Selain susun atur perabot dan konsep sesebuah rumah, elemen marmar juga menjadi lambang kemewahan bercita rasa klasik.
Seiring perkembangan zaman, konsep dekorasi rumah semakin meluas dan kreatif. Ada yang berpendapat sesebuah kediaman itu masih belum boleh dianggap mewah jika tiada elemen marmar.
Disebabkan harganya yang agak mahal kini terdapat berbagai cara untuk memilikinya dengan mudah seperti teknik pengecatan bagi menimbulkan motif marmar.
Berikut adalah salah satu cara pengecatan dengan efek marmar yang paling mudah untuk diaplikasikan.
PERSIAPAN DINDING
- Terlebih dahulu dinding dicat dengan cat semi-gloss agar kelihatan berkilat.
- Pastikan dinding bersih daripada habuk dan kotoran.
ALAT DAN BAHAN
- Cat acrylic untuk dinding
- Air (sebagai pencair)
- Berus cat berukuran kecil dan besar
- Berus lukisan kecil
- Kain lap mikrofiber
- Cat dengan warna senada bermula daripada yang paling cerah, agak gelap sehingga yang gelap. Contohnya cat warna krim, krim kecoklatan serta coklat.
CARA MENGECAT
- Sediakan semua cat. Cairkan mengikut kesesuaian komposisi yang disarankan pada bekas cat.
- Sapukan warna asas iaitu warna paling cerah secara menyenget. Sapukan secara rawak ke berbagai sisi dinding tetapi jangan sampai memenuhi dinding. Jika tidak, anda hanya mengecat ulang ruang dinding dengan warna polos dan bukannya motif marmar.
- Buat motif bervariasi dengan sapuan dari sudut berus yang berbeza.
- Sapukan warna tona agak gelap secara diagonal. Arah sengetnya mestilah sama dengan warna sebelumnya. Contohnya senget ke kanan atau ke kiri saja. Kemudian sapukan cat warna gelap ke beberapa bahagian.
- Gunakan berus cat berukuran kecil untuk langkah kedua dan ketiga.
- Ketika cat masih basah, segera lap perlahan-lahan bagi meratakan motif cat yang disapu sehingga kelihatan natural.
- Kemudian ketika masih basah segera gunakan berus besar berbulu halus untuk menghaluskan permukaan dinding dan menyamarkan bekas sapuan.
- Dengan berus lukisan berukuran kecil buat garis cat warna gelap di sisi tepi sapuan warna.
TIP
- Lakukan pengecatan pada waktu malam agar cat tidak mudah kering.
- Pengecatan mestilah dilakukan dengan cepat dan terus jadi kerana ia tidak boleh diubah lagi.
- Nampak seperti mudah tetapi ia memerlukan daya seni dan imaginasi untuk membuat motif yang kelihatan natural seperti marmar asli.
Selamat mencuba!
Kredit : AMY MOHD
https://www.youtube.com/watch?v=I2i-4bsXu3E&t=90s
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI
Langkah Perlindungan Dan Pencegahan Virus HFMD Yang Perlu Anda Lakukan Di Rumah
Ketika ini, isu paling hangat diperkatakan adalah tentang wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang terus meningkat di seluruh negara pada kadar yang membimbangkan (jumlah kes terkini 39,174, dengan dua kematian pada ketika artikel ini ditulis). Pihak berkuasa telah menekankan kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat dan kebersihan yang baik dengan memerintahkan aktiviti pembendungan di sekitar negara. Setakat ini, sebanyak 539 premis telah ditutup, termasuk 241 taska dan 259 tadika. Sekolah dan pusat penjagaan kanak-kanak merupakan hotspot penyebaran virus ini tetapi ia juga menjadi tanggungjawab anda untuk melindungi kediaman masing-masing bagi mengurangkan kemungkinan anak anda daripada diserang HFMD. Jadi mari kita kenali virus HFMD dan langkah-langkah pencegahan untuk memastikan rumah anda sentiasa selamat dan bebas daripada virus merbahaya ini.
APA ITU HFMD?
Penyakit tangan, kaki dan mulut atau lebih dikenali sebagai HFMD adalah penyakit berjangkit yang biasanya disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV 71). Ia boleh menjangkiti setiap orang tidak mengira peringkat umur, terutama bayi dan kanak-kanak yang berumur kurang daripada 5 tahun. Tiada ubat khusus untuk merawat penyakit tangan, kaki dan mulut ini. Ibu bapa boleh lindungi anak-anak daripada jangkitan dengan mengamalkan kebersihan yang baik dan mengajar mereka untuk menjaga kebersihan.
BAGAIMANA HFMD TERSEBAR?
HFMD merebak dari satu individu ke individu yang lain melalui hubungan secara langsung dengan hingus, air liur, najis dan cecair dari ruam seseorang yang telah dijangkiti. Individu dengan sistem imun yang lemah juga boleh diserang HFMD melalui sentuhan dengan permukaan alatan atau perabot yang mungkin telah dijangkiti. Kebiasaan jangkitan adalah ringan (mild) dengan gejala demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah. Kanak-kanak juga boleh mengalami gejala jangkitan pada saluran pernafasan, muntah, cirit birit dan kurang selera makan. Cabaran utama oleh mereka yang dijangkiti ialah dehidrasi dan ulser yang sangat pedih. Akibatnya, proses menelan akan jadi seperti mimpi ngeri. Walau bagaimanapun, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis namun, ianya jarang berlaku. Masih tidak ada vaksin dan rawatan khusus untuk wabak HFMD.
APAKAH LANGKAH PENCEGAHAN HFMD?
Pertahanan terbaik terhadap HFMD adalah dengan mengamalkan tabiat kebersihan yang baik. Ajarkan anak-anak untuk mementingkan kebersihan dengan mencuci tangan menggunakan sabun sebelum dan selepas menyentuh sesuatu. Selain itu, ibu bapa tidak sepatutnya membiarkan anak-anak meletakkan tangan kedalam atau berhampiran mulut mereka. Ibu bapa juga perlu memastikan persekitaran sentiasa bersih dan tidak tercemar. Jika anak anda mempunyai HFMD, asingkan pesakit daripada orang lain dan elakkan perkongsian sebarang alatan.
Sebagai langkah keselamatan, anda juga boleh memastikan kediaman sentiasa bersih dengan menekankan ini 4 tips ini ;
- Lakukan proses pembersihan dalam aliran melurus. Menurut ahli mikrobiologi Dr. Yeo Wee Ming, langkah tersebut adalah lebih berkesan berbanding jika anda mengelap dalam pergerakan membulat.
- Tumpukan kerja pembersihan lebih pada ruang anak-anak bermain, bilik tidur, bilik mandi, dan dapur. Beri penekanan pada paip, tombol pintu, meja, permukaan kaunter, perkakas dapur, tempat duduk tandas, suis lampu, peranti elektronik, keyboard komputer, dan alatan permainan.
- Tidak seperti kebanyakan kuman, virus HFMD kalis sabun pencuci biasa dan juga cecair pembersih yang mengandungi alkohol. Apabila membersihkan permukaan, gunakan agen pembersihan antibakteria yang kuat untuk membuang kotoran dan kuman kemudian disusuli dengan pembasmi kuman yang kuat seperti peluntur. Tetapi jangan lupa untuk semak label untuk cara penggunaan yang disyorkan bagi megelakkan sebarang kemalangan yang tidak diingini.
