Info resort Nama : Villa Rania Homestay Lokasi: Pulau Meranti, Selangor Konsep : Tropika
Melarikan diri seketika daripada kesibukan ibu kota membawa diri ke sebuah kampung damai lagi menenangkan adalah suatu escapism yang sentiasa dicari-cari oleh setiap individu. Itulah yang bakal disajikan oleh Villa Rania iaitu sebuah homestay dikelilingi suasana kampung berunsurkan kedesaan yang terletak di tengah bandar serba moden iaitu Pulau Meranti, Puchong.
Berpandukan aplikasi waze, penulis dibawa ke Villa Rania melalui Cyberjaya yang rancak dengan pembangunan kediaman kondominium pencakar langit. Mulanya penulis agak kehairanan kerana memikirkan telah sesat tetapi akhirnya perjalanan begitu mudah melalui kawasan kampung sebelum tiba ke lokasi yang dituju.
Diliputi suasana desa nan permai, Villa Rania adalah sebuah homestay yang dimiliki oleh sepasang suami isteri dan dibangunkan di atas sebidang tanah kosong. Flat land yang berkeluasan 1 ekar ini mempunyai cabarannya yang tersendiri dan pada mulanya pemilik hanya bercadang membina sebuah kediaman untuk mereka sekeluarga. Sehinggalah ia kemudian berkembang menjadi sebuah homestay dan juga lengkap sebagai event space untuk sebarang majlis keraian.
Keistimewaan Villa Rania ini adalah ia menyediakan penginapan dan kemudahan untuk sesiapa sahaja menganjurkan pelbagai majlis dalam skala kecil atau sederhana. Pemilik yang juga seorang arkitek menyatakan reka bentuk keseluruhan kawasan ini adalah design dan idea darinya dan ia dibina sedikit demi sedikit dan memakan masa hampir dua tahun. Malah kesemua elemen landskap yang terdapat di Villa Rania ini menggunakan bahan recycle dan kos yang tidak terlalu tinggi.
Pemilihan spesies tumbuh-tumbuhan pula terdiri daripada pokok-pokok teduhan dan padat agar suasana tropika lebih menonjol dan dalam masa yang sama melibatkan penyelenggaraan minimum. Pemilihan pokok-pokok dan spesies renek dipilih daripada kombinasi renek hiasan dan juga tanaman herba agar suasana tropika lebih menonjol. Pemilik cuba mewujudkan suasana bagai kediaman untuk memberi pilihan kepada mereka yang tidak gemar menginap di hotel tetapi mencari penginapan dengan suasana bagaikan di rumah sendiri.
Ads
Laluan berturap di susun dalam ragam tidak formal menyediakan laluan serta mewujudkan sirkulasi dalam taman (adding movement in design) secara tidak langsung memandu arah kepada pengunjung untuk bergerak dari satu ruang ke ruang yang lain. Sebuah dek kayu dibina di antara laluan menghala ke homestay berfungsi sebagai laluan dan framing untuk ke aras seterusnya. Sementara spesies Plumeria rubra pula ditanam bersebelahan dek kayu tersebut untuk efek rimbun dan padat. Menurut pemilik bongkah-bongkah batu yang terdapat di kawasan homestay ini adalah batuan yang ditemui ketika proses land clearing.
Ads
Ads
Menurut pemilik kebanyakan yang menginap di sini adalah mereka yang ingin menganjurkan pelbagai majlis seperti majlis perkahwinan, sambutan ulang tahun dan sebagainya. Kebiasaannya mereka akan menginap tiga hari dua malam. Malam sebelum majlis berlangsung biasanya ahli keluarga berkumpul di sini dan bergotong royong beramai-ramai menyiapkan persiapan majlis. Suasana benar-benar meriah dan bagai menganjurkan majlis di kediaman sendiri dengan persekitaran yang masih lagi mempamerkan suasana kampung. Begitu meriah dan meninggalkan nostalgia manis buat mereka.
Homestay yang turut menerapkan elemen raw material dalam pemilihan bahan binaan di Villa Rania ini, berjaya menyerlahkan reka bentuk menarik dan tersendiri. Kombinasi reka bentuk yang tampil sederhana tetapi masih menonjolkan impak reka bentuk moden berjaya mencuri perhatian mereka yang berminat untuk menginap di sini. Pendek kata ia menyediakan kemudahan lengkap yang selesa buat mereka yang ingin menjalankan pelbagai majlis. Tidak hairanlah ia sering menjadi pilihan personaliti terkemuka melangsungkan perkahwinan dan juga badan-badan korporat menjalinkan ukhuwah sesama pekerja.
Sentuhan Midas penuh kemewahan dan elegant untuk kediaman anda. Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
+INFO HOTEL
Lokasinya yang terletak di Ayer Keroh, MITC Hotel menawarkan 189 bilik yang terletak di sebuah bangunan 9 tingkat. Rangkaian bilik boleh anda pilih dari single room, twin room, queen room, king room hinggalah family room. Untuk menikmati makanan yang menyihatkan, anda boleh ke restoran Bemban yang terletak di tingkat satu. Untuk menikmati kopi pula anda boleh ke Asahan Coffee Bar yang terletak di luar hotel.
Pengalaman bermalam di Hotel MITC dengan dekorasi moden begitu mendamaikan. Minda terasa kosong, tubuh pula segar membuatkan tidur lena sampai ke pagi. Hotel MITC menjanjikan pengalaman rehat dan santai yang tidak akan dilupakan.
Hotel MITC merupakan sebahagian daripada PKNM Thru MCorp Hotel Sdn Bhd yang terletak di pinggir ibu kota Melaka ini sememangnya menjadi lokasi tepat untuk anda merehatkan tubuh serta minda pada hujung minggu. Juga menjadi pilihan bagi anda yang berkunjung ke ibu kota untuk bercuti atau demi tugasan di bandar bersejarah ini.
Berada di bawah urusan, RiverOaks Resorts Sdn Bhd menawarkan pakej dan perkhidmatan lengkap untuk anda nikmati. Berehat di dalam hotel ini suasana menarik olahan dekorasi campuran moden dan minimalis, meredakan tekanan dan merehatakn minda kolam renang serta menikmati hidangan yang pelbagai di restoran dan kafe. Pendek kata, di sini anda dapat menikmati pengalaman yang menenangkan secara menyeluruh berdasarkan tiga prinsip ‘Cozy, Comfy & Convenience’.
Hotel yang terletak dipinggir bandaraya Melaka ini hanya mengambil masa 20 minit dari bandar Melaka. Lokasi hotel ini hampir dengan beberapa pusat rekreasi pelancongan di Ayer Keroh seperti Zoo Melaka, Taman Rama-rama, Taman Buaya, Taman Burung dan Muzium Orang Asli. Ia juga terletak berhampiran dengan beberapa Kelab Golf bertaraf Antarabangsa di Melaka.
KOMBINASI DEKORASI
Melangkah masuk ke ruang lobi, anda akan disambut dengan bauan bunga yang menyegarkan, membuatkan anda terlupa seketika tujuan asal berkunjung ke sini. Di samping terasa luas dek cahaya luar yang memasuki ruang dalam menerusi kaca telus pandang, dekorasi ruang ini ditata ringkas dengan kombinasi konsep yang sempurna.
Ruang lounge di sebelah kiri lobi mendapat sentuhan klasik dengan gabungan kerusi rekaan antik yang terletak dibawah tangga seperti istana. Ruang disegarkan lagi dengan pokok-pokok hidup membuatkan suasana begitu selesa dan nyaman.
Pada ruang yang berlantaikan karpet ini juga menempatkan kaunter urusan yang dibina sleek, menyerlahkan lagi imej moden. Begitu juga dengan permukaan dinding lobi yang diperincikan dengan tema moden.
Siapa menyangka hotel yang bertaraf 3 bintang ini menawarkan kepelbagaian kemudahan untuk anda nikmati. Melangkah ke ruang bilik tidur, anda akan terasa begitu selesa dan cosy sekali. Tata hias dan dekorasi yang ditampilkan sesuai untuk anda merehatkan tubuh selepas penat dan tertekan dengan kerja. Sebab itulah bilik-bilik yang ada direka unik untuk anda berehat dan merasai sendiri ketenangannya. Setiap bilik yang terletak di setiap tingkat ini juga ditata dengan tema warna-warni bumi bagi membangkitkan lagi keselesaan. Anda tidak perlu risau untuk mengunjungi hotel ini kerana MITC mempunyai 189 bilik untuk didiami.
Dengan lantai berkarpet dan dinding yang ditampal wallpapers motif geometrik tampak begitu sepadan, diperincikan pula dengan penggunaan perabot rekaan ringkas dan bersaiz kecil mengikut keluasan bilik. Bilik yang masih menyerapkan dekorasi moden ini turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan peralatan elektronik, toiletries serta kemasan fabrik seperti cadar dan sarung bantal yang amat lembut seperti berada di dalam bilik tidur sendiri di rumah.
TENANG MENDAMAIKAN
Selain menikmati ketenangan dibilik tidur dan sekitar hotel ini, anda juga boleh meluangkan masa di kafe Asahan yang terletak di tingkat bawah. Kafe yang istimewa dengan pelbagai jenis kopi ini juga menyediakan hidangan yang menyelerakan serta suasana yang menenangkan. Pada waktu malam, anda boleh menikmati hidangan sambil dihiburkan oleh artis-artis jemputan. Jika anda ingin menjamu selera dengan suasana restoren mewah anda boleh ke restoran Bemban yang terletak di tingkat satu.
Sentuhan Midas penuh kemewahan dan elegant untuk kediaman anda. Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
Negara-negara di benua Afrika sememangnya menawarkan destinasi percutian menarik dan membawa pengalaman baru kepada individu yang gemar mengembara. Sudah tentu, bukan sahaja menawarkan pengalaman percutian dengan pemandangan alam semulajadi yang memukau, tetapi juga habitat hidupan liar yang masih terpelihara menjadi tarikan utama ke negara-negara seperti Rwanda dan Tanzania.
Tidak hairanlah mengapa pasangan suami isteri SM Nasarudin SM Nasimudin dan Marion Caunter memilih untuk bercuti ke Tanzania baru-baru ini.
Melalui Instagram miliknya, Marion Caunter berkongsi foto-foto percutian dalam perkhemahan berkonsepkan safari di Rwanda dan Tanzania. Menurut Marion lagi, kunjungan ke negara tersebut merupakan antara wishlist yang amat diidamkan apabila masuk usia 40 tahun.
Antara lokasi yang dikunjungi oleh pasangan suami isteri ini termasuklah Volcanoes National Park dan melihat sendiri habitat gorila yang terdapat di sana. Malah, dalam salah satu video yang dikongsikan oleh ibu kepada tiga cahayamata ini memperlihatkan dirinya berada begitu hampir dengan gorila, sesuatu yang tidak pernah dibayangkan olehnya!
Dekorasi Penginapan Jadi Tumpuan
Selain koleksi foto percutian, apa yang mencuri tumpuan adalah lokasi penginapan yang dipilih oleh pasangan ini. Marion berkongsi pengalamannya bermalam di khemah tetapi ia bukanlah khemah yang biasa, tetapi ia lebih kepada khemah yang mewah! Peluang bermalam di Singita Mara River Camp, Serengeti merupakan antara pengalaman unik yang dirasai oleh Marion memandangkan khemah tersebut turut dilengkapi katil bersaiz king, sofa yang empuk, ruang makan yang selesa serta ruang tamu yang mempunyai pemandangan yang menakjubkan!
Singita Mara River Tented Camp merupakan sebuah resort yang menawarkan percutian safari yang sememangnya menjadi pilihan buat individu yang ingin merasai percutian dalam suasana Afrika dalam kelasnya yang tersendiri.
Jika anda gemarkan percutian yang berbeza dan pemandangan yang menakjubkan, gaya percutian Marion Caunter dan suaminya boleh dijadikan inspirasi. Sesekali berehat dan bersatu dengan alam semulajadi, mesti mengujakan!
Cantik kan dekorasi khemah ini walaupun di tengah hutan belantara!
Rumah Hutan? Bunyi macam tempat percutian. Owhh, tidak sebenarnya Jungle House ini adalah Cafe yang menyediakan madu asli 100% terus untuk anda di luar sana. Ramai yang boleh menikmati madu terbaik dengan mudah. Baru-baru ini Jungle House melancarkan gedung madu dengan penuh gaya hidup moden cawangannya yang ke -9 di Bangsar.
Jungle House telah melancarkan jenamanya secara rasmi di Malaysia. Sebagai gedung madu terkhusus pertama di Malaysia, Jungle House menyerlahkan keunikannya dengan cogan kata “All Things Honey” (Segalanya Mengenai Madu) – menggalakkan orang ramai untuk menghargai madu dan membudayakan amalan menikmati madu dalam kalangan rakyat Malaysia yang prihatin terhadap kesihatan.
Majlis ini turut meraikan pembukaan cawangan ke-9 Jungle House – dan yang pertama untuk membawakan konsep kafe di Jalan Telawi 3, Bangsar. Cawangan Bangsar menampilkan suasana tersendiri dengan ruang gaya hidup serba santai yang terbuka dan juga tertutup. Kafe ini menyajikan pelbagai makanan dan minuman berinspirasi madu termasuk Oat Sarapan Madu, Kek Madu Rusia, pelbagai jenis Croffles (gabungan croissant dan wafel), kopi madu, teh dan jus – semuanya digandingkan dengan jenis dan perisa madu yang khusus.
Kafe baharu ini membolehkan rakyat Malaysia yang sentiasa sibuk untuk beristirahat seketika untuk menjamu selera atau menikmati minuman atau kek madu kegemaran mereka dalam persekitaran yang nyaman dan menenangkan. Mereka juga boleh membeli-belah di kedai runcit Jungle House yang menawarkan segala jenis produk madu, minuman, indung madu dan juga pelbagai set hadiah bertemakan madu yang direka anggun dan juga produk penjagaan peribadi seperti sabun madu, pelitup muka dan juga cenderahati lain.
Cawangan Jungle House yang lain terletak di Pusat Beli-Belah One Utama, Mid Valley Mega Mall, Pavilion Elite, Central I-City, D Pulses, IOI City Mall, & Queensway Mall, dan hanya menawarkan produk runcit.
Di majlis pelancaran media hari ini, pengasas dan pemilik bersama Jungle House, Encik Paul Poh dan Cik Ashley Lam mengambil kesempatan ini untuk memperkenalkan hidangan terbaharu dalam menu, iaitu “Honey-misu” – sejenis manisan yang sihat tetapi tidak kurang lazatnya, selain madu-madu terkenalnya – Royal Black & Royal White dan Signature Honey Variety.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Paul Poh, Jungle House berhasrat untuk membawakan madu mentah asli dari sarang lebah terus ke rumah, dengan kerjasama komuniti orang asli terutamanya dari hutan belantara Indonesia dan juga Thailand dan Malaysia. Jungle House sentiasa berusaha menaik taraf dan menjamin kelestarian industri lebah, melindungi dunia dengan mengajar kaedah penjagaan lebah yang betul untuk menyelamatkan ekosistem dengan melindungi populasi lebah.
Jungle House mempunyai lebih daripada 10 jenis madu asli, monofloral, mentah, tulen, tanpa sebarang perisa tiruan termasuk Royal Black (nektar iaitu madu bunga yang diekstrak daripada pokok Mahoni), Royal White (nektar bunga Kiawe), Jungle’s Heart (nektar bunga Strawberi), Yellow Love (nektar bunga Linden), Sweettooth (nektar bunga mangga), Jungle’s Eye (nektar bunga longan), Pink Lady (nektar bunga kapas), Roast Cube (nektar bunga kopi), Citrus Bloom (nektar bunga oren) & Fruit Boss (nektar bunga durian).
“Kami menawarkan produk madu biasa dan juga madu hutan liar premium kepekatan tinggi seperti Royal Black dan Royal White yang sangat jarang ditemui dan mengandungi khasiat perubatan tinggi yang memberikan manfaat kesihatan. Sesungguhnya setiap titisan madu amat berharga dan jarang ditemui kerana bekalan rendah daripada hutan liar dan tidak diperolehi dari ladang. Oleh yang demikian, kita perlu memulihara koloni madu supaya ekosistem dan juga perniagaan adalah lestari,” jelas Paul.
“Kami bertekad untuk menjadikan madu mentah lebih mudah didapati dan mampu dibeli semua rakyat Malaysia. Kami juga menggalakkan orang ramai untuk menikmati madu sebagai pengalaman gaya hidup harian untuk meningkatkan kesihatan secara semula jadi.
Kisah bagaimana Jungle House diasaskan sememangnya amat menarik dan merupakan satu pengalaman semanis madu yang disediakan di gedungnya. Apa yang bermula sebagai pengembaraan menyusuri hutan tebal di Garut di Jawa Barat, Indonesia beberapa tahun lepas telah mencetus minat Paul dan Ashley terhadap madu apabila mereka terserempak dengan sekumpulan pemburu lebah asli yang memberi peluang kepada mereka mencuba madu hutan segar. Madu yang tulen, organik, mentah, tidak tercemar itu mempunyai perisa bunga yang dikunjungi lebah madu untuk nektar dan debunga, dan berbeza daripada madu yang pernah dirasai sebelum ini.
