Deretan bangunan di pinggir tebing curam di El Alto, Bolivia, digelar sebagai ‘rumah bunuh diri’ kerana kedudukannya yang sangat berbahaya dan terdedah kepada tanah runtuh.
Bangunan ini terletak di Avenida Panorámica dan La Ceja, kawasan komersial sibuk di El Alto yang juga bandar ke dua terbesar di Bolivia.
Meskipun hujan lebat baru-baru ini meningkatkan risiko tanah runtuh, para penghuni, termasuk peniaga dan dukun tempatan yang dikenali sebagai yatiri, enggan berpindah kerana ia merupakan lokasi penting bagi sumber rezeki mereka.
“Kami akan menjaga tanah ini, terutamanya mengalirkan air hujan supaya ia tidak terus menghakis tebing,”
kata seorang yatiri.Menurut Setiausaha Perbandaran, Pengurusan Alam Sekitar dan Risiko, Gabriel Pari, pihak berkuasa telah mengeluarkan arahan supaya penduduk mengosongkan kawasan itu kerana runtuhan semakin hampir.
“Lembah ini memiliki cerun 90 darjah, dan itulah sebabnya kami mahu mereka meninggalkan tempat ini dan jika mereka enggan berpindah, kami mungkin terpaksa menggunakan kuasa undang-undang,” katanya lagi.
Rumah-rumah ini, yang dibina daripada bata dan beratap zink, sangat penting bagi para yatiri. Mereka percaya ia mempunyai nilai spiritual yang tinggi dan mencadangkan upacara persembahan kepada Pachamama, dewi yang dihormati masyarakat pribumi Andes, untuk menstabilkan tanah.
Kedudukan rumah-rumah itu telah lama berisiko, namun hujan lebat dan perubahan iklim dilihat mempercepatkan hakisan tanah dan meningkatkan kemungkinan berlakunya runtuhan.
Meskipun bahaya semakin nyata, penduduk masih berpegang pada kepercayaan mereka dan enggan meninggalkan kawasan itu, walaupun nyawa mereka berisiko melayang.
Lokasi kediaman yang tidak stabil ini lazimnya dijadikan tempat kerja bagi dukun Aymara, atau yatiris, iaitu pengamal perubatan dan penyembuh komuniti di bandar ini.
Mereka percaya kesihatan manusia mempunyai hubungan erat dengan alam semula jadi dan sering berkomunikasi dengan roh untuk kesejahteraan.Dukun ini menggunakan ruang kecil berbentuk kotak di dalam rumah berkenaan untuk membuat persembahan kepada Pachamama, atau Ibu Bumi.
Seorang yatiri, Manuel Mamani berkata, “Kami tidak akan pindah dari tempat ini, kerana ini adalah tempat kerja harian kami.
“Tetapi kami akan menjaga tanah ini, terutama air hujan, kami akan menyalurkannya supaya air itu pergi ke tempat lain.”
Seorang lagi yatiri, Gabriel Lopez Chiva berkata, dia yakin Pachamama akan melindunginya.
Beliau menambah, “Kami boleh mengadakan upacara persembahan, kami melakukannya sebagai pembayaran dan dengan cara ini, tanah ini tidak akan bergerak kerana Pachamama memerlukan persembahan.
“Ia seperti memberi makanan dan dengan cara ini tempat ini tidak akan bergerak. Sebaliknya, ia akan menstabilkan.”
Terletak di antara pergunungan Andes, El Alto menawarkan pemandangan menakjubkan yang menarik ramai pelawat tempatan.
Mesti Baca: 10 “Defect” Wajib Periksa Sebelum Pindah Rumah Baru!
Baca Lagi Di Sini: Pantas, Mudah & Berbaloi, Urusan Pindah Barang Rumah Tak Lagi Menyusahkan
Artikel Menarik:Makover Dapur Rumah Sewa, Nanti Nak Pindah Kabinet Boleh Cabut Balik
IMPIANA: Macam-macam hal. Kalau dah tahap macam ni, berisiko untuk hakisan tanah dan tebing runtuh, eloklah segera berpindah demi keselamatan diri.
Sumber: Hmetro
Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.