- Jika anda tidak mahu membersihkan rumah menggunakan bahan kimia, anda boleh juga menggunakan mesin pembersihan wap untuk membasmi kuman dan virus. Mesin wap menjana tekanan wap air yang tinggi dan dengan mudah akan membersihkan rumah anda dari virus HFMD berbahaya dan hama habuk, serta menghapuskan kotoran yang tersembunyi.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI
Ikut Panduan Keselamatan Ini Elak Kemalangan Buruk Di Dapur Menimpa Anda
Dapur merupakan salah satu kawasan yang wajib ada dalam setiap kediaman tidak kiralah apa jenis dan saiz rumah anda. Tidak seperti ruangan lain yang dibina untuk tujuan bersantai dan berehat, dapur merupakan salah satu bahagian rumah yang paling sibuk dengan kerja-kerja penyediaan dan memasak menjadikannya ruang yang paling terdedah dengan risiko kemalangan buruk. Ketika sibuk dan tergesa-gesa menyiapkan juadah, ramai di antara kita yang lupa untuk mematuhi amalan keselamatan dapur yang telah ditetapkan. Hal ini tidak seharusnya berlaku kerana satu kesilapan kecil boleh membawa kepada bencana yang tidak diduga. Sebagai contoh, seorang wanita mengalami 80% kebakaran apabila kebocoran gas menyebabkan letupan di dapur beliau di Sungai Nibong, Pulau Pinang. Tragedi begini boleh dielakkan dengan mengikut beberapa tips keselamatan dapur yang anda dan keluarga boleh lakukan.
Peralatan Elektrik
Alatan yang menggunakan tenaga elektrik boleh membahayakan jika tidak digunakan dengan betul. Ikut tips yang telah IMPIANA senaraikan untuk mengelakkan kemalangan apabila menggunakan alat-alat ini:
- Pastikan setiap wayar alatan elektrik dilindungi dengan bahan penebat. Jika anda dapati ada wayar yang rosak, gantikannya dengan segera.
- Jangan letakkan alat elektrik berhampiran dengan sinki atau kawasan lembab. Walaupun sesetangah alatan ini kalis air, tidak perlu ambil risiko kerana percikan air pada alat yang dihidupkan boleh mendatangkan padah.
- Jangan sentuh suis dan alat elektrik dengan tangan yang basah. Letakkan tuala atau napkin berhampiran dengan suis agar mudah untuk anda keringkan tangan sebelum menggunakan atau menghidupkan suis alatan elektrik
- Dapatkan pakar untuk menyelenggara peralatan yang lebih kompleks, seperti ketuhar gelombang mikro anda. Dengan berbuat demikian, alatan akan tahan lebih lama selain memastikan ia selamat untuk diguna.
Pisau dan Alatan Tajam
Adalah amat penting bagi pemilik untuk memberikan penjagaan yang rapi dan baik selain mengetahui cara betul pengunaan semua alatan didapur. Semua objek tajam seperti pisau, gunting dapur, pembuka tin dan lain-lain harus disimpan di tempat jauh dari capaian kanak-kanak. Apabila memotong daging atau sayur-sayuran, pastikan anda menggunakan papan pemotong yang kukuh. Bagi mengelakkannya dari bergerak-gerak, lapikkan kain dibawah papan pemotong tersebut. Semua peralatan perlu diletakkan dalam jangkauan anda. Elakkan menyimpan perkakas dapur di dalam almari yang tinggi kerana ia membahayakan dan boleh jatuh pada bila-bila masa.
Span dan Kain Buruk
Semua orang mempunyai span dapur untuk mencuci pinggan mangkuk. Tetapi adakah anda tahu bahawa span dapur yang lembab atau basah merupakan ‘magnet’ pertumbuhan bakteria? Anda juga mungkin mempunyai kain untuk mengelap tangan selepas membilas sayur-sayuran. Kain ini biasanya hanya akan dibilas dan dibiarkan kering. Malangnya, kaedah ini tidak digalakkan kerana bakteria berbahaya boleh membiak dengan cepat. Salah satu kaedah untuk membasmi kuman di span anda adalah dengan merendamnya dalam semangkuk air panas mendidih. Satu lagi cara yang boleh anda lakukan ialah dengan merendam span atau kain dalam larutan peluntur. Kemudian, keringkan span secepat yang mungkin bagi mengelakkan pertumbuhan bakteria baru.
Papan Pemotong
Sesetengah orang lebih suka menggunakan gunting dapur apabila memotong sayur-sayuran atau menyiang ayam. Walau bagaimanapun, ada juga yang lebih selesa menggunakan papan pemotong dan pisau dapur. Pastikan anda mempunyai papan pemotong yang berasingan untuk daging mentah dan sayur-sayuran. Ini adalah penting dari segi kebersihan. Untuk membasmi kuman dari papan pemotong, gunakan cuka atau cecair peluntur.
