Dekorasi

Elak Terkena Renjatan Elektrik Ketika Bencana Banjir, Tip Keselamatan Kena Tahu

Share

Hujan lebat dan fenomena air pasang besar bertembung menjadi punca berlakunya banjir besar yang kini sedang berlaku di utara Malaysia terutama di Kedah.

Malah, mengikut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat jam 9 pagi tadi, sebanyak 29 pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka di Kedah yang menempatkan 4,816 mangsa termasuk 95 bayi membabitkan 1,535 keluarga.

Banjir

Ini antara tip keselamatan elektrik semasa dan selepas banjir yang perlu kita praktikkan jika kediaman ditenggelami air.

Sebelum banjir

-SIMPAN kelengkapan elektrik di tempat yang tinggi dan selamat daripada ditenggelami atau terkena air banjir.

-LAPORKAN segera kepada TNB jika air telah mula naik untuk pemantauan atau pemotongan bekalan elektrik bagi mencegah bahaya.

-PASTIKAN menyimpan nombor telefon untuk hal-hal kecemasan seperti nombor balai polis, bomba, hospital, pejabat TNB yang berdekatan, dan pastikan nombor tersebut mudah diakses semasa kecemasan

Semasa banjir

-ELAKKAN berenang atau meredah air di kawasan yang mempunyai talian elektrik, kerana paras air yang tinggi akan menyebabkan talian tersebut mudah disentuh, terutamanya pada waktu malam di mana kadar penglihatan tidak begitu jelas.

Sekiranya paras air meningkat dan bersentuh dengan talian hidup tanpa pengetahuan anda, renjatan berlaku pada sesiapa yang berada dalam air.

-JAUHKAN diri daripada lokasi yang terdapat talian elektrik jatuh atau putus, bagi mengelak daripada renjatan elektrik akibat talian yang masih berarus elektrik.

-JANGAN menghampiri atau pegang tiang elektrik atau dawai umbang (stay wire) semasa banjir atau hujan kerana kemungkinan terdapat arus bocor.

-DILARANG menggunakan tiang elektrik dan dawai umbang sebagai tiang ampaian.

-JANGAN hampiri pepasangan elektrik seperti pencawang atau bilik suis elektrik yang ditenggelami air.

-JANGAN mengalih atau membaiki tiang elektrik tumbang atau talian elektrik putus atau jatuh ke tanah dan hendaklah laporkan segera kepada pihak pemegang lesen/utiliti (TNB) sekiranya terdapat kejadian tersebut.

-JANGAN menggendalikan peralatan elektrik atau memetik suis elektrik dengan tangan yang basah atau semasa berdiri dalam air.

-SEKIRANYA ternampak individu terkena renjatan elektrik akibat terkena talian elektrik, jangan sekali-kali menyentuhnya atau cuba membantu mengalihkan talian elektrik tersebut.

– AWASI anak-anak. Usah biarkan mereka bermain di dalam kawasan pencawang elektrik yang telah ditenggelami banjir atau berhampiran dengan tiang elektrik yang patah atau disekitar talian elektrik yang kendur atau jatuh di atas tanah.

Selepas banjir

– BERHATI-HATI apabila berada di kawasan banjir kerana kelengkapan elektrik dan pepasangan elektrik yang ditenggelami air berpotensi mendatangkan bahaya.

Ia boleh mengalirkan arus elektrik di kawasan persekitarannya dan boleh membawa kepada kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.

-JANGAN gunakan kelengkapan elektrik yang terendam di dalam air atau pastikan semuanya diperiksa dan berkeadaan kering sebelum menggunakannya.

-ELAKKAN mengguna kelengkapan elektrik yang diragui keselamatannya.

Sebelum menghidupkan suis utama, PERIKSA semua pendawaian rumah dan kelengkapan elektrik yang terdapat di dalam rumah.

Pemeriksaan ini hendaklah dilakukan oleh kontraktor elektrik yang bertauliah atau berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga.

IMPIANA : Semoga bermanfaat!

Mesti Baca: Bertahun Menyewa, Usahakan Beli RUMAH SENDIRI Walaupun KECIL Ini Sebabnya!
Baca Lagi Di Sini:Beli Rumah LELONG Memang Murah Tapi Kena Tahu Kos ‘Tersembunyi’, Kaji Dulu!
Artikel Menarik:TIP Beli RUMAH PERTAMA, Perunding Hartanah Saran Fokus 4 Proses Penting Ini!

Sumber: Suruhanjaya Tenaga

Published by
Nana