Gagal Siapkan Pembinaan Rumah, BURUH Dijatuhi Hukuman Penjara 3 Bulan!

Share

Sebagai buruh atau kontraktor, apabila mengambil tanggungjawab untuk melakukan kerja renovasi rumah mengikut perjanjian yang telah dipersetujui, jangan sesekali ambil mudah. Apatah lagi gagal dalam menyiapkan pembinaan rumah tersebut seperti yang dijanjikan kerana boleh dipenjarakan atas kesalahan ini.

Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Rembau di sini, hari ini, selepas gagal menyiapkan pembinaan rumah milik seorang wanita sehingga mengalami kerugian RM10,421.

Gambar Hiasan

Rumah Gagal Siap

Mengikut pertuduhan, Nik Nur Aizuddin Suhaimi, 34, dari Rembau secara tidak jujur mendorong wanita berkenaan menyerahkan wang tunai berjumlah RM35,000 bagi tujuan pembinaan rumah.

Namun rumah itu gagal disiapkan sehingga menyebabkan wanita berkenaan mengalami kerugian RM10,421.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh pada tarikh antara 22 Mei sehingga 16 Jun lalu bertempat di Kampung Baru Batu Hampar, Rembau.

Justeru tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Tertuduh yang membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Kartini Kasran turut didenda RM5,000 dan penjara 15 bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Kos Pembinaan Rumah RM50,000

Berdasarkan fakta kes, wanita berkenaan berjumpa dengan tertuduh bagi membina rumahnya dengan kos pembinaan RM50,000 sebelum menyerahkan RM35,000.

Daripada jumlah wang yang diserahkan, tertuduh membelanjakan RM12,579 bagi pembelian bahan binaan manakala RM12,000 bagi upah pekerja.

Berdasarkan perkembangan kerja pembinaan, wanita itu mengalami kerugian RM10,421 yang sepatutnya digunakan untuk membeli bahan binaan dan membayar upah pekerja seterusnya.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh diwakili peguam, Siti Syuhada Mohd Isa dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mesti Baca:Rumah Idaman Terbengkalai, Usahawan Wanita, Aleeya Zailan Kecewa ‘Termakan’ Janji Manis Kontraktor
Baca Lagi Di Sini:Bila Kontraktor Minta Bayaran Penuh, Hati-hatilah Pemilik Kediaman Yang Nak Buat Renovasi
Artikel Menarik:9 Langkah Ini Elak Anda Ditipu Kontraktor Lari Tak Siapkan Kerja Renovasi

IMPIANA: Semoga kes ini menjadi pengajaran buat kontraktor atau buruh yang terlibat dalam pembinaan rumah supaya lebih bertanggunggjawab dengan perjanjian awal yang telah dipersetujui. Bagi pemilik rumah pula, jangan putus asa, hak kita dilindungi dan jika rasa tertindas buat laporan dan bawa ke muka pengadilan.

Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Suhaidah Binti Abd Wahab