Pencemaran Udara merupakan pengancam utama kepada isu alam sekitar di seluruh dunia. Kebanyakan asap ini dilepaskan samada dari industri pembuatan perkilangan atau pembakaran terbuka.
Tahukah anda pencemaran udara telah membunuh seramai 3 Juta orang setiap tahun dan angka ini bertambah dari hari ke hari. Salah satu inisiatif yang diambil untuk memastikan ekosistem kita bebas daripada pencemaran udara adalah seperti penanaman pokok yang mana tumbuhan tersebut akan menyedut segala karbon dioksida untuk fotosintesis yang kita fahami adalah sumber makanan tumbuhan hijau.
Menyedari akan tanggungjawabnya menyumbang sesuatu untuk bumi, seorang arkitek serta perancang bandar Itali, Stefano Boeri telah menyiapkan pelan pembangunan rumah hijau di tengah bandar Milan dan projek itu sudah siap dibina secara rasmi pada tahun 2014. Struktur pembinaanya mempunyai dua buah menara yang mana setiap satu berketinggian 111 meter yang merangkumi 26 tingkat dan dikenali sebagai Torre E manakala Torre D pula berketinggian 76 meter iaitu sebanyak 18 tingkat. Ianya merangkumi pejabat serta kondominium.
Setiap menara menjadi penempatan untuk 900 pokok, 5000 pokok renek dan 11,000 pokok bunga yang mana ianya berfungsi sebagai pengurang asap serta pembekal utama oksigen kepada mereka yang menetap di dalam residensi tersebut. Ianya tidak terhad kepada penduduknya sahaja, tetapi manfaat daripada projek ini juga turut dirasai oleh warga metropolitan Milan, Itali dalam usaha memastikan udara yang disedut segar dari tumbuhan hijau.
Selain itu, jika projek ini diteruskan di skala yang lebih besar, ianya akan menjadi rumah kepada pelbagai spesis serangga yang bergantung kepada tumbuh-tumbuhan untuk hidup dan pada masa yang sama, ianya turut membantu mengurangkan pencemaran bunyi yang membelenggu warga kota pada hari ini.
Jika projek ini direalisasikan di tengah bandar Kuala Lumpur serta bandar utama yang lain di Malaysia, penulis yakin negara kita pasti penduduknya lebih sihat dan situasi ini turut sama menyumbang pada pembangunan Malaysia yang lebih mapan..
Untuk maklumat lanjut, boleh rujuk laman web rasmi Firma Arkitekture Boeri Studio