Gam jenis superglue atau biasa kita panggil gam gajah memang selalu kita gunakan di rumah. Baik untuk lekatkan kasut tercabut tapak, kegunaan sekolah anak atau cantumkan barang yang terkopak dan sebagainya.
Tapi bila guna gam ini selalu berlaku gam akan meleleh dan kena tangan. Bila dah kena akan melekat atau tinggalkan kesan gam yang kasar pada kulit hinggga buat kita tak selesa.
Kesan gam ini pula susah nak tanggal walaupun kita cuci berkali-kali. Sebenarnya apa cara yang boleh kita guna untuk tanggalkan gam gajah yang kena pada tangan ini?
Menurut ahli kimia Fatimah Salim cara untuk tanggalkan gam ini mudah saja. Cuma guna garam.
Cara tanggalkan gam gajah bila kena tangan
Superglue punya sangat banyak fungsi dalam kehidupan kita. Namun ianya juga dengan mudah boleh terikat pada kulit kerana wujudnya lembapan pada permukaan kulit kita. Jika tidak ditanggalkan, ianya boleh melekat pada kulit sekitar 3-5 hari.
Cuma guna garam
Antara cara mudah dan berkesan untuk menanggalkan superglue daripada kulit adalah dengan menggunakan garam. Caranya;
- Gosok garam pada pada bahagian yang terkena.
- Bagi memastikan hasil yang optimum, pastikan bahagian kulit yang terkena superglue itu kering.
- Kemudian gosok/ gesel perlahan-lahan dengan garam sehingga garam larut bersama lembapan pada kulit dan basuh dengan air.
- Kenapa garam? Garam kasar menyumbang kepada geseran dan garam yang larut akan menghasilkan ion-ion yang boleh memutuskan ikatan superglue daripada kulit lalu memudahkan proses penanggalan.
- Sekiranya bahagian yang terkena itu banyak, maka boleh ulangi kaedah sama beberapa kali sehingga superglue betul-betul tertanggal. Cuma hati-hati jika berlebihan kerana kulit boleh menjadi pedih.
Nota: Bagi mereka yang ada bahan yang berasaskan acetone (2-propanone atau dimethyl ketone) seperti ‘nail polish remover’, atau penanggal/ varnish cat, boleh juga membantu dalam menanggalkan superglue.
INFO
Superglue adalah pelekat yang sangat kuat. Ianya terdiri dari bahan kimia utama jenis cyanoacrylate iaitu ethyl, methyl atau 2-octyl cyanoacrylate.
Kaedah superglue ini mengikat dengan pantas dan kuat adalah disebabkan oleh pengaktifan bahan kimia jenis cyanoacrylate oleh air.
Hanya sedikit air diperlukan untuk mengaktifkan komponen utama superglue ini, contoh tindak balas dengan lembapan air dalam udara.
Tindak balas dengan molekul-molekul air (H2O -dihidrogen monoksida) akan menghasilkan carbonucleophile yang mana kemudiannya akan memulakan tindak balas berangkai sesama sendiri menghasilkan rantaian polimer cyanoacrylate berwarna putih.
Dengan terbentuknya rantaian polimer ini, tekstur superglue akan mengeras lalu ikatan yang kuat akan terbentuk pada permukaan yang disentuhnya.
ASAL USUL
Superglue sebenarnya dihasilkan tanpa sengaja. Asalnya ditemui semasa pencarian plastik gun sight pada tahun 1942, namun diabaikan kerana ianya melekat kepada apa saja yang bersentuhan dengannya.
Ianya kemudian ditemui lagi tanpa sengaja pada tahun 1951, semasa kajian mencari polimer untuk jet canopies. Akhirnya pada tahun 1958, potensi bahan kimia ini diperakui sebagai pengikat yang kuat lalu dikomersialkan sehingga kini.
Semoga bermanfaat!
Sumber: ChM Dr Fatimah Salim
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI