Hiburan

EBBY YUS Bina Surau Kayu Di Kawasan Rumah Untuk Musafir Solat, Berehat

Share

Tragedi banjir pada 18 Disember 2021 masih terpahat jelas dalam ingatan. Kediaman pelakon dan pelawak Ebby Yus di Hulu Langat, Selangor yang ketika itu masih dalam proses pembinaan turut hanyut sekelip mata dek bencana alam yang tidak diduga itu.

Rumah kayu yang dibina hasil pendapatan sendiri dengan kos RM200,000 dan hampir siap, musnah sepenuhnya dalam sekelip mata akibat banjir lumpur yang teruk di Hulu Langat, termasuk di kampungnya, Paya Lebar.

Namun demikian atas keprihatinan pihak berwajib, Ebby Yus atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid menerima sumbangan daripada kerajaan berbentuk rumah mesra rakyat bernilai RM56,000. Sekaligus menggantikan rumah lama yang telah musnah di bawa arus deras. Pembinaan rumah bantuan tersebut didirikan di tapak tanah lama miliknya.

Rumah Dah Siap, Masih Menyewa

Berkongsi perkembangan terkini mengenai rumah mesra rakyat yang didiami, Ebby Yus berkata meskipun rumah 3 bilik tersebut telah siap,namun masih belum didiami dan dia masih menyewa rumah lain. Ini kerana jambatan untuk menghubungkan jalan ke rumahnya masih tiada dan belum dibina.

“Selepas rumah dilanda banjir, kerajaan ada berikan (bina) rumah mesra rakyat ditapak tanah yang sama. Cuma saya tak duduk lagi sebab jambatan belum ada lagi. Rumah tu dah siap dan saya masih menyewa (rumah lain),”ujar Ebby Yus

Tambahnya lagi, meskipun rumah mesra rakyat ini bersaiz kecil berbanding rumah lama yang dibina, namun dia tetap bersyukur dengan rumah 3 bilik yang diberikan oleh kerajaan ini.

Bina Surau Kayu Untuk Musafir

Berkongsi lebih lanjut, Ebby Yus berkata surau kayu untuk golongan musafir singgah berehat dan solat juga didirikan di kawasan rumahnya. Ia bertujuan untuk menghargai duit sumbangan yang diterima daripada orang ramai, adik beradik, kawan-kawan dan peminat sewaktu rumahnya hanyut dilanda banjir dahulu.

“Pada mulanya sumbangan yang diberikan adalah untuk membina rumah, namun memandangkan kerajaan telah membina rumah mesra rakyat tersebut, maka saya buatkan surau dari sumbangan duit yang diberikan dan saya tambah serba sedikit,” kata Ebby Yus.

“Surau tersebut didirikan di kawasan rumah saya, tetapi bagi sesiapa yang lalu, nak tumpang berehat, solat silakanlah,” ujarnya lagi.

Alhamdulillah, semoga dipermudahkan segala urusan Ebby Yus dan digantikan dengan rezeki yang lebih baik. Semoga pembinaan surau kayu tersebut dapat memberi manfaat buat golongan musafir yang singgah untuk berehat atau solat.

Mesti Baca:Rona Hijau ‘Olive’ Hiasi Dapur SHEILA RUSLY, Memang Kemas & Mewah!
Baca Lagi Di Sini:Beli Rumah Pertama Pastikan Ada 7 Ciri Ini, Nasihat Dari Perunding Hartanah!
Artikel Menarik:Banglo 3200Kps ‘Mediterranean Style’,”A House That Make You Feel At Home”

Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Suhaidah Binti Abd Wahab