PROFIL TAMAN
Lokasi : Manir, Terengganu
Nama Pemilik : Hasmuni Bin Bahaman
Jenis kediaman : Rumah kampung
Konsep taman : Kampung
Tempoh huni : 15 tahun
Kehidupan di kampung banyak mengajar kita erti bermasyarakat. Persekitaran yang damai dan tenang menyenangkan komuniti berhubung mesra dan saling membantu. Banyak masa santai digunakan untuk mengeratkan silaturahim dan selebihnya memenuhi keinginan tertentu setelah kerja-kerja harian diselesaikan. Antara lain, ada di kalangan mereka yang mempunyai minat dalam menghias halaman kediaman mereka.
Majoritinya halaman rumah kampung adalah luas. Selain menyediakan ruang sebagai tempat anak dan cucu bermain, kebiasaannya pemilik rumah akan menghiasi halaman mereka dengan pokok buah-buahan, bunga-bunga dan tanaman herba. Satu keganjilan sekiranya terdapat rumah yang tidak dipenuhi dengan pokok-pokok hiasan.
Edisi LAMAN Impiana kali ini berpeluang memaparkan keindahan sebuah taman kampung di Beladau Kolam, Manir, Terengganu Darul Iman. Rumah kampung yang dimiliki oleh sepasang suami isteri ini memperlihatkan hiasan halamannya yang berbeza. Setiap spesies tanaman dipilih, dijaga rapi dan disusun indah, menzahirkan kreativiti pemiliknya.
Menurut pemilik “Kediaman ini asalnya adalah peninggalan ibu mertua saya. Memandangkan tiada sesiapa yang menguruskan kediaman ini jadi saya sekeluarga mengambil keputusan untuk berpindah ke sini sejak 15 tahun dahulu. Saya pula sememangnya minat dengan seni hiasan landskap maka saya cuba untuk mencantikkan halaman kediaman ini sedikit demi sedikit sehingga sekarang. Segala-galanya saya lakukan hasil kerja tangan sendiri bermula dari menanam pokok hinggalah ke kerja-kerja kayu”, terang pemilik ramah.
Elemen yang menarik perhatian di kediaman pemilik salah satunya adalah laluan pejalan kaki. Penggunaan bahan berlainan sebagai kemasan laluan pejalan kaki, menyediakan alternatif kepada tetamu. Alternatif pertama, menggunakan kemasan batu-batu kecil dan digabungkan bersama batu bata bersaiz sama berwarna perak bertindak sebagai edging, memisahkan dengan spesies tanaman. Manakala alternatif kedua, pemilik memilih gabungan kepingan konkrit dan diselang-selikan dengan hamparan rumput. Batu-batu kerikil mengambil tempat di kiri kanan laluan ini secara tidak langsung menjadikan laluan lebih luas. Tetamu pasti akan merasai kelainan tekstur apabila berpeluang menggunakan kedua-duanya. Pemilik bijak memilih dan menyusun elemen-elemen ini agar kelihatan seimbang.
Selain daripada itu, pemilik juga menggunakan bongkah-bongkah batu bersaiz sederhana berwarna perang yang diletakkan secara berkelompok dan individu. Kelihatan juga struktur binaan konkrit yang dihiasi lampu hiasan.
Apa yang menariknya dan paling ketara ialah, pemilik banyak menggunakan pasu pelbagai bentuk, saiz, ketinggian dan warna di sekitar kediamannya. Susun atur, peletakan dan kombinasi elemen landskap kejur tersebut begitu harmoni berada di celah-celah spesies tanaman yang lain. Kaedah penggunaan pasu, selain daripada menyenangkan kerja-kerja penyelenggaraan, ianya juga dapat mewujudkan kelainan kepada taman ini.
Walaupun halamannya tidak sarat dengan pelbagai spesies tanaman, namun ternyata pemilihan spesies tertentu begitu menyerlah dan amat berbeza berbanding dengan rumah-rumah di sekitarnya. Pemilik banyak menggunakan spesies Cycad sebagai kunci pemilihan landskap lembut. Tetamu sudah pasti teruja dengan susun atur dan hierarki spesies tanaman ini. Spesies Cycas rumphii, yang mempunyai kadar pertumbuhan agak lambat bukan sahaja ditanam di kawasan tanah lapang, malah terdapat juga yang ditanam di dalam pasu. Kaedah penanaman, lokasi dan hierarki spesies ini akan menarik tumpuan tetamu bila berada di taman ini.
Pemilihan spesies yang membesar ke atas dan tumbuh secara individu memudahkan penjagaan dan tidak kelihatan serabut. Spesies Aloe vera, Yucca spp, Alocasia macrorrhizos, Draceana draco, Sansevieria trifasciata atau pokok lidah jin dan Heliconia kelihatan begitu menarik kerana kepelbagaian warna daunnya.
Bagi menyuntik rona, spesies Wedelia tribolata ditanam secara kelompok bersama-sama dengan tanaman renek berwarna yang lain, di tepi laluan pejalan kaki. Pokok memanjat berdaun lebat ditanam pada bahagian struktur trelis di satu sudut, bagi memberi teduhan di bahagian serambi rumah pada waktu-waktu tertentu, membolehkan pemilik sekeluarga berehat di ruang tersebut. Pokok-pokok Bucida pula bertindak sebagai pokok utama kelihatan begitu menyerlah dengan dedaun putihnya.
Pemilihan spesies tanaman tersebut bukan sahaja menjimatkan ruang. Lebih dari itu, ianya memerlukan penjagaan yang minimum. Justeru masa, tenaga dan perbelanjaan boleh dikurangkan bila mana soal penjagaan diambil kira.
“Urusan penjagaan taman ini semuanya saya lakukan sendiri, dari segi menanam, membina struktur kejur, membaja, menyiram dan segala-galanya adalah keringat sendiri tanpa bantuan sesiapa. Bagi saya tiada istilah penat atau berat kerana minat yang menebal. Kebiasaannya masa yang diperuntukkan tidak menentu, sekitar dua atau tiga jam saya habiskan ketika berada di taman”, tambah pemilik lagi.
Menurut pemilik lamannya tidak pernah memberi sebarang masalah asalkan rajin menjaga maka maintenance pasti mudah dan tidak rumit.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI