
Entri kali ini membicarakan tentang sebuah kediaman yang luarnya nampak sendu dan lama, tetapi bila melangkah masuk, sudut pandang anda pasti akan berubah sama sekali. Rumah ini dibina menggunakan material kayu dan dalamannya dicat dengan warna green mint untuk menampakkan sisi moden walaupun hakikatnya ia adalah binaan tradisonal.
Kediaman indah milik Pn Emma Syahira ini mempunyai dua bilik tidur, 1 bilik air dan tandas. Antara tujuan beliau memilih untuk tidak menata rias kediamannya dibahagian luar adalah kerana sebagai langkah keselamatan untuk menghindari rumahnya dari dimasuki pencuri berikutan kawasannya yang terletak agak jauh dari pusat bandar.
“Pada asalnya, kediaman ini berona jingga dan pada tahun ini saya menukarkan tema warna cat kepada green mint untuk menampakkan elemen segar di samping penekanan tema tropical green,” jelas penjawat awam ini.
Beliau bersama suaminya hanya berbelanja sebanyak RM2K untuk menghias ruang tamunya buat mereka seisi keluarga. Yang menjadi keutamaan, dekorasi yang dizahirkan mempunyai class walaupun hanya dengan menggunkan aksesori murah. Terdapat juga barang perhiasayan yang dihasilkan sendiri seperti wall panel untuk TV, kusyen dan pelbagai lagi.
“Walaupun anak saya baru berumur setahun 10 bulan, saya sudah mendidiknya agar tidak membiasakan diri untuk mengusik segala barangan yang ada dirumah ini serta rumah orang lain. Kami memilih hujung minggu sebagai waktu yang ideal untuk menyiapkan dekorasi kediaman bersama-sama memandangkan hari biasa kami sibuk berkerja”, katanya.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI
Solusi Dinding Sendu, Hebatkannya Dengan Hiasan Wainscoating

Sudah banyak kita lihat idea pemasangan wainscoating di dalam dekorasi rumah. Ianya tidak terhad dalam apa jenis rumah, asalkan ianya menepati kesesuaian warna dan konsep kerana ada tema dekor yang tidak sesuai untuk dipadankan dengan wainscoating.
Oleh itu, IMPIANA ingin memberi pencerahan secara lebih mendalam bagaimana anda boleh tatarias dinding utama di rumah anda dengan wainscoating tetapi adalah lebih molek untuk kita ketahui serba sedikit apa itu wainscoating dari mana ianya datang dan mengapa teknik ini tidak lapuk ditelan zaman dan tidak lekang dek masa.
Sejarah ringkas
Secara amnya, wainscoating sudah lama digunakan dalam hiasan dalaman rumah sejak dari Kurun Ke 18 lagi. Ianya banyak diaplikasikan di negara Eropah seperti England, German, Perancis dan beberapa lagi negara di Eropah. Penataan seperti ini boleh didapati di istana pemerintah, rumah pentadbiran kerajaan dan sukar untuk ditemui di rumah golongan pertengahan pada masa itu. Pada hari ini, teknik panel dinding ini banyak digunakan di mana sahaja, tidak kira rumah mewah atau rumah golongan berpendapatan sederhana kerana konsepnya sentiasa hijau dan tidak nampak lapuk.
Lokasi strategik Wainscoat
Selalunya pemilik rumah dan pereka dalaman akan meletakkan panel dinding ini di dinding utama kediaman yang mana ianya berfungsi sebagai fokal point dan menaikkan seri ruang terutamanya di ruang tamu, laluan menuju ke bilik dan juga di bilik air (menggunakan jubin, bukan kayu).
Selain daripada mencantikkan dinding ianya juga turut berperanan sebagai pelindung kepada warna cat setelah anda menyusun sofa ataupun meja yang boleh merosakkan warna cat asal. Ini kerana selalunya wainscoat akan diletakkan separuh daripada ketinggian badan manusia iaitu dari bahagian pinggang ke bawah, tetapi ini tidak bermakna tiada pemasangan dibuat pada keseluruhan dinding cuma ianya jarang dilakukan.
Kesesuaian tema
Idea pemasangan wainscoating tidak berapa sesuai jika anda memilih tema kediaman scandinavia, ini kerana ianya menggunakan material serta perabot yang terhad dan menjimatkan penggunaan ruang. Tonanya pula lebih kepada warna yang menjemput kehadiran cahaya semulajadi secara maksima. Idea ini memerlukan anda untuk menambah beberapa hiasan di dinding seperti frame gambar untuk menaikkan serinya dan beberapa lagi aksesori tambahan dan Ya, konsep skandinavia kurang sesuai untuk wainscoating kerana skandinavia lebih bersifat minimalis.
Tetapi jika anda gemarkan konsep modern english, pemasangan wainscoating amat ideal, ini kerana dari sudut sejarahnya sudah menunjukkan walaupun tradisional, di zaman moden juga sesuai untuk dipadankan dengan dinding sama ada berona gelap atau terang. Cadangan kombinasi warna yang sesuai adalah hitam putih, biru putih, coklat gelap dan kuning terang.
Akhir sekali, walaupun teknik ini sudah lama digunakan, tetapi ianya tidak pernah lapuk atau obsolete kerana ia berupaya untuk membuatkan dinding yang rata dan biasa nampak lebih elegan berbanding yang asal dan polos, dan penulis yakin, 30 tahun akan datang pun ianya masih lagi sesuai untuk digunakan.
Berikut adalah beberapa cadangan idea pemasangan wainscoating yang anda boleh suaipadankan dengan hiasan di rumah anda, selamat mencuba!!
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI
Gabungan Rona Biru Navy Dan Kuning Sebagai Penyeri Kediaman Bertemakan Nordic

Kerana menyukai tema Nordic yang popular di negara Skandinavia, sebuah kediaman yang terletak di Bangi, Selangor telah ditata indah dengan gabungan rona biru navy dan kuning. Menurut pemiliknya, Pn Norafzan Aznam, segala dekorasi yang ada dalam rumah ini dilakukan secara berperingkat sejak mereka mula pindah masuk sehinggalah ke hari ini. Bermula dari ruang tamu, bilik tidur dan akhir sekali di bahagian dapur.
Untuk maklumat, rumah ini berkeluasan 2200 kaki persegi dengan kapasiti 4 bilik tidur dan 3 bilik air. Menurut pemilik, segala usaha dekorasi ini dijalankan bersama suami.
Pandanagan penulis tertumpu pada pilihan warna yang digunakan dalam kediaman ini kerana ia amat mesra dengan kanak-kanak. Tambahan, pasangan ini dikurniakan dua orang anak iaitu seorang lelaki yang berumur 4 tahun dan perempuan berumur 10 bulan.
Secara kesan visualnya, rona biru mewakili air dan lautan. Secara psikologinya pula air digunaakan bagi memberi ketenangan. Begitu juga kediaman ini. Penerapan dan pemilihan rona nya amat bertepatan untuk menzahirkan sebuah kediaman yang selesa syurga buat pemilik seisi keluarga. Pemilihan warna biru navy bukan sekadar membuat isi kediamannya berasa tenang malah tetamu yang hadir akan dikelilingi suasana yang selesa dan tenang.
Jika diteliti daripada kebanyakkan perabot di ruang tamu menggunkan kaki pensil. Pemilihan perabot yang mempunyai kaki jenis ini lebih jimat ruang dan memudhakan tugas-tugas pembersihan di bawah sofa. Memandangkan keluasan kediaman yang luas, pemilik mengambil keputusan untuk menyediakan ruang tamu dan ruang keluarga secara berasingan. Ruang buat keluarga dilengkapi sofa berbentuk ‘L” untuk memberi keselesaan optimum saat menoton tv. Manakala ruang tamu yang bersebelahan hanya menggunakan perabut ringkas namun masih menekan ciri-ciri nordic
Selain itu, dibahagian bawah tangga turut dimanfaatkan. Kerusi yang disediakan di bawah tangga menjadi ruang tambahan buat pemilik terutamanya apabila menerima kunjungan ramai. Secara tidak langsung, ruang di bawah tangga yang selalu menjadi negative space dapat dielak.
Konsep nordic terus di bawa kebahagian dapur. Bukan sekadar susun atur keperluan dan perkakas dapur kelihatan kemas dan teratur, semangat nordic turut terpalit pada perkakas dan perincian yang terdapat di ruang dapur yang kecil ini. Susunan begini memudahkan urusan pemilik untuk menyediakan juadah yang enak dalam masa yang singkat. Jika diteliti, wujudnya elemen triangle dalam dapur ini. Ia dikenali sebagai salah satu cara untuk memudahkan kerja mengambil bahan, mencuci dan memasak dalam satu masa. Senang cerita, praktikal untuk pengguna.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI
Perancangan Teliti Pemilik Realisasikan Kediaman Konsep Terbuka Inspirasi Modern Mediterranean

Isi Kandungan
ToggleKali pertama berkunjung ke kediaman ini, IMPIANA cukup tertarik dengan konsep terbuka dan gaya inspirasi Moden Mediterranean yang dizahirkan. Pemilik kediaman cukup ‘berani’ dalam menampilkan kelainan dan keunikan yang tersendiri pada reka bentuk mahupun dekorasi rumah yang berkeluasan 2,000 kaki persegi ini.
Lebih istimewa, idea dekorasi hanya cetusan citarasa sendiri bersama adik tersayang yang merupakan Pensyarah Seni Bina di UNIMAS. Memang terbaik hasilnya!
Sementelah kawasan rumah yang didirikan berisiko untuk mengalami banjir, perancangan yang teliti dan sebaiknya telah diatur oleh pemilik kediaman demi merealisasikan mahligai impian dapat dizahirkan.
Tambak Tanah 8 Kaki
Menurut pemilik kediaman Yon Tania, rumah ini dibina di atas tanah pusaka yang diberikan oleh ibunya. Namun, rumah ini terletak di kawasan tanah rendah dan berhampiran sungai, jadi ia berisiko untuk mengalami banjir. Sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kemungkinan tersebut, pemilik telah menambak tanah setinggi 8 kaki terlebih dahulu sebelum membina rumah impian.
“Tapak tanah rumah ini merupakan tanah pusaka pemberian mak. Terletak di kawasan rendah, berhampiran sungai dan berisiko untuk banjir. Jadi sebagai persediaan, sebelum PKP kami tambak tanah dulu dengan batu-batuan, setinggi 8 kaki sebelum membina rumah ini,”
“Hanya pada Jun 2023 kami mulakan membina rumah ini secara berperingkat dan ia siap dibina pada Jun 2024, dalam masa setahun,”ujar Yon memulakan bicara.
‘Sunken Living Room’
Melihat pelan lantai rumah ini yang bertangga dan bertingkat, pemilik mempunyai sebab tersendiri dalam memiliki rekaan ‘Sunken Living Room’ di ruang tamu. Begitu juga dengan pemilihan sofa di ruang tamu yang diperbuat daripada kemasan batu.
“Memandangkan rumah ini berisiko untuk banjir, kami membuat perancangan membina ‘sunken living room’ yang mempunyai aras lebih rendah berbanding ruang yang lain. Bahagian tempat duduk di ruangan ini juga diperbuat daripada kemasan batu dan penutup besi supaya ia tahan lasak dan tak mudah rosak jika kena air. Malah kami juga membuat ‘storage’ tambahan di bahagian tempat duduk bagi ruang penyimpanan tambahan,” ujar Yon.
Bukan itu sahaja, sebagai langkah persediaan, pemilik kediaman juga telah mengambil insurans bencana alam. Ia bagi pembayaran balik ganti rugi sehingga RM500,000 sekiranya banjir atau kebakaran rumah berlaku.
Pencahayaan & Pengudaraan Semulajadi
Istimewanya, ruang kediaman berkonsep terbuka tampak cukup luas dan selesa dengan pencahayaan dan pengudaraan semulajadi melengkapi kediaman ini. Sekaligus menjadikan kediaman ini mesra alam tanpa bergantung kepada penghawa dingin.
“Jika diperhatikan rumah ini berkonsep terbuka, tak banyak sangat dinding. Apabila waktu siang, kami tak perlu buka lampu semuanya daripada cahaya semulajadi. Kami juga tidak memasang pendingin hawa (aircond) kerana banyak ‘folding door’ dan tingkap, jadi udara dari luar banyak masuk ke dalam rumah. Hanya dalam bilik sahaja kami pasang aircond,” jelas Yon.
Entrance Garden, Courtyard & Edible Garden
Gaya hidup pemilik yang menggemari kehijauan alam semulajadi dan aktiviti bercucuk tanam menjadikan ruang kediaman ini cukup segar dengan pelbagai jenis tumbuhan hijau. Ia dapat dilihat pada taman kecil yang terletak di bahagian pintu masuk rumah, landskap indah dengan kolam air di ruang courtyard serta pelbagai jenis tanaman di laman dapur.
“Saya suka bercucuk tanam di rumah. Apabila bangun tidur melihat pokok-pokok hidup subur dan segar, cukup menenangkan hati. Ada macam-macam jenis pokok yang ditanam seperti pelbagai jenis pokok keladi, pokok kaktus, snake plant, Monstera, pokok kemboja, teratai dan sebagainya. Di laman dapur pula tanaman yang digunakan untuk masakan seperti daun kari, daun pandan, daun kunyit, pokok cili, oregano dan mint leaves,” ujar Yon.
Perancangan Masa Hadapan
Berkongsi perancangan masa hadapan pada rumah yang baru 5 bulan didiami ini, pemilik berkongsi impian untuk membina kolam renang serta beberapa rumah ‘homestay’ serta tapak perkhemahan di kawasan berhampiran rumahnya.
“Mengenai perancangan masa hadapan, saya berhasrat untuk membina kolam renang untuk anak-anak. Tanah pusaka ini berkeluasan hampir 8,000 kaki persegi, jadi saya juga merancang untuk mendirikan beberapa rumah ‘homestay’ dan tapak perkhemahan juga kelak,” jelas Yon mengakhiri bicara.
Tahniah buat pemilik kediaman apabila berjaya menzahirkan rumah berkonsep terbuka berinspirasikan gaya modern mediterranean yang cantik ini. Semoga menjadi panduan dan inspirasi buat pencinta dekorasi kediaman yang lain.
INFO KEDIAMAN:
Nama Pemilik: Yon Tania & Mohd Zuhri
Usia Kediaman: 5 Bulan (Jun 2024)
Konsep : Modern Mediterranean
Lokasi: Hulu Langat, Selangor
Keluasan Kediaman: 2,000Kps
Anggaran Kos : RM350k
Jenis Kediaman: Banglo
Spesifikasi Ruang Kediaman:
(Dapur kering, dapur basah, 4 Bilik Tidur, 3 Bilik Air, Family area, entrance garden, courtyard, sunken living room)
Semoga menjadi inspirasi buat pencinta dekorasi rumah yang lain.
Mesti Baca: Rumah Milik WAWA ZAINAL & AERIL ZAFREL Berkonsep Modern English, Siap Ada Mini Surau!
Baca Lagi Di Sini: Cantik Villa Konsep Farmhouse Pinggir Kampung, Target Dijadikan Rumah Pencen
Artikel Menarik: “Teratak NEN’Da” Estetika Rumah Kampung Berkonsep ‘English Cottage’ Milik Pelakon Khaty Fauziah
Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI