Pokok mangga merupakan salah satu tanaman buah yang popular di Malaysia. Namun, masalah buah mangga ini ialah luaran buah mangga yang ditanam nampak cantik saja.
Tapi bila kupas penuh dengan ulat. Ada juga buah yang luruh dan busuk walaupun belum masak. Bila hasil buah mangga jadi begini memang mengecewakan. Punca buah mangga jadi begini adalah akibat serangan lalat buah.
Buat perangkap lalat buah
Antara yang boleh dilakukan untuk mencegah serangan lalat ini adalah dengan membuat perangkap lalat buah menggunakan Petrogenol atau Methyl Eugenol.
Ia adalah sejenis hormon untuk memikat lalat buah supaya masuk dalam perangkap yang boleh dibuat dari botol air mineral.
Lalat buah akan masuk ke dalam perangkap dan tidak menyerang buah. Petrogenol boleh dibeli di kedai menjual racun serangga.
Untuk membuat perangkap ini, alat yang diperlukan adalah botol air mineral, stapler, playar, pisau, batang besi dan kapas. Cara membuatnya adalah seperti berikut.
1. Potong 2 botol air mineral.
Ads
2. Masukkan sebatang besi di bawah botol, pastikan ia ditengah-tengah.
3. Bengkokkan hujung besi untuk meletakkan kapas yang dititis dengan hormon pemikat lalat ini.
4. Petrogenol atau Methyl Eugenol disapu pada kapas dimasukkan ke dalam botol air yang dibuat lubang di sekelilingnya.
Ads
Bergantung kepada angin dan keadaan sekeliling pokok, lalat buah jantan akan menghidu bau hormon tersebut seterusnya masuk ke dalam botol.
Bila masuk ia sukar untuk keluar dan seterusnya mati kerana bau yang sangat kuat dalam botol plastik. Bau feromon ini boleh tahan untuk beberapa minggu dan perlu disapu semula.
Boleh juga praktik petua ini, antaranya letak Panadol!
Selain itu ada lagi beberapa petua yang dikongsi oleh netizen di Facebook untuk mengelakkan buah mangga berulat. Antaranya;
1. Letak beberapa biji panadol dalam kulit pokok mangga ataupun tanam Panadol pada pangkal pokok buah mangga. Lakukan ketika pokok sedang berbunga.
2. Bakar daun-daun yang luruh dan ranting di bawah pokok. Biarkan dahan pokok terkena asap tapi pastikan api jangan terlalu marak.
Ads
3. Bersihkan buah mangga yang jatuh dan busuk di bawah pokok supaya tidak menjangkiti buah yang elok.
4. Tabur garam anggaran sekaki dari pokok mangga.
IMPIANA : Penjagaan yang rapi dan konsisten adalah kunci untuk mendapatkan hasil buah mangga yang berkualiti dan bebas daripada serangan serangga perosak. Selamat mencuba!
5 Jenis Pokok Hiasan Dijadikan Penyeri Laman Harga ‘Kayangan’ Boleh Cecah Ribuan Ringgit. Terdapat pelbagai sebab pokok hiasan ini cukup bernilai harganya. Mungkin kerana unik, sukar dijumpai dan faktor penjagaan yang rumit, sebilangan besar pokok di bawah ini dijual di pasaran Malaysia pada harga mencecah ribuan malah ratusan ribu ringgit.
Walaupun harganya mahal melebihi seutas rantai emas atau mungkin seolah tidak masuk akal, ‘Pokok Kayangan’ ini terus menjadi buruan dan rebutan penghobi dunia hijau.
Lebih mengejutkan, harga pokok melonjak lebih tinggi mengikut jenis, corak, saiz dan bilangan daun. Jika berada dalam kategori pokok ‘rare’, keratan batang dengan sehelai daun sahaja sudah beribu harganya.
Malah ramai peminat laman yang sanggup menghabiskan duit mencecah ribuan ringgit untuk mengumpul pelbagai spesies pokok-pokok ini untuk dijadikan koleksi penyeri laman dan ruang kediaman.
Pokok orkid atau nama saintifiknya Orchidaceae mempunyai pelbagai spesies, aneka warna, bentuk, harum, tahan lama, unik dan pesona keindahannya menjadi penyeri laman serta ruang kediaman
Siapa sangka pokok orkid yang asalnya tumbuh liar di hutan mampu mencecah hampir RM1 juta sepokok untuk spesies tertentu. Ketika ini, terdapat sebanyak 25,000 hingga 35,000 spesies orkid dengan kira-kira 1,000 ‘genera’ di seluruh dunia.
Kebanyakan spesies orkid liar dan hibrid menjadi produk pertanian dan holtikultur yang berharga tinggi. Antara orkid bernilai tinggi adalah dari spesies Orkid Gold of Kinabalu atau nama saintifiknya Paphiopedilum Rothchildianum, menduduki tempat kelima dalam senarai orkid termahal dunia, iaitu berharga RM27,270 sepokok.
Ia mahal kerana mengambil masa selama 15 tahun untuk mekar berbunga dan dipercayai tergolong dalam spesies di ambang kepupusan.
Spesies orkid Shenzhen Nongke yang hanya ada di China pula dilaporkan dijual dengan harga £160,000 (RM912,484) sepokok yang mengambil masa lapan tahun penyelidikan oleh saintis di negara itu bagi mencipta bunganya yang cantik dan elegan.
Orkid dari genus Cymbidium itu dipercayai paling mahal di dunia, hanya mekar setiap empat hingga lima tahun sekali, selain ia melambangkan sosiobudaya negara China dan aroma yang wangi.
Bonsai adalah seni membantutkan pokok dalam pasu supaya membawa penampilan kerdil daripada pohon besar berusia puluhan atau ratusan tahun. Lazimnya, saiz terkecil bonsai atau ‘mame’ bonsai hanya sebesar syiling 50 sen dan yang terbesar seelok-eloknya tidak lebih daripada satu meter tinggi.
Terdapat pelbagai spesies pokok yang boleh dijadikan bonsai. Antara spesies bonsai tunggal yang menarik terdapat dalam negara ini adalah spesies bonsai tempatan ‘cucur atap’, yang hanya boleh didapati di Kelantan dan Terengganu.
Gubahan pokok ini kebiasaannya dijual pada harga RM100 hingga RM200, namun ia mampu menjangkau sehingga puluhan ribu mengikut keunikan gubahan dan usianya. Pokok harga ‘kayangan’ ini apabila mampu mencecah RM25,000 sebatang jika dikategorikan sebagai bonsai kelas pertama.
Selain itu, beberapa jenis pokok yang sesuai dijadikan bonsai seperti pokok bunga kertas, kesinai, asam jawa, kemuning, ara dan melati. Semakin unik hasil gubahan Bonsai dan semakin matang umurnya, semakin tinggi jugalah nilainya.
Antara Bonsai termahal seperti spesies Wrightia Religiosa berusia 40 tahun dengan anggaran harga sekitar RM80,000 hingga RM90,000.
Minat terhadap pokok bonsai mendorong segelintir pemilik premis kediaman sanggup membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk membelinya.
Jadi tidak hairanlah bonsai juga menjadi lambang ‘status’ bagi pemilik kediaman kerana harganya yang mahal, tak semua pemilik laman mampu jadikan pokok ini sebagai penyeri rumah.
Bromeliad sejenis tanaman hiasan eksotik yang tergolong dalam famili Bromeliaceae. Secara semula jadi, pokok bromeliad mudah dijumpai tumbuh dan hidup di atas pokok sebagai pokok tumpangan (epifit), di atas tanah, di celahan batu dan di tepi tebing gunung.
Terdapat lebih 3,700 spesies pokok bromeliad dengan pelbagai bentuk daun dan variasi warna yang menarik. Namun, kebanyakannya bromeliad berwarna terang dan apabila kembang, ia akan bertahan sehingga beberapa bulan.
Keunikan kombinasi warna dan daunnya menjadikan bromeliad kini antara tumbuhan hiasan untuk menyerikan halaman kediaman. Malah mudah dijaga, tidak memerlukan siraman setiap hari serta penjagaan yang rapi.
Namun bukan calang-calang harganya pokok yang berasal dari Amerika Selatan ini, ia juga mampu dijual pada harga ribuan ringgit.
Pokok Keladi ialah sekelompok tumbuhan dalam keluarga Araceae yang ditanam sebagai tanaman hiasan. Antara jenisnya seperti Aglaonema, Anthurium, Dieffenbachia, Epipremnum, Philodendron, Spathiphyllum dan Syngonium; dan juga Alocasia, Caladium dan Colocasia.
Pernah viral seketika dahulu, tanaman keladi eksotik antara pokok hiasan berharga bagi peminat laman. Ia mampu mencecah harga RM10,000 hingga RM35,000 sepokok bergantung pada jenis spesies dan keunikannya.
Sebagai contoh pokok keladi jenis colocasia midnight berharga RM24,000 sepokok, manakala jenis ‘Topeng Firaun’ harga pasaran antara RM10,000 hingga RM20,000 sepokok bagi pokok matang dan anak pokok dijual pada harga RM5,000 hingga RM8,000 sepokok.
Keladi jenis ‘Black Stan Variegated’ pula boleh dijual pada harga RM24,000 dan pokok matang pada harga RM38,000 sepokok.
Semakin sukar spesies keladi eksotik ini diperolehi, semakin mahal harganya di pasaran.
Pokok Monstera (Monstera deliciosa) adalah sejenis tumbuhan daripada keluarga Araceae yang sering dijadikan tanaman hiasan yang mempunyai rupa bentuk yang unik dan cantik.
Keunikan tumbuhan ini adalah dimana bentuk daunnya yang berwarna hijau serta berlubang dan saiz daunnya juga besar. Pokok ini menjadi pilihan ramai kerana ia sesuai ditanam sebagai tanaman dalam rumah (indoor plants) atau dijadikan tamanan hiasan dalam pasu.
Pokok ini juga lebih dikenali sebagai pokok ‘Keladi Monstera’ atau ‘Cheese plant’ disebabkan bentuk lubang-lubang pada dunnya seakan lubang pada cheese. Ini juga berkait dengan daun pokok ini pada tumbuhan yang matang boleh menjadi sangat besar, berkilat, berwarna hijau gelap, daun terbelah-belah dan berlubang-lubang bergantung kepada spesis dan cara penjagaannya.
Pokok montera yang termasuk didalam keluarga memanjat (climbing plants) ini mempunyai 50 spesis dimana mampu tumbuh sehingga ketinggian 20 meter.
Pokok Monstera yang mempunyai daun berciri unik seperti ada tompokan berwarna cerah dan bermotif marmar dijual dengan harga yang mahal kerana sukar untuk didapati. Varian harga seperti Monstera Albo dijual pada harga USD100 (RM441) hanya bagi keratan batangnya sahaja kerana keunikannya dan juga faktor ada permintaan yang tinggi di kalangan pencinta Monstera . Hasil tinjauan, sepohon pokok Monstera albo dan bagi jenis Monstera Thai Constellation dijual pada harga RM1500-RM2500.
Monstera Albo Marble, Monstera Aurea Marble dan Monstera Albo Halfmoon antara yang mempunyai nilai pasaran tinggi.Nilaian harga pokok-pokok ini bertambah tinggi bergantung kepada kematangan dan saiz daun, kesihatan akar, saiz batang dan keadaan fizikal daun yang tiada cacat cela. Malah mampu dijual sehingga puluhan ribu ringgit.
IMPIANA: Jika berkemampuan apa salahnya untuk mengumpul koleksi pokok kayangan ini. Malah jika bijak percaturan, hobi tersebut boleh dijadikan pendapatan sampingan dengan menjual anak-anak pokok yang ada.
Soda penaik, atau lebih dikenali sebagai baking soda, merupakan bahan yang sering digunakan di dapur. Namun, tahukah anda bahawa soda penaik juga mempunyai manfaat yang luar biasa dalam berkebun?
1. Racun kulat semula jadi
Caranya adalah dengan mencampurkan soda penaik dengan air dan sabun cecair. Semburkan cecair ini di tumbuhan untuk melawan penyakit seperti kulat serbuk.
2. Matikan rumput
Seterusnya, anda boleh gunakan soda penaik untuk mematikan rumput tanpa merosakkan tumbuhan sekeliling yang lain.
3. Penghalang serangga perosak
Sekiranya anda mempunyai masalah serangga perosak, boleh campurkan soda penaik dan sedikit tepung. Cacing kubis dan kutu daun boleh hilang apabila sapu bancuhan ini.
4. Pindaan tanah
Soda penaik boleh digunakan untuk membuang tanah yang terlalu berasid dan memperbaiki persekitaran pertumbuhan.
5. Pemanis buah tomato
Sekiranya buah tomato yang ditanam tidak manis, boleh taburkan sedikit soda penaik di sekeliling pokok tomato untuk mengurangkan keasidan tanah. Hasilnya tomato pasti lebih manis!
6. Penggalak kompos
Bagi mempercepatkan proses pengkomposan dengan menjadikan persekitaran lebih elok, anda boleh menggunakan soda penaik.
7. Penyerapan bau
Meneutralkan bau di kawasan seperti sampah, boleh taburkan sedikit soda penaik di sekitar tersebut.
8. Pembersih alatan kebun
Bersihkan alatan berkebun dengan menggosoknya menggunnkan pes baking soda. Dengan cara ini, ia mampu menghilangkan kotoran dan karat.
9. Tingkatkan percambahan benih
Tingkatkan percambahan benih dengan merendam benih dalam larutan soda penaik sebelum menanam.
10. Halau semut
Buang semut dengan taburkan sedikit soda penaik di sekeliling tumbuhan atau laluan semut.
IMPIANA : Dengan menggunakan soda penaik, anda dapat memastikan tanaman di kebun kekal sihat dan produktif tanpa perlu bergantung kepada bahan kimia yang berbahaya.
Bagi yang ada bercucuk tanam di laman rumah, boleh cuba buat sendiri baja organik atau ‘hormon’ penggalak tanaman menggunakan bahan-bahan yang ada di dapur sahaja. Lebih selamat, jimat kos dan tanaman pun jadi lebih subur.
Antara bahan dapur yang boleh digunakan untuk membuat baja organik seperti kulit bawang merah, kulit telur, ajinomoto, telur, yakult, roti tamat tempoh dan sebagainya.
IMPIANA kongsikan cara membuat baja organik ini sebagai panduan.
Ada caranya supaya pokok sihat, subur menghijau tanpa menggunakan baja yang mengandungi bahan kimia dan bebas racun. Iaitu dengan membuat sendiri baja semulajadi a.k.a MOL (Mikro Organisma Lokal) yang menggunakan bahan organik untuk pokok yang ditanam sendiri. MOL Bawang Merah ini sangat bermanfaat untuk menggalakkan pertumbuhan akar pokok.
Kalau dah cuba macam-macam cara dan baja, tanaman tetap payah nak subur boleh cuba siram baja air ajinomoto ini. Tak perlu siram selalu, sekali seminggu sahaja. Mudah nak buat dan kos pun murah.
Monosodium glutamate (MSG) mampu menyuburkan pokok yang susah mahu berbunga dan berbuah. Dedaun sayur pula akan membesar dua tiga kali ganda saiznya, pertumbuhan tanaman lebih cepat, pokok bunga akan cepat berbunga dan pokok buah akan cepat berbuah. Memang berkesan dan puas hati hasilnya.
Buat sendiri baja organik daripada sisa bahan makanan yang ada di dapur, jimat kos dan tanaman jadi lebih subur menghijau.
Boleh cuba buat sendiri bahan penggalak tumbesaran semulajadi tanaman di rumah guna telur dan yakult je.Sangat berkesan dalam menyuburkan tanaman, menggalakkan pertumbuhan bunga dan pokok berbuah lebat.Hasil siraman dalam masa seminggu, daun lebar menghijau, tumbuh pucuk baru, buah dan bunga makin meriah.
IMPIANA: Semoga perkongsian ini bermanfaat.Bagi ada bercucuk tanam di rumah, boleh cuba buat sendiri baja organik di rumah menggunakan bahan-bahan dapur je. Lebih jimat, selamat dan paling penting bebas baja kimia. Ikut tip dan panduan yang dikongsikan ini barulah tanaman sihat, malah hidup subur merimbun nanti.
Ketahui langkah penting dan rutin kebersihan rumah bagi pencegahan influenza. Lindungi keluarga anda dengan amalan harian mudah yang mencegah jangkitan virus di rumah!