Tong Gas
Sebahagian besar dari kita lebih suka untuk memasak dengan periuk gas kerana api lebih kuat dan lebih mudah dikawal. Tetapi jika tidak mengikuti prosedur keselamatan yang betul, risiko kebakaran gas adalah tinggi. Antara tips keselamatan untuk gas memasak adalah ;
- Pastikan tiada bau gas yang kuat sebelum menghidupkan dapur gas.
- Cara betul untuk menghidupkan dapur gas manual adalah dengan menyalakan dahulu api sebelum menghidupkan gas.
- Matikan semua peralatan dapur gas dan injap sebelum meninggalkan rumah untuk tempoh masa yang panjang.
- Jangan cuba lakukan ubahsuai DIY pada peralatan gas anda. Sebagai contoh, meletakkan batu bata pada regulator yang longgar atau menyelitkan lipatan kadbod pada pemutar gas bagi mengelakkannya tertutup sendiri. Perbuatan seperti itu adalah sangat bahaya!
- Periksa kebocoran pada paip gas dengan air sabun. Jika anda dapati ada buih-buih yang muncul, bermakna terdapat kebocoran di tempat itu.
Jangan lupa praktikkan langkah praktikal dan mudah ini bagi menjamin keselamatan dapur disamping sama-sama mendidik ahli keluarga anda tentang kepentingan menjaga keselamatan di dapur.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI
Bidai Bukan Sahaja Boleh Beri Impak Sejuk Tapi Boleh Bangkitkan Seri Ruang, Pilih Yang Sesuai
Isi Kandungan
ToggleBidai bukan sahaja boleh beri impak sejuk tapi boleh bangkitkan seri ruang, pilih yang sesuai. Bidai terdapat dalam pelbagai rekaan dan material antaranya seperti plastik, kayu dan kanvas atau fabrik.
Jika anda sentiasa sibuk, Pilih bidai daripada jenis yang berkualiti walaupun anda terpaksa membelinya dengan harga yang tinggi. Ini kerana, bidai menggunakan tali dan kita sering membuka serta menutup bidai dengan menarik tali itu. Bidai yang kurang berkualiti menyebabkan masalah tali terputus selepas beberapa bulan.
Bidai terdapat dalam pelbagai rekaan dan material antaranya seperti plastik, kayu dan kanvas atau fabrik. Jika anda sentiasa sibuk, pilih bidai daripada jenis yang berkualiti walaupun anda terpaksa membelinya dengan harga yang tinggi. Bidai terutama yang menggunakan tali jika kurang berkualiti selalunya mengalami masalah tali terputus selepas beberapa bulan selepas pemasangan.
BIDAI UNTUK RUANG TAMU
Ruang tamu rumah merupakan tempat utama dalam rumah kerana disitu lah tempat untuk melayan tetamu dan disitu juga lah tempat untuk ahli keluarga meluangkan masa bersama.
Jenis bidai yang sesuai untuk kawasan ruang tamu rumah ini ialah bidai venetian. Bidai jenis ni ada diperbuat daripada pelbagai bahan seperti timber, aluminium dan PVC. Bidai ini juga ada pelbagai warna dan stail yang boleh dipadankan dengan tema rumah.
Kelebihan bidai venetian ini ialah ia bagus untuk mengawal privasi dan juga pencahayaan. Dengan pemilihan warna / colour yang betul, bukan sahaja menampakkan kemeriahan blinds ini. Ia juga menyerikan suasana.
Mungkin ramai yang berfikiran untuk menambah ceria kan meja kerja ketika ramai sedang work from home ketika ini boleh fikirkan untuk ubah suai meja kerja. Ini kerana dengan bidai ini kita boleh nampak orang di luar tetapi orang luar tak boleh melihat ke dalam kawasan rumah kita. Nak kawal cahaya yang masuk ke dalam rumah pun senang guna bidai ini.
