Bergantung pada rezeki masing-masing, kediaman yang nyaman dan selesa sudah pastinya menjadi pilihan setiap individu. Sama ada yang sudah berkeluarga, mahupun yang masih single, masing-masing mempunyai impian untuk memiliki rumah sendiri pada suatu hari nanti. Terdapat orang yang memilih untuk menyewa sebelum membeli rumah sendiri dan ada yang lebih selesa membeli rumah dahulu sebelum membina keluarga, malah ada yang menyewakan kediaman mereka ataupun menukarnya menjadi homestay.
Seperti pasangan bahagia Encik Azmir Bakar dan Puan Rosliana yang memilih untuk menukar rumah persinggahan hujung minggu mereka menjadi homestay. Idea timbul apabila rakan-rakan mereka sendiri sering bertanyakan tentang rumah berkenaan. Rata-rata tetamu homestay tersebut merupakan individu korporat yang mempunyai urusan di Shah Alam dan sekitarnya.
Rumah jenis studio apartment atau SOHO yang berkeluasan 560 kaki persegi ini terletak di Avenue Crest Seksyen 22, Shah Alam. Lokasi yang strategik menjadikan homestay ini salah satu destinasi pilihan buat para perantau yang datang berurusan di sekitar Lembah Klang.
Menurut pemilik, kos keseluruhan renovasi telah menelan belanja sebanyak RM30k termasuk barangan perabot, hiasan dan kemasan lain-lain. Masa yang diambil pula hanya 3 ke 4 minggu. Walaupun begitu, bagi memastikan rumahnya siap dengan sempurna dan bertepatan dengan citarasa, tuan rumah telah mengambil masa lebih kurang 6 bulan untuk memilih kontraktor yang betul-betul kompeten dan sesuai.
Menurutnya lagi, konsep moden industri yang digabungkan dengan elemen hipster telah menjadi pilihan pemilik Homestay Shah Alam by Rose ini. Puan Ros juga ada berkongsi sedikit tip deko kediaman iaitu antara pemilik dan kontraktor perlu ada komunikasi dua hala dan yang paling penting, kesabaran yang tinggi amat diperlukan dalam proses renovasi ini. Selain itu, pemilihan deko perabot dan perhiasan perlu sepadan dengan konsep yang telah dipilih agar pemilik selesa dan berpuas hati.
Berikut merupakan gambar-gambar perkongsian Encik Azmir dan Puan Ros pada IMPIANA, semoga menjadi inspirasi buat pembaca semua. Selamat menghias!