(GAMBAR) Kerana Terlalu Obses D.I.Y , Lelaki Bujang Ini Kongsi Hasil Deko Yang Memang WOW!

Share

 

Siapalah kita untuk menilai kewajaran seorang pemilik kediaman dalam menentukan hala tuju rekaan dalamannya? Dalam dunia semasa, tiada lagi jurang jelas di antara yang betul dan salah, di antara realiti dan fantasi. Pemilik lebih mengenali siapakah dirinya, identiti di ruang miliknya malah definisi keselesaan buatnya. Unit kediaman bersaiz sederhana dengan personaliti luar biasa ini dimiliki oleh seorang jejaka bekerjaya fashion stylist.

 


Info kediaman

Nama pemilik: Alex Gun

Lokasi: Sri Kembangan

Jenis kediaman: Townhouse

Konsep: Manhatan loft

Keluasan: 1916 kaki persegi

Spesifikasi: Sebuah ruang tamu, dapur, ruang makan, balkoni, 3 bilik dan 2 bilik air,


 

Wow! Itulah yang dapat penulis luahkan setelah melangkah kaki ke dalam kediaman ini. Apa yang terus menangkap pandangan penulis adalah penataan yang diserlahkan pada dinding juga item dekorasi ruang tamu kediaman ini. Hiasan dalaman ruang kediaman ini kelihatan begitu cantik dan elegan, namun di sebalik kesempurnaan ini terdapat beberapa rahsia yang Alex akan kongsikan bersama anda.

Sentuhan dekorasi Alex Gun telah membuktikan bahawa kediaman townhouse dua tingkat miliknya ini juga berpotensi untuk tampil eksklusif. Memasuki kediaman penggaya fesyen terkenal ini, jelas kelihatan hasil tangan bijak pemilik yang mengubah keseluruhan dekorasi ruang mengikut karakter yang disukainya.

 

PENATAAN RUANG YANG BIJAK

Pemilihan konsep kediaman berkarakter monokrom menampilkan warna putih atau putih gading menjadi rona asas menyerlahkan konsep seakan scandinavian pada ruang tamu Alex ini. Tetapi untuk membuatkan ruang ini tampil lebih moden, Alex memilih  untuk bermain dengan beberapa rona utama sahaja iaitu seperti hitam dan putih. Mainan warna monokrom sebegitu amat sesuai untuk Alex yang mengutamakan penataan ringkas namun ranggi.

“Setiap ruang ada identiti dan fungsi tersendiri. Apa yang paling utama saya tekankan dalam menghias rumah ini adalah kesesuaian dan keperluan setiap ruang itu biar kena dengan tempatnya”, ujar Alex menerangkan serba sedikit mengenai konsep dekorasinya.

Ruang tamu dilengkapi dengan sofa, dan beberapa ottoman serta bangku berlengan yang telah diberi wajah baru oleh pemilik pada bahagian kakinya. Hiasan dinding kediaman ini juga tampil ringkas tetapi masih mampu menyerlahkan suasana ruang. Alex memilih panel dinding berasaskan wallpaper dengan corak seakan marble dan di tampal pada panel kayu yang direka khas. Antara yang menjadi kesayangan Alex ialah rak serba guna yang dijadikan sebagai dinding pemisah antara ruang tamu dan ruang makan. Alex mendapatkan reka bentuk rak ini di laman web kemudian dia mendapatkan perkhidmatan rakannya untuk menghasilkan rak tersebut.

HIMPUNAN AKSESORI

Sesuatu yang menarik tentang pemilik ialah dia gemar mengumpul aksesori-aksesori kecil seperti pasu, lilin, sarung kusyen, lukisan dan sebagainya. Alex juga bijak memilih aksesori mengikut kumpulan warna dan material. Baginya himpunan daripada warna senada lebih mudah jika mahu digandingkan.

“Dengan koleksi aksesori begini, tidaklah saya merasa jemu dengan hiasan yang sedia ada. Saya boleh menukar rupa interior bila-bila masa dengan sedikit ubah suai pada aksesori tersebut”, ujar Alex yang sememangnya seorang gemar akan aktiviti diy. Seperti kebanyakan aksesori seperti pasu dan lampu meja, Alex mengubah rupa bentuk asal menjadi sesuatu yang lebih menarik.

Dinding rumah tidak dibiarkan kosong. Alex akan membingkaikan gambar kesukaannya dari keratan majalah dan digantung sederet di dinding. Begitulah sentuhan idea kreatif oleh seorang penggaya fasyen. Ada-ada sahaja idea Alex bagi menyerikan kediaman termasuk hiasan pokok-pokok kecil di sudut laman balkoninya. Kamar tidur juga ringkas dan praktikal. Namun pemilihan warna agak berbeza, Alex memilih rona emerald green menghias dinding kamarnya. Impak gelap yang terhasil membuatkan kamar ini kelihatan begitu elegan dan selesa.

Published by
Bella