel mewah ke shopping mall nampak bilik air yang cantik dan selesa rasa macam nak bawa balik jubin dalam tandas tu kan? Cara Mudah Jadikan Bilik Air Lama Anda Cantik Dan Selesa.

Banyak cara nak cantikkan bilik air, tidak semestinya dengan menggunakan barang yang mahal sahaja mampu memberi impak bilik air anda. Barang murah pun boleh cantikkan bilik air.

Bilik air dan tandas ni ibarat airport. Anda singgah sekejap je sebelum pergi ke kawasan lain, tapi sepanjang tempoh persinggahan tu adalah penting supaya ianya bersih, selesa, dan… ada Wi-Fi sementara anda menunggu ‘urusan’.  Perumpaan sahaja ye!

Kalau anda nak buat renovation untuk dapatkan design tandas cantik macam airport, mungkin terlalu mahal.

Tapi ada banyak barang-barang lain yang lebih murah dan mudah dicari untuk anda capai matlamat yang sama.

Jadi, bila bercakap tentang menghias tandas ni, ada beberapa perkara yang kita perlu pertimbangkan:

Pertama, barang-barang tersebut perlu praktikal.
Kedua, ruang dalam bilik air adalah terhad jadi anda kena rancang dengan elok.
Ketiga, barang dan perabot tersebut kena tahan lasak, kalis air, dan mudah dicuci.

Dalam artikel ini, kami akan senaraikan barang-barang dan perabot yang anda boleh mula survey, supaya bilik air dan tandas anda jadi satu tempat yang selesa untuk anda membersihkan diri.

1. Letak barang-barang dalam bekas

Biasanya kita longgok segala jenis barang kat singki je. Kat situlah anda letak berus gigi, sabun, pencuci muka, ubat kumur, Ajax Fabuloso. Kalau boleh satu Guardian Pharmacy tu nak letak atas singki.

Bila barang bersepah macam ini, bukan sahaja ia senang kotor (dah la berus gigi tu anda nak letak dalam mulut), tapi juga susah nak cuci singki.

Jadi pastikan anda ada bekas untuk letak barang-barang dalam tandas.

Untuk berus gigi, ubat gigi, dan pencukur, anda boleh guna cawan je. Tak payah beli baru pun takpe, ambil je mana-mana gelas yang tak dipakai dalam rumah. Tak pun bila beli Bubble Tea, kitar semula cawan plastik tersebut.

Letak puting kapas dalam bekas tertutup. Bagi yang banyak alat solek, boleh dapatkan bekas alat solek supaya ia kemas.

2. Rak dinding
Untuk menambah ruang simpanan, anda boleh cari rak yang boleh dipasang kat dinding.

Kat sinilah anda boleh letak botol-botol pencuci muka, syampu, shower gel, scrub, dan sebagainya. Tisu tandas pun bolehlah letak dalam satu longgokan kat sini.

Satu kelebihan rak yang dipasang di dinding adalah ia tidak mengambil ruang atas lantai, jadi kerja anda memberus dan mencuci bilik air adalah lebih mudah.

3. Penggantung tuala dan baju
Pertama sekali, anda perlu ada penyangkut baju dan tuala ringkas, yang berbentuk cangkuk tu, selalunya orang pasang di belakang pintu.

Penyangkut ini biasanya untuk gantung tuala dan baju sewaktu anda mandi. Nak lagi buat housemate pemalu yang masuk bilik air dengan pakaian lengkap yang penuh, siap dengan uniform Kadet Bomba lagi.

Ada juga yang lebih suka untuk tinggalkan tuala dalam bilik air selepas mandi, supaya bilik tidur masing-masing tak semak sangat.

Kalau anda nak buat macam ini, pasang penyidai supaya tuala anda boleh kering dalam tandas. Tapi jangan letak terlalu banyak tuala, takut nanti lembap, berbau, dan mengumpul bakteria.

4. Kabinet bilik air
Bilik air adalah kawasan dalam rumah yang paling kerap perlu dibersihkan.

Jadi memang mudah kalau anda boleh simpan cecair pencuci kat dalam bilik air terus, dan keluarkan bila perlu.

Anda juga boleh menyimpan tisu tandas stok 3 bulan, supaya anda sentiasa bersedia buat sebarang situasi. Yang duduk di Selangor tu, faham-fahamlah ye.

Pastikan kabinet yang anda beli ini memang dibina untuk bilik air ya, sebab ia perlu tahan percikan air dan percikan cecair pencuci yang sangat kuat. Kalau guna meja sisi kayu yang anda curi daripada bilik adik anda, memang sahlah berkulat.

Kalau kabinet adalah terlalu mahal, anda boleh dapatkan rak kecil, contohnya VESKEN daripada IKEA ini. Walaupun kecil, ia sangat membantu memudahkan kerja anda dan menjadikan bilik air nampak lebih kemas.

5. Letak tikar getah
Anda mungkin ada orang rumah yang selepas guna tandas, lantai mesti selalu basah. Tak tahulah sama ada dia buang air besar sambil mandi dalam masa yang sama untuk meningkatkan produktiviti.

Yang pasti, lantai basah macam ni agak merbahaya, terutamanya kalau anda ada anak kecil atau orang tua kat rumah.

Jadi pastikan anda beli tikar getah untuk mengelakkan orang rumah daripada tergelincir.

6. Pasang/tukar cermin dan lampu
Mungkin tuan tanah bagi anda cermin bulat yang sangatlah kecil, nak buat picit jerawat pun susah.

Anda boleh dapatkan cermin anda sendiri, ada banyak pilihan yang murah daripada kedai hardware atau kedai perabot. Contohnya, cermin daripada IKEA yang anda boleh lekatkan satu persatu.

Cermin juga adalah satu hiasan yang sangat versatil daripada segi harga dan pilihan. Kat sinilah anda boleh berbelanja lebih untuk dapatkan design bilik air moden sikit.

Anda boleh upah kontraktor untuk pasang cermin yang lebih besar, takut terjatuh kena sumpahan untuk 7 tahun akan datang. Sampai mencecah siling pun takpe.

Satu lagi barang yang anda boleh tambah adalah lampu. Dapatkan lampu yang berkenan dengan mood bilik, ditambah dengan cermin tadi, barulah mengancam bila ambil gambar OOTD.

Jangan abaikan tandas anda!
Biasanya, bila kita baru pindah dan rumah takde perabot lagi, kita akan tumpukan pada dapur, ruang tamu dan juga bilik tidur. Jarang kita fikir pasal bilik air dan tandas.

Seperti yang kami terangkan dalam artikel ini, anda boleh gunakan barang-barang murah yang boleh membuat anda rasa lebih selesa dalam melakukan urusan anda sehari-hari. Selamat menghias!

Klik Di Sini Untuk Pembelian: Bathroom Toothbrush Holder | Toothbrush Storage | Toothbrush Rack | Toothpaste Holder | Bathroom Accessories

Artikel Berikut: Nak Tandas Cantik Macam Hotel, Jom Menang Pekej “Makeover” RM10,000

 

 

Published by
Impiana