Siput babi, atau dikenali sebagai siput tanah, merupakan sejenis moluska yang sering dijumpai di kawasan yang lembap dan teduh. Walaupun siput babi kelihatan tidak berbahaya, mereka boleh menjadi ancaman besar kepada tanaman.
Kesan kehadiran makhluk perosak ini di lokasi berkenaan dapat dilihat pada tanda-tanda berikut:
Ada banyak lubang di bahagian daun pokok.
Ada kesan cecair berlendir yang kering berwarna keperakan juga ditinggalkan pada daun dan juga pada jalan laluannya.
Bahagian pokok seperti batang, ranting dan sebagainya berselerakan di merata tempat.
Makhluk ini sebenarnya suka sangat memakan daun atau bahagian pokok yang mempunyai banyak air, berlendir dan sesuai dengan seleranya.
Pokok yang diserang akan menjadi hidup segan mati tidak mahu atau terus mati atau sukar dipulihkan semula walaupun mengambil masa yang agak lama bergantung kepada pokok yang terlibat.
Bagi mengelakkan kejadian ini terjadi langkah permulaan sebagai pencegahan boleh dilakukan iaitu dengan membersihkan kawasan di sekitar taman anda supaya tidak ada tempat atau kawasan yang terlindung, gelap, sejuk dan lembap yang biasanya menjadi sarang atau tempat berlindung makhluk perosak ini. Kalau terjumpa sarangnya musnahkan semua telur atau anak-anak yang banyak sekali bilangannya.
Ads
Ada beberapa langkah penghapusannya sama ada menggunakan racun kimia atau secara organik. Namun pada kali ini dipaparkan dulu kaedah yang mudah dan secara organik tanpa menggunakan racun.
Kaedah 1
Bunuh Secara Manual
Siput akan keluar pada waktu malam terutamanya selepas hujan. Anda boleh bunuh cara manual dengan memijak dengan kaki atau menghempapnya dengan benda keras seperti batu atau gunakan garam untuk membunuhnya seperti tersebut di bawah.
Kaedah 2
Penggunaan Garam
Ads
Langkah mudah dan ringkas membunuhnya ialah dengan menggunakan garam yang ditaburkan di sekeliling kawasan tanaman hiasan. Sebaik sahaja garam tersebut terkena bahagian anggota siput yang terdedah akan mati secara tiba-tiba hasil daripada tindak balas bahan kimia tersebut.
Inilah langkah-langkah mudah dan praktikal tanpa membahayakan untuk mengawal atau menghapuskan bilangan siput dalam taman.
5 Jenis Pokok Hiasan Dijadikan Penyeri Laman Harga ‘Kayangan’ Boleh Cecah Ribuan Ringgit. Terdapat pelbagai sebab pokok hiasan ini cukup bernilai harganya. Mungkin kerana unik, sukar dijumpai dan faktor penjagaan yang rumit, sebilangan besar pokok di bawah ini dijual di pasaran Malaysia pada harga mencecah ribuan malah ratusan ribu ringgit.
Walaupun harganya mahal melebihi seutas rantai emas atau mungkin seolah tidak masuk akal, ‘Pokok Kayangan’ ini terus menjadi buruan dan rebutan penghobi dunia hijau.
Lebih mengejutkan, harga pokok melonjak lebih tinggi mengikut jenis, corak, saiz dan bilangan daun. Jika berada dalam kategori pokok ‘rare’, keratan batang dengan sehelai daun sahaja sudah beribu harganya.
Malah ramai peminat laman yang sanggup menghabiskan duit mencecah ribuan ringgit untuk mengumpul pelbagai spesies pokok-pokok ini untuk dijadikan koleksi penyeri laman dan ruang kediaman.
1. ORKID
Pokok orkid atau nama saintifiknya Orchidaceae mempunyai pelbagai spesies, aneka warna, bentuk, harum, tahan lama, unik dan pesona keindahannya menjadi penyeri laman serta ruang kediaman
Siapa sangka pokok orkid yang asalnya tumbuh liar di hutan mampu mencecah hampir RM1 juta sepokok untuk spesies tertentu. Ketika ini, terdapat sebanyak 25,000 hingga 35,000 spesies orkid dengan kira-kira 1,000 ‘genera’ di seluruh dunia.
Kebanyakan spesies orkid liar dan hibrid menjadi produk pertanian dan holtikultur yang berharga tinggi. Antara orkid bernilai tinggi adalah dari spesies Orkid Gold of Kinabalu atau nama saintifiknya Paphiopedilum Rothchildianum, menduduki tempat kelima dalam senarai orkid termahal dunia, iaitu berharga RM27,270 sepokok.
Ia mahal kerana mengambil masa selama 15 tahun untuk mekar berbunga dan dipercayai tergolong dalam spesies di ambang kepupusan.
Spesies orkid Shenzhen Nongke yang hanya ada di China pula dilaporkan dijual dengan harga £160,000 (RM912,484) sepokok yang mengambil masa lapan tahun penyelidikan oleh saintis di negara itu bagi mencipta bunganya yang cantik dan elegan.
Orkid dari genus Cymbidium itu dipercayai paling mahal di dunia, hanya mekar setiap empat hingga lima tahun sekali, selain ia melambangkan sosiobudaya negara China dan aroma yang wangi.
2. BONSAI
Bonsai adalah seni membantutkan pokok dalam pasu supaya membawa penampilan kerdil daripada pohon besar berusia puluhan atau ratusan tahun. Lazimnya, saiz terkecil bonsai atau ‘mame’ bonsai hanya sebesar syiling 50 sen dan yang terbesar seelok-eloknya tidak lebih daripada satu meter tinggi.
Terdapat pelbagai spesies pokok yang boleh dijadikan bonsai. Antara spesies bonsai tunggal yang menarik terdapat dalam negara ini adalah spesies bonsai tempatan ‘cucur atap’, yang hanya boleh didapati di Kelantan dan Terengganu.
Gubahan pokok ini kebiasaannya dijual pada harga RM100 hingga RM200, namun ia mampu menjangkau sehingga puluhan ribu mengikut keunikan gubahan dan usianya. Pokok harga ‘kayangan’ ini apabila mampu mencecah RM25,000 sebatang jika dikategorikan sebagai bonsai kelas pertama.
Selain itu, beberapa jenis pokok yang sesuai dijadikan bonsai seperti pokok bunga kertas, kesinai, asam jawa, kemuning, ara dan melati. Semakin unik hasil gubahan Bonsai dan semakin matang umurnya, semakin tinggi jugalah nilainya.
Antara Bonsai termahal seperti spesies Wrightia Religiosa berusia 40 tahun dengan anggaran harga sekitar RM80,000 hingga RM90,000.
Minat terhadap pokok bonsai mendorong segelintir pemilik premis kediaman sanggup membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk membelinya.
Jadi tidak hairanlah bonsai juga menjadi lambang ‘status’ bagi pemilik kediaman kerana harganya yang mahal, tak semua pemilik laman mampu jadikan pokok ini sebagai penyeri rumah.
3. BROMELIAD (BUNGA NENAS)
Bromeliad sejenis tanaman hiasan eksotik yang tergolong dalam famili Bromeliaceae. Secara semula jadi, pokok bromeliad mudah dijumpai tumbuh dan hidup di atas pokok sebagai pokok tumpangan (epifit), di atas tanah, di celahan batu dan di tepi tebing gunung.
Terdapat lebih 3,700 spesies pokok bromeliad dengan pelbagai bentuk daun dan variasi warna yang menarik. Namun, kebanyakannya bromeliad berwarna terang dan apabila kembang, ia akan bertahan sehingga beberapa bulan.
Keunikan kombinasi warna dan daunnya menjadikan bromeliad kini antara tumbuhan hiasan untuk menyerikan halaman kediaman. Malah mudah dijaga, tidak memerlukan siraman setiap hari serta penjagaan yang rapi.
