Ramai antara kita yang suka menyimpan secara cermat untuk kenikmatan hari muka malahan ada juga yang suka berbelanja di masa muda kerana tidak mahu menyesal di hari tua. Pokok pangkalnya ia terserah kepada kita bagaimana kita menikmati serta meluangkan masa hidup kita dan mendepani hari yang mendatang.
IMPIANA ingin berkongsi kepada anda bagaimana Pn Mashitah Mas dan suami menata rias dapur kediaman persaraan mereka yang terletak di Senawang, Seremban. Kerana, pada asalnya kediaman ini dijadikan rumah sewa selama 10 tahun dan hari ini ianya menjadi rumah pencen selepas suaminya bersara daripada perkhidmatan awam sebagai seorang tentera.
Pasangan ini amat meminati tema moden untuk diaplikasikan dalam dekorasi kediaman mereka malahan turut melaburkan sedikit wang untuk memasang kelengkapan dapur serta kabinet termasuk hood dan dapur gas. Pada masa yang sama mereka turut menjadikan laman perkongsian deko di media sosial sebagai rujukan utama serta pencarian idea.
“Rumah pencen kami ini adalah rumah teres satu tingkat berkeluasan 1400 kaki persegi serta menggunakan khidmat kontraktor untuk membina dapur impian dan pada masa yang sama menampakkan elemen moden walaupun ianya merupakan kediaman hari tua kami”, ujar pengusaha kek ini.
“Alhamdulillah, tidak sukar untuk memastikan kemasan serta dekorasi kediaman ini bertahan lama kerana anak saya semuanya sudah dewasa tetapi itu tidak bermakna saya membiarkan ianya begitu sahaja kerana setiap malam sebelum tidur, saya akan pastikan dapur serta ruang tamu saya berada dalam keadaan bersih dan teratur”, katanya.
Susun atur dapurnya menggunakan minibar yang boleh memuatkan 4 orang dalam satu masa serta menjimatkan ruang kapasiti untuk tiga buah oven miliknya dengan meletakkan di atas rak. Penulis memuji tindakan pemilik kediaman ini kerana menggantung segala kelengkapan memasak di tepi dinding. Ianya mudah untuk dicapai dan disimpan selepas digunakan.
Di bawah ini IMPIANA lampirkan beberapa kepingan gambar dapur moden untuk tatapan pembaca diluar sana. Selamat Mendeko!!