Ruang dapur kecil ini tidak pernah gagal menarik perhatian sesiapa sahaja yang melangkah masuk ke kediaman teres superlink ini. Palitan warna jingga yang menjadi kemasan akhir kabinet dapur nyata menyerlah. Bukan mudah sebenarnya merealisasikan rekaan dapur penuh bergaya dengan keluasan yang terhad di samping konsep moden klasik yang menjadi pilihan pemilik. Namun gandingan serasi rona dan aura semula jadi kayu yang dijelmakan oleh pereka, mampu menyerlahkan penampilan dan menambah pesona pada ruang dapur sempit ini.
KEMASAN KAYU KASAI PILIHAN UTAMA
Keteguhan kemasan kayu menyuntik nilai estetika, memberi elemen malar segar, tampak semula jadi dan bergaya pada ruang dapur. Selain itu, jenis kayu yang dipilih juga mempengaruhi keindahan konsep moden klasik yang pemilik ingin serlahkan. Atas faktor-faktor ini pemilik setia dengan kemasan kayu berbanding kemasan moden seperti 3G, aluminium, melamine dan sebagainya.
“Saya sememangnya gemarkan kemasan kayu. Rumah lama kami juga menggunakan kemasan kayu di kabinet dapur. Elemen kayu menyerlahkan rasa natural dan evergreen ketika berada di ruang dapur. Ketika membuat perbandingan untuk memilih kayu yang bersesuaian sebagai kemasan utama di kabinet dapur, saya mempertimbangkan kayu pine dan oak, namun saya jatuh cinta dengan ira kayu kasai yang berjalur tegak dan kelihatan lebih kemas,” jelas Fiza.
REKAAN PRAKTIKAL KABINET BENTUK U
Penempatan reka bentuk kabinet berbentuk U memudahkan aliran trafik di dapur serta memenuhi keperluan pemilik sekeluarga. Pemilik menggunakan setiap ruang yang ada dan menjadikan reka bentuk kabinet ini cukup praktikal. Selain itu, keteguhan kemasan quartz rona hitam pada permukaan kaunter menjadikan ia pilihan ideal sebagai kemasan tahan lasak ketika melakukan kerja di dapur.
“Kaunter top di kabinet dapur yang berbentuk U ini digunakan sepenuhnya. Anak perempuan saya berusia 7 tahun gemar membuat muffin. Oleh itu, ketika saya memasak atau sedang membuat persediaan memasak, anak saya mempunyai ruang sendiri di kaunter top ini, untuk dia membuat muffin kegemarannya di kawasan ini,”jelas Fiza sambil tersenyum.
Selain itu, sentuhan rustik juga jelas kelihatan terutamanya pada pemilihan kerusi dan meja dari Wood and Steel. Peletakan bench daripada kemasan laminate yang turut dilengkapi ruang storan diganding serasi bertepatan konsep ini.