Namun bukan calang-calang harganya pokok yang berasal dari Amerika Selatan ini, ia juga mampu dijual pada harga ribuan ringgit.
4. KELADI EKSOTIK
Pokok Keladi ialah sekelompok tumbuhan dalam keluarga Araceae yang ditanam sebagai tanaman hiasan. Antara jenisnya seperti Aglaonema, Anthurium, Dieffenbachia, Epipremnum, Philodendron, Spathiphyllum dan Syngonium; dan juga Alocasia, Caladium dan Colocasia.
Pernah viral seketika dahulu, tanaman keladi eksotik antara pokok hiasan berharga bagi peminat laman. Ia mampu mencecah harga RM10,000 hingga RM35,000 sepokok bergantung pada jenis spesies dan keunikannya.
Sebagai contoh pokok keladi jenis colocasia midnight berharga RM24,000 sepokok, manakala jenis ‘Topeng Firaun’ harga pasaran antara RM10,000 hingga RM20,000 sepokok bagi pokok matang dan anak pokok dijual pada harga RM5,000 hingga RM8,000 sepokok.
Keladi jenis ‘Black Stan Variegated’ pula boleh dijual pada harga RM24,000 dan pokok matang pada harga RM38,000 sepokok.
Semakin sukar spesies keladi eksotik ini diperolehi, semakin mahal harganya di pasaran.
5. MONSTERA
Pokok Monstera (Monstera deliciosa) adalah sejenis tumbuhan daripada keluarga Araceae yang sering dijadikan tanaman hiasan yang mempunyai rupa bentuk yang unik dan cantik.
Keunikan tumbuhan ini adalah dimana bentuk daunnya yang berwarna hijau serta berlubang dan saiz daunnya juga besar. Pokok ini menjadi pilihan ramai kerana ia sesuai ditanam sebagai tanaman dalam rumah (indoor plants) atau dijadikan tamanan hiasan dalam pasu.
Pokok ini juga lebih dikenali sebagai pokok ‘Keladi Monstera’ atau ‘Cheese plant’ disebabkan bentuk lubang-lubang pada dunnya seakan lubang pada cheese. Ini juga berkait dengan daun pokok ini pada tumbuhan yang matang boleh menjadi sangat besar, berkilat, berwarna hijau gelap, daun terbelah-belah dan berlubang-lubang bergantung kepada spesis dan cara penjagaannya.
Pokok montera yang termasuk didalam keluarga memanjat (climbing plants) ini mempunyai 50 spesis dimana mampu tumbuh sehingga ketinggian 20 meter.
Pokok Monstera yang mempunyai daun berciri unik seperti ada tompokan berwarna cerah dan bermotif marmar dijual dengan harga yang mahal kerana sukar untuk didapati. Varian harga seperti Monstera Albo dijual pada harga USD100 (RM441) hanya bagi keratan batangnya sahaja kerana keunikannya dan juga faktor ada permintaan yang tinggi di kalangan pencinta Monstera . Hasil tinjauan, sepohon pokok Monstera albo dan bagi jenis Monstera Thai Constellation dijual pada harga RM1500-RM2500.
Monstera Albo Marble, Monstera Aurea Marble dan Monstera Albo Halfmoon antara yang mempunyai nilai pasaran tinggi.Nilaian harga pokok-pokok ini bertambah tinggi bergantung kepada kematangan dan saiz daun, kesihatan akar, saiz batang dan keadaan fizikal daun yang tiada cacat cela. Malah mampu dijual sehingga puluhan ribu ringgit.
IMPIANA: Jika berkemampuan apa salahnya untuk mengumpul koleksi pokok kayangan ini. Malah jika bijak percaturan, hobi tersebut boleh dijadikan pendapatan sampingan dengan menjual anak-anak pokok yang ada.
Mahal sungguh harga bawang merah sekarang. Memandangkan harga bawang merah dah semakin mahal, ada baiknya bagi yang suka berkebun tu, tanam sendiri bawang merah ni di rumah. 2 bulan selepas tanam dah boleh dituai. Memang jimat banyak dan puas hati. Tapi nak tanam bawang merah ni ada cara dan tipnya yang kena ikut.
Boleh rujuk perkongsian lengkap daripada Puan Azlina Mat Lazim ini, cara BETUL tanam sendiri Bawang Merah di rumah.
Nisbah media tanam:
Lebihkan pasir dari tanah dengan nisbah 2:1
*Pasir = 2 bahagian campur Tanah berkebun = 1 bahagian.
Tanam di tempat terbuka
Musim panas, siram cukup-cukup saja, jangan siram air banyak. Jika lebih air bawang jadi busuk, mereput dan buruk.
Cara-Caranya:
1. Potong bawang seperti dalam gambar. Potong sebelah atas bawang hingga nampak isi tengah dan bahagian bawah bawang, potong sedikit sahaja akarnya.
2. Benamkan 3/4 sahaja bawah bawang atas tanah. Jangan timbus bawang dalam tanah sepenuhnya. Tunggu bawang naik daun dlm 4 atau 5 inci, barulah ditimbus bawang itu.
3. Kerap gemburkan tanah disekeliling bawang baik untuk pertumbuhan bebawang baru.
4.Bila sudah banyak keluar bebawang, jangan timbus dah…biarkan sahaja.
Tip Ekstra!
Pembajaan 2 kali seminggu guna baja AB, bancuhan seperti biasa.
*Boleh juga guna lain-laim baja yang di fikirkan baik.
Dua bulan selepas ditanam, ia sudah boleh dituai. Jika pokok bawang berbunga, jangan dibiarkan,terus petik dan buang kerana ia hanya akan merencatkan pembesaran bawang.
Bawang yang dituai akan di jemur untuk dapatkan bawang yang siap diguna.
IMPIANA: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Jadi buat yang nak berjimat, boleh cuba tanam sendiri bawang merah ni di rumah. Ikut tip dan kaedah yang dikongsikan ini. Selamat Mencuba!
Musim hujan membawa kelembapan yang tinggi, dan walaupun beberapa tanaman mungkin berjuang untuk bertahan, terdapat jenis tanaman tertentu yang bukan sahaja bertahan tetapi juga berkembang subur dalam musim ini.
5 jenis sayur yang sesuai ditanam musim hujan
1. Kangkung
Sayur ini memang hidup subur dalam cuaca lembap dan bergenang air. Hujan memang tidak akan menjejaskan pertumbuhan sayur ini malah makin cepat membesar.
2. Bayam
Anak pokok bayam yang dipindahkan pada musim hujan memang sangat sesuai untuk tumbesarannya. Air hujan akan membantu tumbesaran pokok bayam dengan lebih cepat.
3. Sawi putih
Sawi sebenarnya adalah pokok sayur yang mempunyai daya tahan yang kuat dan tidak mudah layu bila terkena titisan hujan walaupun secara terus menerus. Jadi sesuai sangat ditanam pada musim hujan.
4. Terung
Tanaman ini memang memerlukan banyak air, jadi menanam terung waktu musim hujan adalah waktu yang terbaik.
Walaupun memerlukan banyak air tapi bukan bermakna kita membiarkan ia bergenang dengan air. Keadaan ini boleh menyebabkan akarnya busuk.
5. Salad
Kalau nak mula bercucuk tanam di musim hujan, boleh mulakan dengan pokok salad. Sayur ini memang memerlukan banyak air, selain tak mudah layu.
INFO: Perlu diketahui antara penyakit tanaman yang selalu berlaku di musim hujan adalah akibat kulat dan bakteria. Cuaca yang lembap mempercepatkan lagi serangan kepada pokok.
Setiap pemilik kediaman ada cara tersendiri dalam memastikan rumah sentiasa kemas, bersih dan teratur, sedap mata memandang. Begitu juga pilihan konsep dan citarasa dekorasi yang menjadi pilihan.