Dapur kalau kita nak reka ‘design’ biarlah sesuai dengan gaya hidup bukan sekadar nak melaram. Dapur antara lokasi di dalam kediaman yang sangat penting. Malah bagi seorang wanita, banyak masa dihabiskan di dapur ketika memasak.
Bagi mereka yang berhajat membina dapur atau membina semula dapur baru, terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira. Berikut 10 perkara asas untuk anda beri tumpuan semasa membina dapur.
KEMASAN
Pemilik kediaman perlu bijak memilih corak dan warna. Ada pereka yang suka menemukan dua budaya atau dua zaman di dalam satu ruang. Cuba bayangkan kabinet moden ringkas bebas corak aksesori kecil, diserlahkan dengan jubin Belanda yang popular di kediaman kolonial.
Belek juga permukaannya. Adakah ianya sesuai dengan aktiviti harian anda di dapur. Berkilau mungkin cantik namun jika anda gemar memasak menggunakan minyak yang banyak, ia mungkin memberi kesan pada permukaan lantai dapur anda. Mungkin jubin seperti slate atau granit matte mahu pun terracota sesuai untuk anda. Paling penting ia mudah dibersihkan.
PELAN LANTAI
Pastikan pelan lantai anda cukup untuk ruang kabinet yang dirancang. Adakalanya kita terlalu bercita-cita tinggi sehingga angan-angan melebihi realiti. Senaraikan apa yang anda perlu dari sebuah dapur, bukan yang anda mahu. Ini termasuklah ruang untuk dapur basah dan dapur kering.
Jika anda membuat pengubahsuaian, jangan lupa tentang aliran udara masuk dan keluar kerana ia merupakan faktor keselamatan yang sangat penting. Malah jika anda kidal, perlu beritahu pereka agar lokasi memasak anda tidak menjadikan anda kekok.
JENIS MATERIAL YANG ANDA MAMPU
Tidak salah memilih material yang agak murah tetapi nampak cantik dan serasi dengan konsep kediaman. Bagaimanapun rajin-rajinlah bertanya kepada kontraktor anda tentang kelebihan dan kelemahan material yang anda pilih. Dengan cara ini anda lebih mudah untuk menjaga material tersebut. Biar pun anda memiliki kemasan atau material dapur yang bagus, ia ni tidak bermakna anda boleh mengabaikan penjagaan dapur anda.
PEMILIHAN KEMASAN YANG SESUAI
Ini merupakan antara perkara penting. Anda perlu tahu kemasan yang paling sesuai dengan dapur anda baik dari segi harga mahupun gaya hidup anda. Penting juga untuk anda menyesuaikan dengan karektor diri anda sama ada anda seorang agak comot bekerja atau seorang yang cermat.
Kemasan memainkan peranan penting dalam memberi nilai estetika kepada sesebuah konsep dapur. Sama ada kemasan itu legap, high gloss, matte, berkaca kabut dan lain-lain, kemasan ini membentuk karektor yang tersendiri.
Ada di antara kemasan ini mudah untuk dibersihkan dan tidak kurang juga yang akan meninggalkan kesan jika tidak dicuci berkali-kali. Adakah anda seorang yang malas atau rajin? Tepuk dada, tanya selera.
BAHAGIAN PENSTORAN YANG SESUAI DENGAN PERALATAN ANDA
Rancang rekaan kabinet yang kita mahu. Jika anda memiliki koleksi perkakas dapur yang banyak maka anda merancang rekaan kabinet yang sesuai dengan keperluan anda. Ada rekaan kabinet dapur yang direka sehingga aras 7 kaki sahaja tetapi ada juga tuan rumah yang inginkan kabinet tinggi sampai mencecah aras siling. Jadi ia lebih kemas menutupi keseluruhan dinding.
Kini ada rekaan dapur jenis terlindung terutama di kediaman dengan keluasan terhad. Dapur dilengkapi dengan dengan pintu berpangsi dan boleh ditutup jika tidak digunakan. Secara tidak langsung ruang yang sempit ini akan nampak cantik, kemas dan tidak menganggu aktiviti harian.
FUNGSI DAN FANTASI
Selalunya kita sering mendambakan sebuah dapur yang sempurna sama seperti dalam iklan atau gambar-gambar yang dilihat di media-media sosial seperti sumber Pinterest dan sebagainya. Namun realitinya kita terpaksa berdepan dengan ruang kediaman sendiri yang tentunya berlainan dengan apa yang diimpikan.
Ada di antara kita lebih selesa memasak sahaja di dapur dan mempunyai kamar membasuh sendiri atau ruang membasuh. Ada juga yang menggabungkan semua aktiviti di ruang dapur. Pendek kata, anda perlu tahu bagaimana susunan peralatan agar memudahkan kerja anda di dapur.
PENCAHAYAAN
Ketahui pelan lantai dapur anda. Adakah ia gelap atau terang. Adakah anda memerlukan langsir nipis atau langsir senteng atau lebih sesuai menggunakan bidai. Adakah anda memerlukan pencahayaan di bawah kabinet atas?
Jika anda mahu melatram dapur kering anda, mungkin boleh ditambah down light atau halogen. Secara tidak langsung rekaan istimewa dapur kering anda lebih menarik dan menyerlahkan ruang utama kediaman. Bagaimanapun jika sekadar untuk membuat kerja-kerja dapur, pencahayaan asas sudah mencukupi.
PEMILIHAN PENYENDAL
Ia bagaikan aksesori kepada rekaan dapur. Penyendal ini juga membentuk sesebuah karektor dapur. Daripada klasik ke moden, ia memberi nilai estetika dan harganya juga berbeza.
Jadi jangan terlalu taksub dengan hanya melihat rekaan tombol yang pelbagai. Fikirkan juga rekaan pintu kabinet anda adakah ianya sesuai dengan gaya hidup anda. Penyendal ini berfungsi sekadar pelengkap rekaan pintu kabinet dapur anda dan bukannya material utama yang perlu dilihat setiap masa.
PERMUKAAN KAUNTER
Permukaan kaunter yang anda pilih adakah ia diperbuat daripada bahan padu, tahan lasak atau sekadar kayu mampat yang lebih murah. Kini terdapat banyak pilihan permukaan yang lebih tahan lasak, mudah dibersihkan dan menyenangkan apabila disentuh.
Anda juga perlu bijak memilih warna material permukaan kaunter dapur agar aktiviti harian lebih lancar. Jangan pula hanya kerana dapur anda hitam, habis segala permukaan kaunter anda akan dihias denga rona hitam. Padanan ini perlu anda belek berkali-kali dengan kabinet dan kelengkapan lain agar tidak nampak asing dan canggung apabila siap kelak.
AKSESORI
Aksesori yang menarik menjadi ruang dapur nampak menyerlah. Bekas gula, garam, kunyit, rempah ratus dan sebagainya mampu menjadikan ruang dapur anda mencuri pandangan tetamu. Begitu juga dengan pengisar makanan, ketuhat dan sebagainya. Bukan hanya sekadar pelengkap gaya tetapi menjadi penyeri dapur anda.
Banyak tersedia perkakasan dapur yang menarik di pasaran namun anda perlu bijak membuat pilihan. Jangan hanya ‘tangkap muat’ sahaja. Ada konsep yang memerlukan aksesori yang banyak dan ada yang hanya memerlukan hiasan minimal.
Kredit foto (top image): Pexels
Ingin lebih tahu pelbagai tip untuk dekorasi rumah? Jangan lupa ikuti kami di Telegram dan TikTok rasmi IMPIANA.