
Bagi yang gemarkan aktiviti berkebun, pastinya anda faham kepuasan yang diperoleh apabila tanaman kita menjadi dan membuahkan hasil. Bukan sahaja menyejukkan mata yang memandang, malah tumbuhan yang ditanam juga mempunyai manfaat dan kelebihan lain, bergantung pada jenis tanaman.
Tanaman ulam khususnya, dapat memudahkan kerja memasak didapur. Hanya perlu petik apabila diperlukan. Berkhasiat, cepat dan yang paling penting, jimat!
Tetapi ramai juga yang takut untuk mula bercucuk tanam kerana risau kerja-kerja menanam itu susah dan berat. Sedangkan ada cara yang mudah yang tidak menggunakan banyak alatan ataupun tenaga.
Perkongsian kali ini IMPIANA fokuskan pada langkah-langkah menanam ulam selom yang mungkin menjadi kegemaran ramai. Lepasni boleh cuba tanam dan makan hasil berkebun sendiri.Memang puas hati! Mari kita ikuti sharing Puan Aida Zainuddin ini.
5 Cara Mudah Tanam Ulam Selom
1. Batang dipotong ikut ruas selom. Ruas tu nanti akan keluar akar. Rendam dalam air.
2. Lebih kurang 5-7 hari direndam dalam akar akan keluar melalui batang selom (tukar air rendaman selalu)
3. Tanam batang yang berakar ni dengan cara melintang
4. Tutup dengan tanah dan siramkan pastikan tanah sentiasa lembap.
5. Dah boleh tuai
Best tanam selom. Sekejap je dah boleh dituai.
Selamat bercucuk tanam!
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI
Trik Dekorasi ‘Black & White’ Buat Ruang Tampil Menarik

Warna hitam dapat mewujudkan titik tumpuan serta menjadikan ruang nampak sofistikated dan elegan. Aksesori seperti lampu, cat atau perabot yang berwarna hitam pula, dengan mudah mencuri tumpuan dan dapat membantu untuk menzahirkan konsep yang ingin diketangahkan dengan lebih jelas lagi. Hitam dengan sendirinya pun sudah menarik, tetapi untuk mendapatkan efek yang lebih menakjubkan dan dramatik, padankan hitam dengan putih. Kombinasi ini juga akan menerapkan suasana bersih yang segar dan elegan pada kediaman selain sesuai digayakan denga pelbagai konsep seperti moden dan kontemporari.
Cara Menggunakan Hitam dan Putih Pada Kediaman Anda Dengan Efektif.
Jika warna hitam dan putih yang anda gunakan kelihatan terlalu menonjol, tone down kan ia dengan menggunakan warna sekunder yang lain seperti penggunaan warna merah , kuning atau keemasan.
Dinding yang dicat putih atau krim lembut sesuai untuk berfungsi sebagai latar belakang yang sempurna buat bingkai gambar atau karya seni. Pilih kayu gelap atau cat bingkai dengan warna hitam supaya ia dapat menjadi titik fokus didalam ruang yang terpilih.
Sebuah bilik mandi yang kecil kelihatan elegan dengan countertop dan lantai marmar, kabinet hitam serta dipadankan dengan kemasan hitam pada paip, lampu, bingkai cermin dan sebagainya. Tandas akan kelihatan lebih rapi dan kemas dengan pemilihan warna ini. Sesuai juga buat mereka yang bersifat misterius dan elegan.
Lapik tilam atau cadar putih bersih dipadankan dengan sarung bantal belang membuatkan bilik tidur nampak klasik dan elegan. Gunakan trim hitam untuk dinding putih atau pada katil. Anda perlu bijak menggabung dan memadankan kedua dua warna ini pada setiap penjuru bilik. Contohnya, letakkan rak buku hitam dihadapan dinding putih atau tempatkan lampu lantai hitam pada sisi katil yang putih dan sebagainya.
Gunakan aksesori besi hitam sebagai pelengkap pada ruang yang dicat putih polos serta dipadankan dengan sofa kelabu. Ruang akan nampak lebih cosy dan selesa apabila warna hitam dan putih bergabung dengan lantai kayu, selain warna hijau dari pokok yang mendatangkan suasana segar pada ruang tamu anda.