Ketika itu Paul baru berjinak-jinak dengan perniagaan madu, manakala Ashley sudah menceburi perniagaan runcit madu sejak 2007. Pada 2014 beliau menemui Paul yang terlibat dalam bidang kejuruteraan. Maka bermulalah kisah cinta yang bukan sahaja menyaksikan kedua-duanya mengikat tali kasih sayang, tetapi turut melahirkan sebuah perniagaan perkongsian bernama Jungle House pada 2018.
Ketua Pegawai Perniagaan Ashley Lam menerangkan, “Selain daripada minat membawakan madu yang sihat dan lazat ke bandar-bandar besar dan ke serata dunia, saya dan Paul tersentuh dengan sikap pemburu lebah yang baik hati dan pemurah. Mereka menghadapi pelbagai cabaran, kesukaran dan bahaya dalam kerja yang memberi mereka hanya sedikit pendapatan, tetapi tetap gigih mencari nafkah. Kami mahu membantu para pemburu lebah yang bekerja keras ini untuk meraih pendapatan yang sewajarnya sambil mengumpulkan madu secara bertanggungjawab,” kata Ashley.
Ashley menambah, “Dalam situasi endemik semasa, kita perlu hidup dengan Covid, oleh sebab itu kita perlu membina tahap keimunan badan dengan mengambil makanan sihat seperti madu. Memang menjadi matlamat kami untuk membuka Jungle House di bandar-bandar utama di Malaysia dan rantau ini menerusi proses pengembangan yang terancang dengan teliti. Kami komited untuk menambah baik dunia ini, sambil membawakan madu 100% tulen, asli, mentah dan organik kepada anda terus dari hutan-hutan dunia ke rumah anda.”
Di majlis tersebut pakar runding diet, Cik Indra Balaratnam berkongsi khasiat dan manfaat madu yang memang terkenal sebagai salah satu makanan unggul yang membantu meningkatkan keimunan badan. “Madu mempunyai pelbagai khasiat, serta kaya dengan mineral dan vitamin, antioksidan dan enzim yang membantu meningkatkan keimunan dan melindungi badan kita. Selain itu, madu mempunyai ciri-ciri antibakteria dan antimikrob, yang baik untuk badan dan membantu meringankan gejala batuk dan sakit tekak, menjadikannya amat berguna untuk menentang gejala Coivd,” kata Indra.
Indra juga menunjukkan dua resipi, iaitu Salad Ayam Quinoa Dengan Vinaigrette Balsam Royal Black Jungle House dan Oat Semalaman Jungle House. Beliau berkata madu sebagai ramuan yang serba guna boleh diadun ke dalam pelbagai resipi untuk menambah rasa atau digunakan sebagai bahan utama. Madu ialah ramuan sesuai untuk menyerlahkan kreativiti kulinari, cita rasa dan kesihatan,” ujar Indra.
En. Deden Hamdan, yang dulunya seorang pegawai bank sebelum menjadi pemburu lebah sejak 10 tahun lepas menerangkan bahawa empat unsur alam, iaitu lebah, bunga, hutan dan cuaca membentuk ekosistem seimbang yang perlu wujud secara harmoni untuk memberikan rasa lazat, perisa tersendiri dan warna ambar madu. Beliau telah bekerjasama dengan Jungle House untuk membekalkan madu mentah kepada syarikat sejak 2018.
Deden berkata “Cabaran yang dihadapi oleh industri lebah adalah faktor alam sekitar seperti perubahan iklim & penebangan hutan dan penjual tidak beretika yang menjejaskan kualiti madu dengan mencampurkannya dengan bahan lain. Sebab itulah kita perlu berhati-hati untuk memastikan kualiti madu kita adalah yang paling tulen dan segar dan dikumpul, disimpan dan diangkut dalam keadaan yang paling cekap dan bersih”.
Setiap pemilik kediaman ada cara tersendiri dalam memastikan rumah sentiasa kemas, bersih dan teratur, sedap mata memandang. Begitu juga pilihan konsep dan citarasa dekorasi yang menjadi pilihan.