Pemilihan konsep atau tema buat sesebuah kediaman bukanlah satu hal yang mudah. Selain perlu seiring dengan keluasan dan bajet, konsep kediaman juga perlu menggambarkan keperibadian dan keperluan pemiliknya. Seperti Encik Norman Mahmun dari Kuantan yang memiliki rumah dua tingkat ini memilih konsep Moden Glam sebagai penyeri kediamannya. Sebelum memulakan proses menghias, beliau telah terlebih dulu mencari inspirasi dan idea melalui youtube, media sosial dan majalah-majalah dekor. Rumah ini telah didiami selama satu tahun dan mempunyai 3 bilik serta dua bilik air. Dengan keluasan 1400 kaki persegi, Encik Norman dengan telitinya telah memilih warna cat utama dan sekunder sebelum memilih warna perhiasan yang bersesuaian. Tuan rumah juga telah memilih ruang tamu sebagai ruang kegemarannya. Di ruang tersebut juga diletakkan perabot pilihan beliau iaitu sofa 3 tempat duduk dibuat dari kayu jati yang diukir dengan halus.
Dengan bajet keseluruhan lebih kurang RM55k untuk mengubah suai, Encik Norman akan memastikan konsep moden glam mempunyai kesinambungan dari satu ruang ke ruang yang lain. Jalinan warna antara dinding dan perhiasan deko yang dipilih juga harus berharmoni, menjadikan kediaman lebih elegan dan classy.
Selain itu, pemilik juga berpesan sekiranya ingin membeli perabot untuk kediaman, tidak perlu untuk membeli semua sekaligus. Sekiranya tidak yakin dengan pilihan yang ada, ambil masa dan fikir betul-betul untuk menentukan sama ada perabot yang ingin dibeli sesuai atau tidak dengan konsep yang telah dipilih. Dari segi pencahayaan pula, biasan dan pencahayaan semulajadi telah menjadi teras dalam hiasan rumah dengan perabot gelap ini. Kerana bijak merancang, tuan rumah dapat memanfaatkan cahaya matahari dengan baik, digabung bersama usaha dan ilham darinya.Berikut merupakan paparan suasana moden glam hasil cetusan idea tuan rumah yang sudi dikongsi bersama IMPIANA. Semoga menjadi inspirasi buat pembaca, dan selamat mencuba!