Gunakan hitam dan putih sahaja atau dengan warna accent yang lain untuk mewujudkan gaya klasik yang santai. Untuk menambah kesan dramatik dan seni hias yang menakjubkan, letakkan satu titik fokus seperti cermin besar dengan bingkai keemasan pada ruang yang kecil supaya kelihatan luas ditambah pula dengan lampu meja yang penuh karakter.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI
Menarik! Sentuhan Glam Kontemporari Pada Rumah Sub-Sale

Dalam isu pengubahsuaian kediaman, kehendak dan bajet haruslah seiring. Selain itu, perancangan yang rapi juga perlu bagi memastikan proses renovasi berjalan lancar dan menepati citarasa. Walaupun setiap orang mempunyai standard berbeza-beza bergantung pada tahap kesanggupan melabur, kita semua setuju yang tiada siapa mahukan rumah mereka berantakan dan tidak cantik. Begitu juga dengan Puan Nadia dan suaminya encik Hisham yang meletakkan harapan tinggi buat kediaman teres 1 1/2 tingkat mereka di Seksyen 7, Kota Damansara ini.
Selain banyak mendapat ilham dan inspirasi dari instagram deco luar negara, Puan Nadia juga amat meminati gaya Dato’ Rizalman menghias kediaman-kediaman yang mewah tersergam indah. Dengan keluasan 24×58 kaki persegi, pemilik ini memilih untuk menerapkan konsep kontemporari yang glamour pada setiap ruang rumahnya. Rumah secondhand yang dibelinya pada tahun 2010 ini pada mulanya kelihatan sangat usang dan teruk tapi setelah membelanjakan hampir RM100k untuk kos keselurhan merenovasi, kediaman ini telah kembali bersinar dan menarik dalam masa lapan tahun.
Mari kita lihat transformasi menakjubkan yang mungkin dapat memberi inspirasi buat para pembaca. Selamat mendeko!
SEBELUM
SELEPAS
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI
Tiada Ruang Untuk Bercucuk Tanam? Ini 5 Kaedah Untuk Kediaman Dengan Ruang Terhad

Seringkali warga bandar mengeluh macam mana nak bercucuk tanam kalau ruang yang ada pun sempit dan muat-muat untuk keperluan keluarga saja. Sebenarnya ada banyak cara yang sesuai cuma mungkin mindset kita dah terbiasa kalau nak tanam pokok mestilah di atas tanah. Dengan panduan daripada Jabatan Pertanian ini, mereka yang tinggal di flat, apartment, rumah teres lot tengah dan sebagainya boleh amalkan menanam sayur cara ini. Mudah dan dapat memberi manfaat buat keluarga kita.
1. EDIBLE GARDEN
Kebun edible adalah satu konsep yang menggabungkan penanaman antara tanaman edible atau tanaman yang selamat dimakan dan tanaman hiasan mengikut nisbah 70:30 iaitu 70% tanaman makanan dan 30% tanaman hiasan. Gabungan ini, selain menjadikan persekitaran kelihatan menarik, ia juga boleh menjadi sumber makanan segar, berkhasiat dan selamat dimakan.
Tanaman edible yang dipilih dan ditanam seharusnya dapat menampung secukupnya untuk satu hidangan dan tanaman hiasan pula berfungsi sebagai agen biologi kawalan serangga perosak. Kebiasaannya jenis tanaman yang boleh ditanam adalah sayuran jenis daun seperti sawi, pak choi, kangkung, bayam dan jenis sayur buah seperti cili, terung, bendi, peria. Tanaman herba seperti serai, kunyit, kari, pandan dan pokok limau sesuai ditanam kerana ia adalah tanaman yang lasak dengan penyelenggaraan yang mudah.
2. Penanaman dalam Bekas/ Pasu
Bagi kawasan rumah kediaman yang mempunyai ruang persekitaran yang agak sempit seperti rumah pangsa atau flat, penanaman sayuran dan herba sesuai di tanam di dalam pasu, bekas terpakai atau polibeg. Selain mudah dari segi penyelenggaraan tanaman seperti menggembur media, membaja, merumpai dan menyiram, penanaman dalam pasu juga menghasilkan keseragaman reka bentuk di halaman rumah yang sempit.
Terdapat pelbagai jenis pasu yang berbeza dari segi bentuk dan saiz yang ada dijual di pasaran. Pemilihan jenis tanaman yang sesuai ditanam di dalam pasu adalah bergantung kepada saiz pasu. Jenis tanaman sayur-sayuran yang sesuai ditanam di dalam pasu bersaiz sederhana kecil (±10”x10”) adalah dari jenis akar serabut, semusim, tidak menjalar dan ketinggian pokok di bawah 1 meter.
Kebiasaan sayuran jenis daun yang ditanam di dalam pasu adalah seperti sawi, pak choi, kangkung, bayam, salad, kuchai manakala kailan dan jenis sayur buah seperti cili, terung dan bendi.
Bagi tanaman herba yang sesuai ditanam di dalam pasu adalah seperti kunyit, kari, pandan, lidah buaya, rosemary, kesum, pegaga, stevia dan pokok limau. Walau bagaimanapun, penuaian yang kerap perlu dibuat memandangkan tanaman ini mudah membiak.
3. Bekas Recycle
Konsep guna semula bahan terbuang/terpakai sesuai dipraktikkan di kediaman dengan menjadikan botol plastik, bekas air minuman, tong drum plastik, tin, bekas kaca, kain dll. sebagai bekas tanaman. Terdapat pelbagai ciptaan boleh dihasilkan dari bahan terbuang/terpakai seperti menara botol, mini aquaponik, bekas siraman dll. Tambahan lagi, dengan sedikit sentuhan kreativiti dalam inovasi ini boleh menjadi pendapatan sampingan kepada penduduk bandar.
Bahan buangan sisa dapur seperti sayur, buah, ikan dan ayam boleh diproses menjadi baja semula jadi dan sebagai bahan untuk kawalan serangga manakala bahan buangan makanan jika ditambahkan dengan tanah bermikrob boleh pula dijadikan baja kompos dan digunakan semula pada tanaman. Selain aktiviti ini dapat menjimatkan kos input pertanian, mengurangkan sisa buangan rumah, menjamin keselamatan dan kesihatan makanan itu sendiri malah dapat menggalakkan penduduk bandar untuk bersosial dan berkreativiti.
4. Vertical Farming
Penanaman vertical dihasilkan di atas permukaan yang menegak dengan cara pokok tumbuh di atas permukaan tersebut yang disokong oleh struktur tertentu dengan mengandungi medium tanaman mencukupi. Konsep ini sesuai untuk diaplikasikan di kawasan terhad dengan mengambil kira faktor seperti ruang, kesuaian tanaman, jenis medium tanaman dan tarikan graviti. Selain itu, penyiraman tanaman diberi secukupnya sahaja.
Jenis tanaman sayur-sayuran yang sesuai ditanam menggunakan konsep ini adalah dari jenis akar serabut, semusim, tidak menjalar, batang lembut dan ketinggian kurang dari 1 kaki. Kebiasaannya adalah sayuran jenis daun seperti sawi, pak choi, kangkung, bayam, salad dan kuchai.
Bagi tanaman herba yang sesuai adalah dari jenis akar serabut, merayap dan renek seperti rosemary, kesum, pegaga dan stevia.
5. Hidroponik
Selain penanaman terus ke tanah atau penanaman menggunakan pasu, beberapa teknologi dalam pertanian boleh diaplikasikan di kawasan kediaman yang sempit seperti teknologi mini fertigasi, Nutrient Film Technique (NFT) dan piskiponik. Teknologi fertigasi adalah satu kaedah penanaman dimana baja dalam bentuk larutan disalurkan melalui sistem pengairan, manakala NFT adalah teknik hidroponik (tanaman sayur-sayuran tanpa tanah) di mana baja dalam bentuk larutan dialirkan melalui satu kitaran saluran bersambung dan piskiponik adalah kombinasi aktiviti akuakultur (ternakan ikan dalam kurungan) dan hidroponik. Dengan sedikit pengubahsuaian, semua teknologi ini boleh diaplikasikan di kawasan kediaman yang terhad, sempit dan tiada tanah untuk bertani.
Jenis tanaman sayur-sayuran yang sesuai ditanam menggunakan teknologi NFT dan piskiponik adalah dari jenis akar serabut, semusim, tidak menjalar, batang lembut dan ketinggian kurang dari 1 kaki. Kebiasaannya adalah sayuran jenis daun yang ditanam seperti sawi, pak choi, kangkung, bayam, salad dan kuchai.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI