Terdapat 3 jenis kerosakan geran tanah iaitu, geran tanah hilang, geran tanah rosak, geran tanah hancur. Siapa pernah alamai masalah begini. Mesti susah hatikan.
Apakah yang perlu dilakukan jika geran tanah hilang, rosak atau musnah? Sekiranya anda berdepan situasi sebegini, anda boleh lakukan permohonan geran tanah yang baharu bagi menggantikan geran tanah anda yang telah rosak, hilang atau hancur tersebut. Secara asasnya, anda boleh buat permohonan penggantian geran rumah tertakluk pada tiga kategori seperti berikut:
1. Permohonan Geran Tanah Hilang
Hak Milik Hilang merujuk pada situasi geran tanah yang dipegang oleh tuan tanah atau pihak yang berkepentingan telah hilang daripada simpanan mereka sama ada disebabkan kecurian atau kecuaian (tersalah letak). Permohonan hak milik tanah yang hilang terbahagi kepada dua iaitu Hak Milik Sementara (HS(D)) dan Hak Milik Kekal (GRN dan PN). Biasanya, tempoh masa yang diperlukan untuk penggantian geran tanah yang hilang adalah seperti berikut:
Tiga bulan untuk penggantian hak milikan tanah sementara (pegangan pajakan); dan
Enam bulan untuk hak milikan tanah kekal (pegangan bebas).
2. Permohonan Geran Tanah Rosak
Selain itu, Hak Milik Rosak pula merujuk situasi geran tanah rosak disebabkan oleh bencana seperti banjir atau kebakaran, dimakan usia atau telah disalut dengan plastik (laminated). Mengapa laminate geran tanah boleh menyebabkan geran dianggap rosak? Ini kerana, proses pemanasan yang berlaku ketika proses laminate boleh merosakkan hologram penting, cap keselamatan atau dakwat pada dokumen itu sendiri. Pantulan cahaya daripada plastik laminate ini juga mungkin boleh menimbulkan garisan, bayangan atau warna tambahan yang mengelirukan pada geran tanah sehingga ia sukar untuk diproses dan dibaca terutamanya ketika membuat salinan.
Secara asasnya, proses permohonan geran tanah rosak adalah sama seperti permohonan geran tanah hilang. Pemohon perlu membawa hak milik tanah yang rosak ke Pejabat Tanah untuk mendapatkan geran tanah gantian. Biasanya, tempoh masa yang diperlukan untuk proses penggantian hak milik tanah yang rosak dianggarkan sekitar dua minggu.
3. Permohonan Geran Tanah Hancur
Hak Milik Hancur pula merujuk pada geran tanah yang hilang daripada simpanan tuan tanah atau pihak yang berkepentingan, dan dalam masa yang sama salinan pendua yang disimpan di Pejabat Tanah juga hilang dan tiada maklumat. Bagi menggantikan geran tanah yang hancur, proses permohonan ini memakan masa yang lama kerana memerlukan siasatan dan perlu melalui warta sebanyak dua kali.
Apakah yang dimaksudkan dengan warta dua kali tersebut? Ia bermaksud pemberitahuan rasmi akan dikeluarkan untuk membolehkan sesiapa sahaja yang ingin membuat bantahan (jika ada) terhadap permohonan anda untuk tampil ke hadapan. Sebarang bantahan yang diterima akan diteliti dengan sebaik-baiknya sebelum permohonan diluluskan. Tempoh masa yang diperlukan untuk menggantikan hak milik tanah yang hancur ialah sekitar sembilan bulan.
5 Cara Mohon Geran Tanah Baharu Bagi Menggantikan Geran Tanah Hilang di Pejabat Tanah
Apakah prosedur untuk ganti geran tanah yang hilang? Secara asasnya, geran tanah hilang, geran tanah rosak atau geran tanah hancur boleh menyukarkan banyak proses berkaitan tanah seperti pecah sempadan, pecah bahagian atau proses penjualan tanah. Sekiranya anda berdepan situasi ini, anda tidak perlu risau kerana geran yang hilang, terkoyak atau sebagainya boleh digantikan dengan melakukan permohonan di Pejabat Tanah tertakluk kepada prosedur-prosedur seperti berikut:
1. Buat Laporan Polis
Jika geran tanah hilang, anda perlu membuat laporan polis dengan segera. Laporan polis perlu dibuat sebagai bukti kehilangan Geran Tanah tersebut oleh pihak Pejabat Tanah. Biasanya, pihak polis memerlukan maklumat seperti berikut:
Nama penuh pemilik;
Nombor kad pengenalan;
Maklumat geran;
Alamat hartanah;
Maklumat lain berkaitan seperti jangkaan tempoh hilang dan sebagainya.
2. Buat Akuan Sumpah
Selain itu, akuan sumpah perlu dibuat oleh pemilik geran di hadapan Pesuruhjaya Sumpah bagi mengesahkan kebenaran untuk proses penggantian Hakmilik. Jika tanah merupakan pemilikan ramai, semua pemilik perlu membuat akuan sumpah bersama. Ini bermaksud, sekiranya tanah tersebut mempunyai 15 orang penama, maka kesemua 15 orang penama perlu membuat perakuan sumpah di hadapan Pesuruhjaya Sumpah.
3. Buat Permohonan Ganti Geran Tanah Hilang di Pejabat Tanah
Kemudian, anda perlu hadir ke mana-mana Pejabat Tanah berhampiran untuk mendapatkan borang permohonan penggantian geran yang hilang atau rosak. Namun begitu, anda disarankan untuk hadir ke Pejabat Tanah lokasi hartanah itu berada. Sebagai contoh, jika tanah anda terletak di dalam kawasan Selangor, anda perlu hadir ke Pejabat Tanah di Selangor bagi proses mendapatkan geran tanah baharu. Selain itu, jika hartanah tersebut mempunyai banyak penama, memadai seorang sahaja yang hadir ke Pejabat Tanah bertindak sebagai pemohon.
Apakah Dokumen yang Perlu Disediakan untuk Penggantian Geran Tanah yang Hilang?
Bagi melancarkan proses ganti geran tanah hilang, anda memerlukan dokumen asal Perjanjian Jual Beli atau Sale and Purchase Agreement (SPA). Ini bagi membolehkan Pejabat Tanah mengenal pasti beberapa maklumat harta tanah yang hilang dalam dokumen tersebut. Berikut merupakan senarai semak ringkas untuk permohonan hak milik hilang oleh individu, syarikat swasta/firma guaman dan Jabatan Kerajaan/Badan berkanun (yang tidak berokjektifkan keuntungan).
Permohonan Individu
Bagi permohonan individu, anda memerlukan dokumen-dokumen seperti berikut:
- Salinan asal laporan polis yang telah disahkan oleh balai polis berkenaan;
- Salinan kad pengenalan pihak yang membuat laporan polis;
- Surat akuan sumpah pemilik/pemilik bersama (sekiranya geran tanah banyak nama) yang telah mati setem;
- Salinan kad pengenalan pemilik/pemilik bersama;
- Sijil carian rasmi ;
- Salinan sijil kematian, atau salinan wasiat dan surat akuan sumpah waris yang telah mati setem sekiranya pemilik/pemilik bersama telah meninggal dunia;
- Salinan resit cukai tanah dan cukai taksiran terkini yang telah dibayar;
Permohonan Syarikat Swasta/Firma Guaman
Bagi permohonan oleh syarikat swasta atau melalui firma guaman pula, biasanya pihak Pejabat Tanah memerlukan dokumen-dokumen sokongan seperti berikut:
- Anda disarankan untuk gunakan kepala surat syarikat (letter head) untuk permohonan – jika melalui peguam, gunakan letter head firma guaman;
- Salinan kad pengenalan pengarah syarikat dan surat akuan sumpah yang telah mati setem;
- Salinan Borang 49, 44 dan 24 serta Resolusi Syarikat dan M&A yang telah disahkan oleh Setiausaha Syarikat;
- Sekiranya melalui peguam, salinan kad pengenalan peguam dan akuan sumpah peguam yang menguruskan permohonan;
Dokumen lain-lain sama seperti permohonan individu. Permohonan Jabatan Kerajaan/Badan Berkanun
Bagi permohonan membabitkan Jabatan Kerajaan atau Badan Berkanun, dokumen sokongan yang diperlukan adalah seperti berikut:
- Anda disarankan untuk gunakan kepala surat (letter head) Jabatan Kerajaan/Badan Berkanun berkenaan untuk permohonan;
- Salinan asal laporan polis yang telah disahkan oleh balai polis berkenaan;
- Salinan kad pengenalan Pegawai Kerajaan yang membuat laporan polis;
- Surat akuan sumpah pihak-pihak yang berkepentingan yang berdaftar ke atas hak milik dan salinan kad pengenalan yang telah mati setem;
- Surat akuan sumpah Pegawai Kerajaan yang membuat laporan polis yang telah mati setem;
- Surat akuan sumpah serta salinan kad pengenalan wakil (Wakil Jabatan/Badan Berkanun) yang telah mati setem;
- Lampiran pelan tanah berkenaan (jika ada).
4. Siasatan oleh Pejabat Tanah
Selepas anda menyerahkan borang permohonan bersama-sama dengan dokumen sokongan yang lengkap, pihak Pejabat Tanah akan melakukan siasatan. Siasatan ini dijalankan bagi memastikan pemilikan hartanah tersebut adalah sah milik anda selain bertujuan memastikan prosedur penggantian hak milikan tanah di Pejabat Tanah diikuti sewajarnya. Setelah siasatan selesai, pemilik biasanya akan menerima surat dari Pejabat Tanah. Oleh sebab itu, anda perlu pastikan alamat surat-menyurat yang dinyatakan dalam permohonan adalah alamat anda yang terkini.
5. Kutipan Geran Baru di Pejabat Tanah
Selepas siasatan selesai, Pejabat Tanah akan memproses geran tanah baharu bagi menggantikan geran tanah anda yang hilang. Proses ini biasanya mengambil masa yang lama, anda boleh bertanyakan pegawai yang menguruskan proses anda untuk kepastian. Setelah geran tanah yang baharu siap, pemilik perlu datang dan ambil sendiri geran tersebut. Namun begitu, sekiranya anda perlu menghantar wakil untuk mengambil geran tersebut bagi pihak anda, surat wakil kuasa perlu dibuat.
Berapa Harga yang Perlu Dibayar untuk Menggantikan Geran Tanah yang Hilang?
Kadar bayaran untuk penggantian geran tanah yang hilang adalah bergantung pada jenis pemilikan hartanah dan lokasi hartanah anda. Sebagai contoh, kos penggantian geran tanah hilang di Selangor adalah sebanyak RM430 untuk hak milik sementara dan RM440 untuk hak milik kekal.
Kos ini tidak termasuk bayaran yuran guaman yang dikenakan oleh peguam anda (jika berkaitan). Selain itu, setiap dokumen yang disertakan perlu disetemkan dan dicop (mati setem) oleh pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dengan kadar bayaran RM10 bagi setiap dokumen.
Semoga panduan cara mohon geran tanah hilang ini boleh membantu memudahkan proses penggantian geran tanah anda.
https://youtu.be/nZuir_ysNuI