Seeloknya, kalau nak pasang bidai ini pada kawasan yang besar seperti ruang tamu rumah kita, pilihlah yang mempunyai bilah yang besar kerana ia lebih sesuai untuk kawasan yang agak lapang. Kalau bidai kecil lebih sesuai untuk tempat yang tertutup dan kecil.
BIDAI UNTUK BILIK TIDUR
Bidai venetian kurang sesuai kalau nak dipasang dalam bilik sebab fungsi utama bilik tidur kita adalah untuk kita rehat jadi mestilah kita nak bidai yang boleh halang cahaya sepenuhnya supaya boleh tidur nyenyak. Bidai venetian kurang efektif untuk mengalang cahaya berbanding bidai roman.
Bidai roman ialah satu bidai klasik yang diperbuat daripada fabrik. Fabrik itu anda boleh pilih ikut kesukaan anda. Tapi kalau anda pasang dalam bilik sebab anda tak nak cahaya masuk langsung, anda disarakan untuk pilih fabrik yang berwarna gelap dan boleh mengahalang cahaya masuk walaupun pada waktu siang.
BIDAI UNTUK OUTDOOR DAN DAPUR
Sebab kebanyakan bidai adalah diperbuat daripada bahan yang kalis air, jadi bidai boleh guna untuk outdoor dan dapur. Untuk kawasan outdoor macam balkoni, patio, gazebo atau kawasan belakang rumah, anda boleh pilih bidai kayu.
Sesuai untuk tema ‘vintage’ ataupun untuk timbulkan suasana yang tenang macam di kampung. Anda juga boleh pilih bidai patio yang kalis air untuk mengelakkan tempias hujan dari masuk ke rumah. Untuk kawasan dapur yang biasanya terdedah kepada asap dan minyak , boleh pilih bidai yang diperbuat daripada aluminium sebab bahan ini sangat mudah untuk dibersihkan.
BIDAI GULUNG
Bidai yang hanya memerlukan penjagaan minimum. Bidai jenis ini senang untuk dijaga kerana tidak mempunyai bilah seperti kebanyakan bidai yang lain. Jenis bidai ini sesuai untuk mana-mana bilik di rumah. Kalau nak pasang di bilik tidur boleh pilih bidai gulung blockout yang boleh halang cahaya daripada masuk sepenuhnya dan boleh buatkan bilik tidur anda lebih sejuk.
Bidai gulung ini mudah digunakan dan dibersihkan. Tambahan lagi bidai ini boleh membuatkan kawasan rumah kita kelihatan kemas. Jika tingkap anda agak besar atau anda tidak suka untuk tarik tali bidai secara manual, anda boleh pasang bidai gulung yang bermotor.
BIDAI SELULAR
Bidai yang sesuai sekiranya ada orang tua dan kanak-kanak di rumah. Kalau anda jenis orang yang tak suka tengok tali bidai dan tak nak tarik tali bidai secara manual, anda boleh cuba bidai selular.
Bidai ini ada bentuk honeycomb bertingkat sekiranya dilihat dari tepi. Disebabkan bentuk inilah bidai ini boleh menyejukkan bilik anda. Selain itu, ia juga boleh menghalang cahaya sepenuhnya yang menyebabkan bidai ini sangat sesuai untuk bilik tidur.
Oleh kerana bidai ini tidak ada tali bidai di luar, jadi ia nampak sangan moden dan minimalis. Paling penting sekali, bidai ini sangat ringan dan mudah untuk diangkat yang menyebabkan ianya sangat sesuai untuk rumah yang ada penghuni berusia ataupun kanak-kanak.
Sumber: Azura Curtain
Kredit foto (top image): Pexels
Ingin kongsi idea dekorasi rumah anda? Klik link ini untuk join telegram grup Geng Dekor Impiana: https://t.me/gengdekorimpiana
Ingin lebih tahu pelbagai tip untuk dekorasi rumah? Jangan lupa ikuti kami di Telegram dan TikTok rasmi IMPIANA.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI